Star (dak) wah

Sekali lagi masyarakat umum dihidangkan dengan sebuah lagi filem Star Wars. Bukan tujuan utama di sini untuk mempromosi agar kita melihat filem berkenaan tetapi ialah untuk mengambil pelajaran dari penghasilan filem ini bagi usaha dakwah.

 

Jika kita meneliti keseluruhan cerita Star Wars dari filemnya kepada buku-buku mengenainya dan mainan-mainan berkaiatan dengannya, kita akan dapati pelajaran besar bagi usaha dakwah – kesungguhan dalam bekerja dan daya imaginasi yang kuat yang mempengaruhi manusia.

 

Kedua-dua aspek ini dapat dilihat dari keterperincian yang wujud dalam setiap aspek filem ini. Cuba kita rujuk buku Star Wars yang dihasilkan berjudul Star Wars; The Visual Dictionary dan Star Wars; The Definitive Guide For The Craft From Star Wars; Episode II kita akan dapati bahawa watak-watak yang wujud dan peralatan yang digunakan di terangkan secara terperinci, lengkap dengan nama peralatan yang digunakan, istilah-istilah saintifik dan teknologi yang digunakan. Seolah-olah ia adalah satu yang memang wujud, khususnya di pemikiran kanak-kanak, bukan fantasi.

 

Jika dilihat pada pakaian yang digunakan oleh watak-watak dalam Star Wars, kita akan dapati bahawa fesyennya lebih mirip kepada fesyen pakaian zaman Medieval di Eropah. Satu era yang dipandang sebagai era kegelapan dan keterbelakangan tetapi cara keseluruhan Star Wars dipakejkan tidak menyebabkan penonton merasa bahawa pakaian sedemikian sebagai kuno dan mundur.

 

Pengajaran yang boleh dipelajari bagi dakwah ialah peranan daya imaginasi dalam mempengaruhi manusia yang amat berguna bagi usaha dakwah.

 

Imaginasi dalam Star Wars mempengaruhi sebahagian manusia untuk menerima satu fantasi sebagai realiti. Ia juga mempengaruhi persepsi manusia terhadap satu perkara yang pada kebiasaannya dipandang kuno menjadi trendy. Ia juga menanam nilai-nilai dalam diri penonton seperti kepercayaan kepada wujudnya The Force (satu kuasa ghaib yang kuat) seolah simbolik kepada kewujudan Tuhan dan nilai bahawa kejahatan adalah kegelapan, panggilan The Dark Side bagi kelompok yang jahat.

 

Mencedok pengalaman Star Wars, adakah tidak boleh atau wajar bagi umat Islam untuk ber ‘imaginasi’ terhadap satu alam yang Islam berdiri sebagai satu order yang memimpin dan menebarkan rahmat ke seluruh alam atau sebuah imaginasi yang menggambarkan keindahan kehidupan di bawah satu kuasa politik Islam atau apa jua mesej Islam yang hendak disampaikan kepada manusia. Sehingga dengan imaginasi berkenaan, melalui sub-conscious mind, kita dapat mempengaruhi persepsi manusia terhadap Islam atau menanam nilai-nilai murni dalam diri mereka.

 

Apakah tidak mungkin melalui proses imaginasi sedemikian umat Islam dapat mengubah persepsi mengenai hijab dan tudung muslimah. Kita ciptakan misalnya satu watak seumpama Permaisuri Amidala, Senator dari Naboo, yang memakai tudung dan dilihat trendy oleh penonton sebagaimana Pahlawan Jedi dengan fesyen jubah dan pakaian kunonya.

 

Berfikir lebih lanjut lagi, alangkah baiknya sekiranya karyawan-karyawan yang menghasilkan majalah Apo, Gila-Gila, Ujang dan yang seumpamanya menyalurkan daya imaginasi mereka untuk tujuan ini. Namun siapakah yang akan berdakwah kepada mereka?

 

Star Wars juga adalah gambaran budaya kerja yang cemerlang, kesungguhan dan komitmen semata-mata untuk mengejar keuntungan jutaan dolar sepatutnya dicemburui oleh pendakwah yang mengejar syurga Allah taala.