Keutamaan antara hak Allah dengan hak insan (Berita Harian [Singapura], 4 Mei 2012)

Keutamaan antara hak Allah dengan hak insan


Oleh
Muhammad Haniff Hassan

MANA lebih penting – memenuhi hak Allah dan kepentingan agama atau hak manusia dan kepentingan dunia?

Persoalan sedemikian sering dihadapi Muslim.

Dengan tujuan mempertingkat tahap kefahaman agama, penulis ingin berkongsi bahawa sebenarnya pendirian mengutamakan hak Allah dan kepentingan agama bukanlah satu prinsip yang diguna pakai dalam semua keadaan atau telah diijmak semua ulama.

Hujah bagi pendirian ini [utamakan hak Allah dan kepentingan agama] adalah Allah mewajibkan manusia mengutamakan ketaatan pada-Nya daripada ketaatan pada Rasul dan penguasa (An-Nisa’: 49). Bahkan, tidak boleh mentaati ibu bapa jika ia bercanggah dengan ketaatan pada Allah (Luqman: 15).

Atas dasar ini, urutan jenjang (hierarki) matlamat asas syariah ialah memelihara agama di atas memelihara nyawa, akal, keturunan dan harta. Sebab itu Islam mensyariatkan jihad bersenjata sebagai jalan akhir demi membela agama walaupun akan terkorban jiwa dan harta benda.

Hakikatnya, perbincangan dan huraian ulama dalam persoalan ini lebih rencam dan kompleks.

Penelitian mendalam terhadap pelbagai fatwa dan pendirian mereka dalam masalah yang mempunyai kaitan dengan isu yang dibincangkan menunjukkan bahawa hak Allah atau kepentingan agama tidak semestinya mengatasi hak manusia atau kepentingan dunia.

Terdapat banyak pendapat dan contoh fatwa lama dan kontemporari bagi menunjukkan perkara ini. Sebahagiannya ialah:

  • Dibenarkan seseorang itu menuturkan kata yang membawa kepada kekufuran demi menyelamatkan nyawanya sebagaimana dilakukan sahabat Nabi, Ammar bin Yasir, ketika beliau diseksa orang Quraisy, dan ini dipersetujui pula oleh Al-Quran (An-Nahl: 106).
  • Tidak boleh Muslim menyertai jihad bersenjata tanpa izin pemiutang atau ibu bapanya demi menjaga hak dan kepentingan mereka seperti tersebut dalam hadis sahih, kecuali jika keadaan keselamatan sangat genting.
  • Sejak dahulu ulama mengakui dan guna pakai kaedah fiqah yang berbunyi: ‘Huquq al-nas mabniyah ‘ala al-mushahhah wa huquq Allah mabniyah ‘ala al-musamahah’ yang bermaksud ‘hak manusia dibina atas dasar tidak boleh berlebih kurang manakala hak Allah dibina atas dasar berlebih kurang’.
  • Hal ini adalah kerana manusia secara semula jadi bersifat lokek dengan hak miliknya dan penakatannya bergantung pada haknya dipenuhi sedangkan sifat Allah pula ialah Maha Pemurah, Pemaaf dan Kaya. Allah tidak memerlukan apa-apa daripada manusia dan bersedia memaafkan apa jua kekurangan.

  • Fatwa Muis mengharuskan derma organ tertentu setelah kematian bagi manfaat orang hidup yang memerlukan, walaupun ada larangan menyakiti mayat dalam hadis.
  • Fatwa Majlis Fatwa dan Kajian Eropah yang membenarkan pinjaman berfaedah, sedangkan hukum [asal]nya berdosa besar, bagi membeli rumah jika tiada pilihan pembiayaan berasas syariah. Hal ini walaupun keperluan membeli rumah tidak sampai ke tahap darurat dan boleh dipenuhi melalui cara menyewa.
  • Sheikh Ali Jum’ah, Mufti Negara Mesir dan seorang alim tersohor Al-Azhar, menulis buku kecil bertajuk Ru’yah Fiqhiyah Hadhariyah Li Tartib Al-Maqasid Al-Shar’iyah (Perspektif Fiqah Masa Kini Mengenai Urutan Tujuan-Tujuan Utama Syariah), 2010.

