Buku – Noktah Hitam: Ajaran Sesat Di Singapura

coverBuku ini diterbitkan oleh Muis dengan kerjasama Perdaus pada tahun 2001.

Sila klik pautan-pautan di bawah untuk baca atau muat turun.

Bahagian Kulit Buku, Daftar Kandungan, Kata-kata Pengantar dan Bab 1

Bahagian Bab 2 dan Bab 3

Bahagian Bab 4aBab 4bBab 4c, Bab 4d, Bab 4e, Bab 4f

Bahagian Bab 5 dan Lampiran.

————————————-

PENGENALAN

Segala puji bagi Allah taala, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam bagi nabi Muhammad, sekalian ahli keluarganya, para sahabatnya dan mereka yang mengikuti jejak langkahnya.

Bahagian pengenalan ini bertujuan untuk memberi penerangan mengenai buku ajaran sesat yang dikemukakan dari sudut objektif, konsep dan pendekatannya dan ringkasan kandungannya.

Semoga dengan kertas ini dapat memberi kefahaman umum mengenai buku ini dan penelitian yang baik mengenainya.

Latarbelakang

Penulisan buku ini dibuat hasil dari inisiatif Pejabat Mufti MUIS yang berhasrat untuk menghasilkan sebuah buku panduan mengenai ajaran sesat bagi manfaat orang ramai. Diharapkan dari buku ini, masyarakat umum akan dapat dididik untuk mengenali bentuk-bentuk ajaran yang menyeleweng agar dapat dihindari dan dibanteras.

Pada waktu yang sama, PERDAUS juga sekian lama menyimpan hasrat untuk berkongsi bahan-bahan berkaitan ajaran sesat yang dikumpulkannya bagi manfaat orang ramai.

Hasil dari pertemuan dua hasrat yang sama, terjalinlah kerjasama PERDAUS – MUIS bagi menerbitkan buku ini.

Bagi menghasilkan buku ini, MUIS telah menyediakan gran manakala PERDAUS pula berperanan dalam bidang kajian, pengumpulan maklumat, penulisan dan penerbitan.

Dengan izin Allah dan kerjasama dari MUIS, buku ini dapat diterbitkan.

Objektif

Buku ini bertujuan untuk memenuhi objektif berikut;

  1. Menghasilkan bahan bacaan untuk masyarakat umum mengenai ajaran yang boleh
    menyesatkan sebagai sebahagian dari proses pendidikan umum untuk mencegah
    ajaran yang sedemikian dan menyedarkan mereka yang mungkin terlibat dengannya.
  2. Merekodkan bahan-bahan mengenai ajaran sesat yang terkumpul di PERDAUS dan
    yang disimpan oleh Ust. Hj. Embek Ali.

Kumpulan Sasaran

Kumpulan sasaran utama buku ini ialah

  1. Masyarakat umum.
  2. Para pelajar yang ingin mempelajari bidang Akidah, Usuluddin dan ajaran sesat.

Konsep & Pendekatan

Buku ini ditulis berdasarkan perkara-perkara berikut;

