Beberapa Nota Berkaitan Sistem Pengiktirafan Asatizah

Bersama menjayakan

 

Idea untuk melaksanakan sistem pengiktirafan asatizah telah lama dijana. Seingat penulis, ia mula muncul pada ketika berlakunya insiden yang memeranjatkan ramai pihak, iaitu insiden seorang ustaz yang menikahi 10 orang anak gadis pada tahun 1994.

 

Asatizah sudah mula membincangkannya seawal tahun berkenaan dan agenda utama Mesyuarat Agung Pergas di tahun 1999.

 

Hari ini sistem berkenaan yang diusahakan oleh Pergas dengan kerjasama MUIS menjadi satu realiti apabila ia dilancarkan pada Disember 2005 setelah menapak dengan perlahan dan melalui pelbagai liku.

 

Pelaksanaan sistem ini bukanlah sesuatu yang terlalu baru hari ini. Di Malaysia telah lama diberlakukan sistem pentauliahan bagi guru-guru agama untuk membolehkan mereka mengajar dan berceramah di masjid-masjid, madrasah-madrasah dan di khalayak umum. Hanya perbezaan utamanya ialah sistem yang akan dilaksanakan di Singapra ini tidak boleh dikuatkuasakan secara undang-undang. Ia hanyalah inisiatif masyarakat. Mereka yang tidak akur atau menyalahi sistem ini tidak dapat didakwa atau dihukum di mahkamah undang-undang.

 

Samada sistem seperti ini relevan dalam dunia yang semakin terbuka hari ini masih boleh menjadi bahan perbincangan. Namun, realitinya ialah sistem ini sudah berada di hadapan mata untuk dilaksanakan. Ia tidak boleh diabaikan begitu sahaja kerana jika ia terbengkalai dan gagal kerana perbezaan pendapat mengenainya, ia akan memberi gambaran yang buruk kepada komuniti asatizah di mata masyarakat Islam dan imej masyarakat Islam di mata masyarakat Singapura yang lain.

 

Dasar syariat

 

Dari perspektif syara’, apa yang dilakukan ini sememangnya tidak ada ketentuan atau perintah yang qat’ii. Namun ia tidaklah boleh disifatkan sebagai tidak syar’ii atau bid`ah. Dasar pelaksanaan sistem ini dari segi syariat ialah pada pertimbangan menjaga maslahat dan menolak mudarat yang diakui oleh syara’. Oleh kerana sistem ini juga didokong oleh MUIS, penguasa tertinggi Islam Singapura, maka inisiatif ini boleh dasarkan pada kaedah fiqh yang berbunyi “Muamalah Ar-Ra’ii bi Ar-Ra`iyah Manutun bi Al-Maslahah”, urusan penguasa dengan rakyatnya bergantung pada maslahat yang hendak dicapai. Ertinya, penguasa agama mempunyai kuasa untuk melakukan sesuatu yang tidak ada anjuran dalam agama selama mana ia memenuhi maslahat yang diakui oleh syariat.

 

Untuk gambaran lebih jelas, bolehlah diqiyaskan perkara ini dengan keperluan pendaftaran bagi mengesahkan pernikahan dan perceraian yang diamalkan dibanyak negara-negara Islam hari ini. Pendaftaran seperti itu tidak ada perintahanya dalam syariat dan tidak pernah pula dinyatakan sebagai satu keperluan dalam kitab para fuqaha dahulu. Namun ia dikuatkuasakan hari ini kerana ia mempunyai banyak kebaikan yang memenuhi maslahat agama.

 

 Beberapa nota

 

Dalam kegigihan dan bersemangat untuk melaksnakan sistem pengiktirafan asatizah yang baru ini, penulis berhasrat untuk melontarkan beberapa pandangan bagi renungan semua pihak.

 

Pertama, semua pihak, khususnya masyarakat umum, yang mempunyai harapan yang tinggi terhadap sistem ini perlu memahami bahawa tiada satu sistem di dunia ini yang 100 peratus kebal dari kegenjotan. Pelaksanaan sistem ini tidak bermakna tidak akan wujud penyelewengan ajaran agama atau kemunculan kambing hitam dari kalangan asatizah atau dari dalam masyarakat Islam. Hal ini adalah kerana komuniti asatizah yang hendak diatur oleh sistem ini dan mereka yang melaksana dan membangun sistem ini dari kalangan asatizah tidak lain kecuali sebahagian dari manusia yang mempunyai kelemahan dan pasti melakukan kesilapan. Penguasaan ilmu agama tidak menjadikan komuniti asatizah kelompok manusia yang maksum atau selamat dari tergelincir oleh nafsu. Pelbagai insiden negatif yang melibatkan beberapa asatizah mengingatkan kita akan hakikat ini.

 

Masyarakat harus bersedia menghadapi kemungkinan ini dan tiada sesiapa pun sepatutnya berilusi bahawa kambing hitam tidak akan muncul lagi. Kefahaman seperti ini adalah penting agar tidak muncul tohmahan yang tidak berasas di masa akan datang.

 

Kedua, kewujudan sistem pengiktirafan tidak seharusnya melupakan semua pihak akan kepentingan elemen kawalan dalaman diri yang lebih menjamin integriti seseorang seperti sifat takwa dan amanah. Tiada sistem yang lebih ampuh bagi mengawal diri seseorang dari apa yang ada dalam dirinya sendiri. Seseorang yang banyak ilmu sekalipun tetapi rendah amanah pada diri sendiri, ilmu yang diperolehi dan masyarakat umum akan mudah berlaku khianat terhadap kesemua itu apabila berhadapan dengan ujian. Maka sebab itulah hadits ada mengingatkan umat Islam akan kewujudan ulama su’ (ulama yang jahat) dan sejarah menjadi saksi bahawa ulama seperti sememangnya wujud sepanjang masa.