    Dalam buku ini, beliau mengemukakan pendapat dan hujah yang menyusun kembali hierarki kepentingan tujuan utama syariah (maqasid al-shari’yah) iaitu memelihara nyawa manusia sebagai keutamaan tertinggi yang diikuti dengan memelihara akal. Setelah itu barulah keutamaan memelihara agama, keturunan dan maruah dan akhir sekali memelihara harta.

    Sheikh Ali Jum’ah menyebut pendapat beberapa alim silam dalam karya mereka bagi menyokong pendirian yang mendahulukan pemeliharaan nyawa atau kepentingan dunia daripada pemeliharaan dan kepentingan agama, antaranya:

  • Al-Subki (Sharh Al-Minhaj),
  • Al-Razi (Al-Mahsul),
  • Al-Amidi (Al-Ihkam),
  • Ibn Al-Hajib (AlMukhtasar),
  • Al-Isnawi (Al-Tamhid),
  • Ibn Amir Al-Haj (Al-Taqrir wa Al-Tahbir), dan
  • Al-Zarkashi (Al-Bahr Al-Muhit).
  • Menurutnya, antara sebab perbezaan ini terletak pada apa yang dimaksudkan dengan agama. Beliau berpegang pada pendapat yang merujuk erti agama pada kewajipan ibadah khusus seperti dalam Rukun Islam yang lima, dan bukan agama Islam secara keseluruhannya.

    Ulama yang mendahulukan hak manusia dan kepentingan dunia tidak menjadikan hak Allah dan kepentingan agama sebagai satu-satunya faktor keutamaan. Mereka bertanggapan perlu juga dinilai sejauh mana seriusnya atau besar kepentingan hak Allah dan agama dan kesannya berbanding dengan kepentingan yang melibatkan hak manusia dan dunia serta kesannya juga.

    Selain itu, faktor kekuatan dalil sama ada kepentingan itu berdasarkan dalil qat’ii (pasti) atau zhanni (andaian) juga diambil kira.

    Atas hujah yang sama, saya ingin berkongsi pendapat berkaitan beberapa persoalan:

  • Harus mendahulukan perbelanjaan bagi pendidikan anak yang hendak ke universiti daripada menunaikan fardu haji.
  • Ini demi mengutamakan kewajipan pada anak daripada pada Tuhan. Mentelah kewajipan haji adalah kewajipan tertangguh.

  • Anggota polis yang ditugaskan kerja rondaan dan kawalan mempunyai keringanan tidak menunaikan solat Jumaat dan menggantikannya dengan solat zuhur.
  • Dalam keadaan genting dan sebenar, anggota pasukan pertahanan awam dibolehkan membatalkan puasa Ramadan jika dikehendaki terjun dan menyelam di dalam air demi menyelamatkan orang, atau harus memendekkan puasa disebabkan tugas berat seperti menangani kebakaran besar tangki minyak atau dalam bencana alam jika dikhuatiri menjejas keupayaannya bertugas [disebabkan beban fisikal yang dialami].
  • Hendaklah mengutamakan pembayaran hutang sebelum menunaikan haji yang wajib, kecuali jika diizinkan pemiutang atau tiada kekhuatiran hak pemiutang terjejas.
  • Tidak syak bahawa kemungkinan terdapat pendapat berbeza dalam masalah di atas. Ia adalah sesuatu yang biasa dalam isu ranting fiqah.

    Diperingatkan, agar kita tidak cepat mengkiaskan masalah di atas dengan masalah lain.

    Segala aplikasi prinsip ini pada masalah yang dihadapi sebaiknya ditanyakan kepada golongan agamawan tentang sejauh mana kesimpulan yang dibuat sejajar dengan syariah sebagaimana anjuran Al-Quran (Al-Nahl: 43).

    Proses menilai adakah sesuatu keadaan itu memenuhi syarat bagi mengutamakan hak manusia dan kepentingan dunia memerlukan huraian lanjut pada kesempatan lain.

    Nota: Penulis seorang ustaz dan bertugas di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

    Makalah ini pandangan peribadinya.