  1. Ia bukan satu buku yang lengkap mengenai ajaran sesat kerana ia ditulis berdasarkan bahan-bahan yang ada pada PERDAUS dan dalam konteks Singapura. Sememangnya wujud banyak ajaran-ajaran sesat lain yang tidak dimasukkan dalam buku ini terutama jika perkembangannya berlaku di negara lain bukan di Singapura.
  2. Ia ditulis demi untuk memenuhi keperluan bacaan masyarakat umum. Walau bagaimana pun, dalam menulis buku ini, unsur-unsur ilmiah cuba dimasukkan melalui komentar-komentar dan sumber-sumber rujukan di nota kaki. Ini bertujuan agar pembaca memahami sesuatu isu itu atas hujah dan dalil bukan setakat ikut-ikutan dan bagi membantu pembaca untuk membuat rujukan lanjut, jika ia mahu.
  3. Fokus perbincangan buku ini ialah pada kandungan ajaran sesat bukan pada kumpulan ajaran sesat kerana pada kebiasaannya kumpulan ajaran sesat wujud dalam pelbagai nama sebagai samaran dan pada kebiasaannya isi kandungan ajaran sesat hampir sama walau apa jua kumpulan dan nama baginya. Adalah penting bagi pembaca memahami ajaran sesat dari mengenali kumpulan ajaran sesat kerana dengan memahami ajaran sesat membolehkannya menjauhi ajaran berkenaan walau atas nama apa jua sekali pun.
  4. Seberapa mampu mungkin segala bentuk ajaran yang menyeleweng di dalam buku ini akan diusahakan jawapan terhadapnya bagi perbandingan para pembaca.
  5. Komentar-komentar di nota kaki dibuat bagi mengelakkan penerangan yang berjela-jela yang mungkin membosankan pembaca.

Ringkasan Kandungan

Buku ini dibahagikan kepada lima bab.

Bab pertama bertujuan memberi definisi yang jelas akan apa dia ajaran yang benar dan sesat. Dalam bab ini juga dihuraikan secara ringkas prinsip-prinsip pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai asas pegangan yang benar sebelum mengenali ajaran yang menyeleweng. Dengan memahami prinsip-prinsip ini membolehkan pembaca menapis apa jua ajaran yang bercanggah dengannya walau pun mungkin ia tidak dinyatakan sesat dalam buku ini.

Bab kedua bertujuan untuk memberi gambaran umum mengenai ajaran sesat dan kumpulan yang berkaitan dengannya. Ia menghuraikan sejarah perkembangan, kumpulan-kumpulan utama yang terdapat di Singapura, sifat-sifat dan ciri ajaran dan kumpulan ini, cara kumpulan ini menarik orang lain dan kandungan umum ajaran sesat yang wujud.

Bab ketiga bertujuan membincangkan secara lebih terperinci mengenai ajaran sesat dan kumpulannya. Bab ini menghuraikan kumpulan ajaran sesat, contoh-contoh ajaran sesat yang biasa terdapat dalam mana-mana ajaran sesat, buku-buku ajaran sesat dan ulasan kandungannya. Fokus ditumpukan pada aspek persamaan dari setiap ajaran-ajaran ini.

Bab keempat bertujuan mengumpulkan kertas-kertas kerja yang berkaitan dengan ajaran sesat yang pernah disampaikan di Singapura atau kertas-kertas kerja lain dan bahagian tertentu dari buku yang berkaitan dengannya yang dapat mendukung dan menguatkan hujah-hujah dalam bab sebelum ini. Bab ini ditulis sedemikian dengan mengekalkan, seberapa mungkin bentuk kertas yang asal, bagi mengekalkan nilai ilmiahnya dan memelihara keaslian kertas kerja ini sebagai bahan dokumentasi.

Bab kelima adalah penutup dan bertujuan untuk memberi garis pandu kepada pembaca akan langkah-langkah yang boleh diambil bagi membanteras ajaran sesat.

Di akhir buku ini akan disertakan lampiran-lampiran yang mengandungi ilustrasi, gambar-gambar dan rajah-rajah yang berkaitan ajaran sesat.

Penutup

Sebagai sebuah hasil usaha manusia yang lemah, buku ini pastinya tidak terlepas dari kelemahan. Adalah diharapkan agar masyarakat dapat memberi maklum balas yang membina dapat diberikan bagi membaiki isi kandungan buku ini.

Yang baik datang dari Allah taala. Manakala segala kekurangan datang dari kami.

Semoga Allah taala mengampunkan kelemahan kami dan menerima usaha ini sebagai amal jariah yang akan menjadi saham kami di Akhirat kelak.

Wassalam

Jawatankuasa Projek

Penerbitan Buku Ajaran Sesat PERDAUS