Terdapat tanggapan popular bahawa sifat-sifat dan tingkah laku Allah yang maha sempurna dan indah hanya layak untukNya sahaja. Ia bertujuan untuk manusia merasa keagunganNya.
Justeru itu, ramai kalangan Muslim merasakan bahawa sifat-sifat dan tingkah laku Allah tidak relevan bagi dirinya dan kehidupan sehariannya kerana manusia tidak boleh menyerupai Allah.
Ini adalah tanggapan yang silap. Allah tidak memberitahu manusia akan segala sifat dan tingkah lakunya hanya untuk memperkenalkan keagunganNya sahaja tapi juga untuk dicontohi oleh manusia dalam kehidupan mereka mengikut kesesuaian.
Muslim yang ingin cemerlang dalam segala aspek kehidupan sepatutnya mencontohi sifat-sifat Allah dan tingkah lakuNya terhadap hamba-hambanya pada batas-batas yang sesuai.
Salah satu aspek kehidupan Muslim ialah aspek kepimpinan iaitu sebagai ibu bapa kepada anak-anak atau abang/kakak kepada adik di rumah; guru kepada murid di sekolah; dan penyelia atau pengurus kepada bawahan di tempat kerja.
Allah selaku Tuhan yang tinggi statusnya, maha berkuasa dan mempunyai hak untuk ditaati oleh manusia adalah ibarat seorang pemimpin. PadaNya contoh tauladan yang baik dalam soal kepimpinan yang cemerlang.
Artikel ini tidak bertujuan untuk memberi huraian lengkap tentang “gaya kepimpinan” Allah kerana ruang yang terhad.
Apa yang ingin dicapai dari artikel ini ialah membina kesedaran dalam pembaca untuk mengkaji sifat-sifat dan tingkah laku Allah bagi membina bakat dan kebolehan kepimpinanan.
Artikel ini juga mengongsi beberapa pengajaran kepimpinan dari Allah sebagai contoh dan untuk amalan.
Unjuk Kuasa Yang Positif
Sebagai penguasa, Allah lebih suka membuat unjukan kuasa dengan cara yang positif iaitu menunjukkan keupayaanNya mencipta dan mentadbir alam ini dengan baik, memberi nikmat kepada semua hamba-hambaNya tanpa syarat dan mendahulukan sifat pengasihNya dari sifat-sifat yang lain.
Hal ini menguatkan hakikat bahawa Allah lebih suka dikenali sebagai Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang dari Tuhan Penimpa Azab dan Penghukum apabila dia memperkenalkan diriNya sendiri di ayat pertama dalam Al-Quran.
Memberi Bimbingan dan Didikan
Allah tidak hanya menuntut ketaatan, tapi juga membimbing dan mendidik hamba-hambaNya untuk bagaimana mentaatiNya. Dia utus anbiya’ kepada manusia dan menurunkan kitab sebagai rujukan mereka.
Hanya setelah berlaku perutusan nabi dan dijelaskan kepada manusia bimbingan ilahi barulah taklif (pertanggungjawaban) berlaku ke atas manusia.
Hanya setelah peluang bimbingan dan didikan Tuhan diberikan secukupnya, manusia dihukum atas keinkaran mereka (Al-Quran, 4:165, 26:208).
Hakikat yang sama juga dapat dilihat dalam hubungan Allah dengan sekalian nabi-nabiNya. Setiap nabi yang dipilih olehNya, dididik dan dipersiapkan dengan pengalaman hidup, kemahiran dan ilmu bagi membolehkan mereka menunaikan tugas.
Adam diberikan segala ilmu yang diperlukan (2:31).
Nuh diajar bagaimana membina kapal bagi menunaikan perintah Tuhan (11:37).
Daud diajar bagaimana melebur besi agar menjadi raja yang kuat (34:10).
Yusuf diberi keupayaan menganalisa keadaan dan masa depan sebelum menjadi menteri di bawah raja Mesir (12:5).
Muhammad dibersihkan hatinya dan dipelihara dari sekitaran yang tidak baik sebelum menjadi nabi (lihat surah Al-Dhuha).
Sokong dan Bantu
Apabila Allah menugaskan nabi-nabiNya, Dia tidak hanya membiarkan mereka bersendirian menghadapi segala cabaran dan susah payah tugas yang diberi.
Allah menyokong dan membantu mereka dengan mukjizat. Apabila berhadapan dengan soalan-soalan dan masalah-masalah yang sukar, Allah bantu memberi jawaban dan huraian.
Sebagai contoh, Allah membantu nabi Muhammad s.a.w menjawab soalan-soalan Quraisy tentang Ashabul Kahf (penghuni gua), Zulqarnain, Musa bersama Khidr (lihat surah Al-Kahf), peredaran bulan (2:189), ruh (17:85) dan menghuraikan masalah wanita yang dianiaya suami (58:1-4).
Allah memberi sokongan moral, psikologi dan kerohanian apabila nabi Muhammad s.a.w berasa sedih dan bimbing beliau bagaimana atasinya (15:95-9).
Dalam hal yang sama, Allah sentiasa mendengar keluhan hamba-hamba dan nabi-nabiNya tanpa kira masa (2:186, 2:213-4).
Allah turunkan malaikat untuk membantu (8:9) dan memberi pelbagai bantuan-bantuan material seperti yang dikurniakan kepada nabi Sulaiman (27:16-44).
Bantuan Allah ini pula diberi kepada sesiapa sahaja yang memerlukan dan berusaha tanpa kira samada dia beriman padaNya atau tidak (17:20).
Pemurah Dalam Ganjaran
Allah tidak hanya tuntut komitmen manusia untuk mentaatinya tapi Dia juga amat pemurah dalam memberi ganjaran bagi sesiapa yang melaksanakan tugas dengan baik.
Bagi setiap kebaikan di beri sepuluh ganjaran (6:160), bahkan adakalanya lebih (2:261)
Bahkan Allah bersifat pemurah kepada manusia sebelum manusia dipertanggungjawabkan untuk menunaikan segala taklif dengan menyediakan nikmat dan rezeki kepada mereka.
Dia tidak memerah masa dan tenaga manusia sebanyak mungkin dengan memberi seminima mungkin sebagaimana sesetengah golongan kapitalis hari ini.
Manusia tidak mungkin menjadi sepemurah Allah, tapi janganlah pula menjadi pemimpin yang bakhil dan pemeras pula.
Kesimpulan
Pada sifat-sifat dan tingkah laku Allah terdapat pengajaran bagi menjadi pemimpin yang baik untuk kita semua.
Sebagai pemimpin (ibubapa, abang/kakak, guru, aktivis masyarakat, pengurus/penyelia di tempat kerja), berusahalah untuk lakukan perkara-perkara berikut:
- membina ketaatan pengikut dengan cara yang positif iaitu membuktikan kemampuan untuk mengurus tanggungjawab dan menyediakan khidmat atau output yang bermanfaat kepada orang bawahannya. Jadilah pemimpin yang disayangi kerana sikap penyayangnya dan bukan digeruni kerana ancaman dan kuasanya;
- tidak sepatutnya hanya mengarah, memberi tugas dan meminta ketaatan, pemimpin yang baik harus bertanya sejauh mana dia telah berusaha dan melabur wang dan masa untuk membimbing, mendidik dan melatih pengikut-pengikutnya bagi menjalankan tugas dengan baik. Dia tidak menyerahkan segala itu kepada inisiatif peribadi para pengikut sahaja.
Dalam konteks keibubapaan, bertanyalah apa yang telah dilakukan dan dibelanjakan secukupnya untuk membimbing anak-anak menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka sebelum menghukum dan menyalahkan kegagalan yang berlaku; - bukan hanya yang memberi tugas dan tuntut ketaatan serta hormat tapi bersedia untuk membantu pengikut dan rakyatnya yang memerlukan bantuan kerana hadapi masalah peribadi dan cabaran kehidupan atau kerja, baik secara moral, material atau lain-lain. Pemimpin yang baik tidak membiarkan pengikut-pengikutnya terkapai-kapai sendirian dengan masalah kehidupan atas alasan, “itu masalah kamu”;
- tidak lokek dengan ganjaran, baik dalam bentuk pujian atau kebendaan. Imbuhan orang bawahan diberi sesuai dengan tugas dan tepat pada masa. Menawarkan insentif dan manfaat kerja yang kompetitif dan pemurah, bukan hanya untuk memaksimakan keuntungan peribadi/syarikat/organisasi atas alasan berjimat cermat.
Ustaz Muhammad Haniff Hassan adalah Zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratman, Universiti Teknologi Nanyang, Simgapura.