Mengukuhkan Usaha Membanteras Ideologi Pelampau Melalui Hubungan Media Yang Baik

Versi asal dalam bahasa Inggeris boleh dibaca di http://www.rsis.edu.sg/publications/Perspective/RSIS1142009.pdf 

Mengukuhkan Usaha Membanteras Ideologi Pelampau

Melalui Hubungan Media Yang Baik 

Muhammad Haniff Hassan & Nur Azlin Mohamed Yasin

Badan-badan kemasyarakatan mempunyai peranan yang penting dalam membanteras fahaman pelampau di sebuah negara bukan Islam kerana mereka lebih mempunyai keabsahan untuk mendedahkan salah tafsiran agama yang telah dibuat oleh kelompok-kelompok pelampau.

Sehingga kini, badan-badan ini telah memainkan peranan yang baik. Namun, usaha untuk peningkatan hendaklah selalu diteroka.

 

Kejayaan membanteras fahaman pelampau memerlukan penyebaran meluas fahaman yang sederhana di kalangan awam. Hal ini pula memerlukan ruang di media arus utama.

 

Kepentingan Mendekati Media

 

Namun, seringkali pernyataan-pernyataan kelompok pelampau lebih mendapat liputan luas sehingga seolah olah pihak media bersekongkol dalam melantangkan suara pelampau.

Hakikatnya, media-media utama tidak memberi ruang istimewa bagi pihak pelampau tetapi mereka bersikap proaktif dengan sentiasa menghebahkan pernyataan-pernyataan yang mengandungi fahaman kepada media apabila mereka mahu dan ketika wujud peristiwa-peristiwa penting.

 

Sikap yang sama jugalah harus ditunjukkan oleh badan pembanteras fahaman pelampau. Adalah tidak realistik bagi badan kemasyarakatan yang menceburi usaha membanteras fahaman pelampau untuk menuntut pihak media berhenti dari melapor atau menyiar pernyataan-pernyataan kelompok pelampau. Langkah yang lebih membina ialah dengan membekalkan pihak media dengan pandangan-pandangan alternatif dan sanggahan-sanggahan yang dapat menolak fahaman pelampau.

 

Tambahan pula, badan-badan ini rata-rata tidak mempunyai media yang memadai untuk menyampaikan fahaman yang betul secara meluas dan tiada kemahiran yang tinggi dalam merangka fahaman dalam bentuk yang menarik untuk umum.

 

Kesemua ini menuntut agar badan-badan ini menjalin hubungan yang baik dengan media arus utama bagi membuka ruang yang lebih luas dan menimba pengalaman dan pengetahuan dalam bidang media. Untuk menjalin hubungan ini, adalah wajar jika pandangan dari mereka yang sudah berpengalaman di bidang media diperolehi. Untuk itu, seramai tujuh karyawan dalam bidang media dari Singapore Press Holdings dan Mediacorp diwawancarai untuk berkongsi pandangan. Berbicara sebagai individu, mereka ialah saudara Azahar Mohamed, Mohd Noor Rahman, Chairul Fahmy, Syed Zakir Hussain, Zackaria Abdul Rahim, Ahmad Dhafeer dan saudari Mazlena Mazlan.

 

Membina Keyakinan

 

Kesemua karyawan yang diwawancara bersetuju akan pentingnya hubungan yang kukuh antara media dan badan membanteras fahaman pelampau, membina keyakinan antara kedua belah pihak dan melestarikannya. Walau bagaimanapun, ini hendaklah dicapai melalui usaha-usaha yang menjangkau “hubungan kerja” yang formal semata-mata.

 

Apa yang diharapkan oleh pihak media ialah badan seperti ini membantu mereka melaporkan isu ini dalam bentuk yang objektif. Menurut saudara Zackaria, soalan-soalan seperti, ‘Fahaman siapakah yang disanggah? Kenapa? Mengapakah fahaman badan kemasyarakatan lebih benar dari fahaman yang dikritik?’ hendaklah dijawab dengan baik. Setelah itu, media dan orang ramai amat berminat untuk mengetahui kesan dari segala usaha yang telah dicurahkan selama ini. Saudara Cahirul Fahmy berpendapat ini dilakukan bukan hanya dengan berkongsi kisah-kisah kejayaan semata-mata kerana laporan media mengenai hambatan dan kegagalan dengan cara yang bertanggungjawab boleh membantu memberi kefahaman yang betul kepada orang ramai akan amanah tugas yang dipikul, bahawa membanteras pengganasan bukan satu usaha yang mudah. Dengan berkongsi kegagalan, Chairul Fahmy menambah, mungkin akan mengundang anggota masyarakat untuk berkongsi nasihat, idea atau cadangan yang bernas. Dengan cara ini, keyakinan terhadap usaha membanteras fahaman pelampau dipupuk bukan hanya dengan media tetapi juga dengan orang ramai.