 

Sebaliknya, seseorang yang kurang ilmu tetapi mempunyai amanah, dia tidak akan berani dan cepat berfatwa. Apabila dia tidak tahu, dia akan bertanya kerana sikap amanah yang ada dalam diri mendorongnya untuk berlaku jujur pada diri sendiri, ilmu dan masyarakat yang mengharapkan bimbingannya.

 

Ketiga, sejarah perkembangan ilmu-ilmu Islam dan tradisi para ulama dahulu banyak menunjukkan perkembangan yang bersifat sivil. Perkembangan yang yang meraikan keterbukaan dan menghargai kepelbagaian sehingga ia menjadi dinamo yang mencergaskan perkembangan ilmu dan inltelektual dalam masyarakat Islam walaupun keterbukaan ini menatijahkan kemunculan pelbagai fahaman dan aliran yang menyalahi fahaman arus utama umat Islam – Ahlus Sunnah Wal Jamaah – seperti aliran Muktazilah, Khawarij, Qadariyah dan Jabariyah. Sehingga pada satu ketika aliran Muktazilah mampu menjadi mazhab rasmi pemerintahan Abbasiyah yang mengkibatkan fitnah yang besar ke atas pelbagai ulama Sunni.

 

Ulama dahulu jarang menggunakan pendekatan dan penguatkuasaan undang-undang atau menggunakan kuasa politik untuk mengatasi dan membasmi pemikiran-pemikiran yang menyeleweng. Sebaliknya kita dapati dalam sejarah, ramai ulama-ulama yang jitu dan berwibawa ditekan dengan kuasa undang-undang. Mereka dipenjara, didera dan dihukum atas kebenaran yang dibela.

 

Para ulama dahulu menghadapi segala penyelewengan kefahaman sejajar dengan anjuran Al-Quran iaiatu dengan hikmah, nasihat dan debat yang terbaik sehingga menghasilkan khazanah ilmu yang tidak ternilai. Hujah dihadapi dengan hujah yang bernas dan buku dihasilkan untuk menyanggah buku yang lain.

 

Hakikat ini dapat kita lihat dari hasil karya seperti Minhaj As-Sunnah oleh Ibn Taimiyah bagi menyanggah kelompok Syiah Rafidhah, Tahafut Al-Falasifah oleh Al-Ghazali bagi menyanggah falsafah Greek yang menyerap dalam pemikiran agama umat Islam, lalu kitab itu disanggah pula Ibn Rusyd dengan kitabnya Tahafut At-Tahafut dan kitab Al-Milal Wa An-Nihal yang mendebatkan pelbagai agama selain Islam dan aliran yang menyeleweng dikalangan umat Islam.

 

Sistem pengiktirafan yang ada tidak boleh dijadikan jalan pintas untuk selesaikan penyelewengan dalam ajaran Islam sehingga menekan pihak lain yang berbeza pendapat atau mematikan daya intelek para asatizah dan ulama dalam menegakkan kebenaran.

 

Hakikat ini menjadi lebih penting jika kita memahami bahawa sistem pengiktirafan ini tidak sama sekali mampu untuk menangkis kemasukan pelbagai idea dari pelbagai “ulama” dari luar Singapura yang pastinya boleh mempengaruhi masyarakat tempatan.

 

Tradisi para ulama dahulu mestilah dihidupkan semula dan dipelihara. Terlalu bergantung pada penguatkuasaan undang-undang tidak sejajar dengan tradisi ulama dahulu yang kita hormati.

 

Dimensi Lain

 

Sistem pengiktirafan yang dilaksanakan hanyalah bertujuan untuk menetapkan kelayakan seseorang yang dianggap layak untuk menjadi pembimbing ilmu agama dan rujukan dalam masalah yang berkaitan dengan agama. Ia bukan bertujuan untuk melahirkan satu komuniti asatizah yang homogen di Singapura. Sistem ini sama sekali tidak dapat menghalang wujudnya kepelbagaian dan perbezaan di dalam komuniti asatizah. Perbezaan dan kepelbagaian akan terus ada kerana ia adalah sunnah alam ciptaan Allah. Perbezaan tidak bermakna penyelewengan.

 

Memahami hakikat ini adalah penting kerana keharmonian pengamalan agama yang mendasari sistem pengiktirafan yang dilaksanakan bukan hanya dicapai dengan mengatasi kambing-kambing hitam tetapi juga dalam menghadapi perbezaan yang wujud dikalangan asatizah.

 

Sekiranya para asatizah yang diperakui oleh sistem pengiktirafan tidak mampu untuk mengurus perbezaan sesama mereka dengan baik, ini pun akan memberi kesan negatif pada keharmonian amalan agama dalam masyarakat dan akan merosak imej agama, asatizah dan masyarakat Islam juga.

 

Atas dasar itu, penghayatan terhadap adab ikhtilaf dikalangan asatizah perlu sentiasa diingatkan semula dan terus dipupuk. Dalam hal ini, Piagam Kesederhanaan yang telah dirumuskan Pergas dalam bukunya Kesederhanaan Dalam Islam wajar dijadikan pegangan bersama komuniti asatizah Singapura.