(Nota: Artikel ini dipetik dan diubahsuai dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)
……. bersambung dari bahagian 1.
6. Dakwah adalah sebahagian dari kewajiban semua umat Islam dan syarat kemuliaan masyarakatnya. Ia mesti dilakukan dengan memberi pertimbangan pada maqasid syari`ah dan prinsip mengambil maslahat dan mudharat. Dakwah tidak boleh dilakukan dengan cara yang menimbulkan mudharat atau menghilangkan maslahat yang lebih besar.
7. Dalam persoalan fiqh, kita mengiktiraf mazhab Hanafi, Maliki, Asy-Syafi’i dan Hanbali sebagai mazhab yang boleh diamalkan oleh mana-mana umat Islam di Singapura. Begitu juga pandangan ulama-ulama mujtahid yang muktabar di sisi jumhur Ahli Sunnah Wal Jemaah yang lain. Namun demikian, dalam apa jua urusan rasmi, mazhab Asy-Syafi’i adalah mazhab rasmi.
8. Dalam persoalan aqidah, kita mengiktiraf pandangan Salaf dahulu dan mereka yang mengikuti prinsip Salaf kemudiannya sebagai pandangan yang selamat. Kita juga mengiktiraf mazhab Abu Musa Al-Asy’ari dan Abu Mansur Al-Maturidi sebagai sebahagian dari Ahli Sunnah Wal Jemaah.
9. Bahawa khilaf hanya tidak berlaku dalam persoalan yang mempunyai nas yang qat’ii. Dalam persoalan yang tidak mempunyai nas yang qat’ii, khilaf berkemungkinan wujud, samada dalam bidang aqidah, ibadah atau muamalah.
10. Khilaf dalam persoalan yang tidak mempunyai nas adalah diterima selama mana pandangan berkenaan mempunyai dalil yang sejajar dengan ilmu Usul Fiqh. Yang tidak dapat diterima ialah, khilaf yang terkeluar dari adab-adab ikhtilaf yang disepakati oleh para ulama.
11. Membolehkan pengikut dari mazhab yang berlainan beribadah di satu masjid yang sama dan setiap satu boleh berimamkan yang lain dalam solat berjamaah dan dalam menunaikan solat Jumaat.
12. Seseorang tidak boleh mengakui bahawa jemaah atau kumpulan atau pertubuhannya sahaja yang merupakan Jemaah Islam yang tulen, sesiapa yang tidak bergabung dalam jemaah / kumpulan atau pertubuhannya dikira terkeluar dari jemaah Islam dan tercela.
13. Dalam persoalan ijtihadi, seseorang tidak boleh mendakwa bahawa pandangan yang dipegangnya sahaja betul dan pandangan yang lain adalah salah, sesat atau bid’ah.
14. Setiap pandangan manusia, walau setinggi mana darjatnya, boleh diterima atau ditolak pandangannya kecuali pandangan Rasulullah s.a.w yang makum. Seseorang tidak boleh mengagungkan sesiapa sehingga menjadikan ia maksum dan sumber kebenaran.
15. Seseorang tidak boleh berlepas diri (Bara’) dari umat Islam yang lain.
16. Seseorang tidak boleh mengkafirkan orang lain. Tindakan menghukum sesuatu perbuatan sebagai kufur dan seseorang itu kafir hanya boleh dilakukan oleh Jawatankuasa Fatwa MUIS.
17. Menerima bahawa seorang Islam tidak menjadi kafir hanya kerana:
a. melakukan maksiat selama mana ia tidak menghalalkan maksiat berkenaan,
b. memegang jawatan politik di bawah negara pemerintahan bukan Islam,
c. masyarakat Islam yang duduk di bawah pemerintahan bukan Islam,
d. sesiapa yang tidak bersama dalam pertubuhan tertentu.
18. Menerima keharusan bertaqlid bagi orang awam dan tidak boleh mencela taqlid secara mutlak. Oleh itu, tidak boleh mewajibkan berijtihad ke atas semua orang.
19. Tidak menjadikan persoalan khilafiyah sebagai bahan kontroversi, polemik dan pertelingkahan dalam masyarakat. Perbincangan secara objektif dan ilmiyah digalakkan pada tempat dan dengan mereka yang sesuai.
20. Tidak mengkafirkan, menfasiq, mencela peribadi yang lain, membid`ahkan seseorang atau memanggil seseorang dengan nama-nama yang buruk pada persoalan khilafiyah atau kerana khilaf yang berlaku atau kerana kejahatan orang berkenaan.
21. Tidak membincangkan perkara yang remeh dan tidak berfaedah bagi pembangunan masyarakat.
22. Bid`ah idhafiyah, tarkiyah dan iltizam adalah masalah khilafiyah dalam fiqh yang tiadak sepatutnya dijadikan bahan pertelingkahan di tengah masyarakat umum.
23. Menolak uzlah dan memisahkan diri sama sekali dari masyarakat yang dicemari dengan kemungkaran kerana Islam adalah agama dakwah dan perjuangan.
24. Menerima bahawa bertarikat dan bertasawuf untuk tujuan membersihkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Allah adalah dibolehkan. Terdapat khilaf ulama dalam persoalan ini, setiap pandangan yang lahir dari ulama yang muktabar di sisi umat Islam harus dipegang kecuali terdapat Fatwa yang melarangnya.
25. Menerima bahawa ilham dan kasyf berlaku sebagai kurnia kepada hamba-hamba yang soleh tetapi ia tidak boleh menjadi dalil hukum syara’. Ia hanya boleh dijadikan panduan jika tidak bertentangan dengan syara’.
26. Menerima bahawa fatwa dan pandangan para ulama amat berkaitan dengan konteks masa, suasana dan persekitaran. Fatwa dan pandangan berkenaan boleh berubah dengan perubahan masa, suasana dan persekitaran selama mana bukan melibatkan sesuatu yang tsabit secara qat’ii.
27. Menghormati kedudukan penguasa dan beradab dalam menegur adalah dari adab Islam yang mulia dan manifestasi sifat sederhana.
Apa jua tindakan yang bercanggah dengan perkara yang dinyatakan di atas, maka ia adalah sikap melampau yang boleh diambil tindakan.