Pelajaran 32 – Dakwah Ialah Mewujudkan Keseimbangan Sosial

Allah taala berfirman

وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةٗ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةٗۖ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢٥

“Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaanNya.” (Al-Anfal : 25)

وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمۡ وَأَنتَ فِيهِمۡۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمۡ وَهُمۡ يَسۡتَغۡفِرُونَ ٣٣

“Dan Allah sekali-sekali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun.” (Al-Anfal : 33)

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهۡلِكَ ٱلۡقُرَىٰ بِظُلۡمٖ وَأَهۡلُهَا مُصۡلِحُونَ ١١٧

“Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya orang-orang yang berbuat baik (musleh).” (Hud : 117)

Pelajaran

1. Kemungkaran yang bermaharajalela akan mengakibatkan turunnya azab dari Allah taala. Kewujudan sekelompok manusia yang dikasihi Allah taala akan menarik rahmatNya sebagaimana kewujudan Rasulullah s.a.w di tengah masyarakat Mekah.

2. Manusia berkenaan bukanlah hanya manusia-manusia soleh tetapi juga mereka yang musleh – yang berusaha untuk mengislah masyarakat. Manusia-manusia soleh yang hanya baik untuk diri sendiri dan tidak perihatin terhadap kerosakan dalam masyarakatnya tidak akan menarik rahmat Allah taala. Bahkan mereka turut bersama dalam azab yang menimpa.

3. Hal ini memberi gambaran bahawa insan muslim yang dikehendaki ialah insan yang soleh dan musleh.

4. Walau pun, dakwah bertujuan untuk menarik seluruh manusia ke jalan Allah taala. Namun dalam kehidupan realiti, ini tidak akan berlaku. Akan sentiasa ada manusia yang inkar dan menjauhi jalan Allah taala.

5. Apabila ekuilibirium antara kesolehan dan kemungkaran sosial tidak seimbang, kewujudan manusia musleh yang tidak memadai tidak akan mampu menahan azab Allah taala. Lihat Al-Anfaal : 25 di atas.

5. Oleh itu, yang minima yang harus dicapai ialah kewujudan sekelompok manusia yang musleh yang mencukupi untuk menahan azab Allah taala dari menimpa. Agar dakwah dapat dijalankan dengan baik dan menjamin kesejahteraan hidup di dunia. Sekali lagi, ini berdasarkan dengan kewujudan Rasulullah dan sekelompok manusia yang masih beristighfar di Mekah.

6. Kadar minima ini tidak ditentukan sebagai hikmah bagi kita untuk terus berusaha tanpa rasa complacent.

7. Memahami hakikat ini pastinya berguna dalam konteks dakwah di suasana umat Islam sedikit agar seimbang antara idealisme dan realiti.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.