 

Bagi menjayakan apa yang dinyatakan di atas, badan kemasyarakatn hendaklah mengikis persepsi bersifat stereotaip bahawa golongan media hanyalah berminat untuk mensensasikan sesuatu isu dari melaporkan pernyataan mereka dengan tepat dan saksama. Dalam hal ini, saudara Chairul Fahmy memberi maklumbalas agar sikap mempersoalkan kewibawaan karyawan media dan mengikat apa jua perkongsian maklumat dan pernyataan dengan kata-kata “off the record” dikikis. Sebagai pihak ketiga, tambahan beliau, persoalan-persoalan kritikal yang dikemukakan oleh media adalah penting agar media dapat menyampaikan kebenaran kepada orang ramai dan bukan semata-mata untuk menggali ruang bagi sensasi.

 

Melestari Hubungan Baik

 

Usaha membina hubungan baik tidak dicapai melalui satu program sahaja tetapi satu siri program yang berterusan dan tersusun. Saudara Syed Zakir, Zackaria, Mohd Noor dan Chairul fahmy mencadangkan, antara langkah-langkah yang boleh diambil, ialah mengundang para karyawan media ke majlis perkongsian dan sesi perbincangan yang boleh memberi kefahaman yang lebih baik akan kerja-kerja badan-badan berkenaan, pendirian dan pendapat mereka dalam pelbagai isu dan dapatan-dapatan penting yang diperolehi dari pengalaman dan kajian yang mereka lakukan.

 

Penulis artikel ini juga berpendapat bahawa amalan hubungan media yang baik sepatutnya melihat permintaan media untuk wawancara atau mendapatkan komentar sebagai satu peluang bagi menyebarkan fahaman yang betul disamping mengukuhkan lagi hubungan yang baik, dan bukan satu beban yang perlu dielakkan. Dalam hal ini konsep khidmat pelanggan yang baik boleh diterapkan oleh badan berkenaan dengan meletakkan kepentingan respon yang segera dan positif pada permintaan sedemikian. Sebagai contoh, kesediaan untuk memberi wawancara diluar waktu biasa adalah penting disebabkan kejadian-kejadian penting yang berlaku di merata dunia yang menjangkau zon masa yang berlainan dan keperluan media untuk membuat laporan yang segera. Selain itu, apa jua permintaan sewajarnya diberi layanan sehingga ketidaklapangan masa, perlulah dimaklumkan dengan cara yang terbaik dan bukan hanya bersikap berdiam diri kerana ia akan menimbulkan pra-sangka dan hilang keyakinan. Satu langkah bagi menangani perkara ini dengan berkesan ialah dengan melantik seorang individu khusus yang terlatih dalam urusan perhubungan media. Satu cadangan menarik dari saudara Azahar agar badan berkenaan menghantar ahli-ahli mereka menjalani satu program “attachment” dengan media dalam tempoh tertentu agar mereka dapat dilatih dalam bidang ini dan lebih memahami operasi media.

 

Saudara Zackaria mengusulkan sikap proaktif. Satu contoh, proaktif yang ingin diusulkan oleh penulis artikel ini, ialah untuk menjangka permintaan media lebih awal terutama apabila berlaku insiden yang biasanya mengundang permintaan komentar dari media.

 

Menulis Kepada Media

 

Usaha mendapat ruang di media bukan hanya bergantung pada hubungan media yang baik tetapi juga pada bahan yang disediakan untuk dilaporkan atau diterbitkan oleh media. Kesemua karyawan yang diwawancara menegaskan peri pentingnya bahan-bahan berkenaan bersifat mesra-media dan bukan dirangka ikut citarasa sendiri sahaja. Saudara Azahar menyatakan bahawa menghantar pernyataan media tanpa memahami apakah dia “berita” hanyalah membuang masa.

 

Empati

 

Walaupun artikel ini mengandungi beberapa langkah praktikal bagi badan-badan kemasyarakatan dalam rangka membina hubungan dengan media, namun yang lebih penting dari langkah-langkah itu ialah sifat empati dalam perhubungan, iaitu berusaha untuk memahami isu hubungan dengan meletakkan diri pada kedudukan karyawan media itu sendiri.

 

Pastinya pihak media juga mempunyai tanggungjawab untuk bersifat empati terhadap badan kemasyarakatan dan berinisiatif untuk melantangkan suara-suara sederhana, namun persoalan ini memerlukan artikel yang tersendiri untuk membahaskannya.

 

Muhammad Haniff Hassan adalah Zamil Penyelidikan Bersekutu dan Nur Azlin Yasin adalah Penganalisa Penyelidikan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang