Singapura Sebagai Nadi Penting Pembaharuan Agama Serantau

(Artikel dibawah telah diterbitkan oleh Berita Harian (Singapura) pada 2 November 2012 dengan tajuk Bangkit peranan nadi umat serantau. Versi Berita Harian boleh didapati di http://cyberita.asia1.com.sg/komentar/bangkit-peranan-nadi-umat-serantau )

Hakikat bahawa Singapura adalah sebuah negara pulau yang kecil dan masyarakat Islamnya adalah minoriti, tidak harus menghalang dari mempunyai impian untuk memainkan peranan penting dalam pembaharuan agama serantau.

Singapura pernah memainkan peranan sedemikian. Bahkan, Singapura juga pernah menjadi nadi penting bagi kesusasteraan, perfileman dan ekonomi Melayu.

Tidak salah untuk masyarakat Islam Singapura bercita-cita untuk mengembalikan sejarah lalu.

Sejarah memang sepatutnya memberi inspirasi pada masyarakat untuk menjadi cemerlang dan bukan untuk mengagungkan masa lampau sahaja.

Terdapat banyak contoh yang mana status minoriti tidak menghalang sesuatu kaum memberi sumbangan besar di peringkat serantau atau antarabangsa seperti masyarakat Yahudi dan Cina.

Contoh Lalu

Syed Sheikh Al-Hadi, seorang tokoh dan perintis pembaharuan Islam dalam masyarakat Melayu dan merata Tanah Melayu, memulakan usahanya di Singapura pada dekad pertama abad ke dua puluh. Beliau giat menyebarkan idea pembaharuan agama yang diinspirasikan oleh Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rashid Ridha di Mesir.

Antara usaha beliau ialah penerbitan majalah Al-Imam dan penubuhan Madrasah Al-Iqbal, yang berbeza dengan institusi pondok, untuk menyebarkan idea pembaharuan yang diyakininya – dua usaha yang baru di kalangan orang Melayu.

Beliau kemudian berpindah ke Melaka (1915) dan seterusnya ke Pulau Pinang (1919) untuk meneruskan misinya.

Madrasah Aljunied Al-Islamiah juga satu contoh sejarah tentang sumbangan besar Singapura. Ia pernah menjadi institusi pendidikan agama unggul yang dihadiri oleh penduduk dari Tanah Melayu, Borneo dan Brunei. Lahir darinya tokoh-tokoh agama seperti mufti, menteri, profesor dan ilmuwan agama yang mempunyai peranan besar.

Singapura juga pernah menjadi pusat penting percetakan dan penerbitan buku-buku agama. Salah satu institusi yang masih kekal hingga hari ini ialah Pustaka Nasional (tubuh 1963) yang pernah menjadi penerbit dan pengedar buku-buku agama yang tersohor serantau.

Potensi Sekarang

Walaupun masyarakat Islam Singapura masih diselimuti oleh pelbagai masalah sosial dan terkebelakang dari kaum-kaum lain, ia tetap mempunyai potensi untuk memberi sumbangan besar pada pembaharuan agama serantau.

Potensi ini dapat dilihat dari beberapa pencapaian dan usaha-usaha berikut
• institusi masjid yang dinamik
• pembangunan wakaf
• pengurusan sijil halal
• Kumpulan Pemulihan Agama

Segala yang di atas telah menerima pelbagai pujian dan dijadikan contoh oleh pelbagai tokoh, penguasa dan pertubuhan sivil di negara berdekatan dan di negara-negara Barat.

Pelan Bertindak & Tukikan

Sekurang-kurangnya, tiga perkara penting dapat dikenalpasti sebagai aras tanda yang akan meletakkan Singapura sebagai nadi utama usaha pembaharuan agama di rantau ini dan tempat-tempat lain.

Pertama ialah bidang idea dan keilmuan. Hal ini merujuk pada keupayaan untuk menjana idea, ilmu dan karya-karya cemerlang secara prolifik yang dapat mencetus pembaharuan dalam kefahaman dan amalan agama umat Islam di mana-mana.

Sebabnya ialah semua usaha pembaharuan agama memerlukan dokongan idea dan ilmu yang kukuh.

Mengapakah almarhum Ustaz Ahmad Sonhadji dihormati? Kerana beliau antara segelintir tokoh agama yang mampu melahirkan kitab tafsir 30 juz penuh dalam bahasa Melayu.

Sanjungan yang diberi kepada tokoh-tokoh seperti Sheikh Al-Qaradawi dan Tariq Ramadan semua menunjukkan pada peranan idea dan ilmu sebagai nadi pembaharuan dan meluasnya pengaruh mereka.

Sejarah juga mengajar bahawa idea dan ilmu yang terakam dalam buku mempunyai kesan yang amat dalam dan lama yang menjangkau masa dan tempat. Sebagai contoh sumbangan kitab Tafsir Al-Azhar oleh Pak Hamka menjangkau masa hidupnya dan merentas batas negara asalnya Indonesia. Demikianlah juga karya ulama dahulu.

Kedua ialah bidang tokoh. Hal ini merujuk pada tokoh agama dihormati dan mempunyai pengaruh menjangkau negara Singapura seumpama almarhum Ustaz Ahmad Sonhadji Muhammad dan Pak Hamka.

Masyarakat Islam Singapura sering mengundang tokoh-tokoh luar negeri ke Singapura bagi mengisi program keagamaan, tapi amat jarang sekali asatizah tempatan diundang oleh masyarakat Islam luar negeri bagi membimbing mereka.

Ketidakseimbangan ini boleh berubah jika masyarakat Islam Singapura mampu melahirkan tokoh yang berkelayakan dan ia bermula dari satu impian dan perancangan yang jitu.

Bidang kedua ini juga berkait rapat dengan bidang pertama kerana idea dan karya cemerlang hanya boleh lahir dari seorang tokoh dan ketokohan seseorang juga diakui melalui karya dan idea-ideanya.

Ketiga ialah bidang institusi Islam. Masyarakat Islam Singapura perlu membangun institusi-institusi cemerlang yang dapat mencetus inspirasi perubahan dan menjadi model juga untuk masyarakat Islam lain. Kecemerlangan Madrasah Aljunied dahulu adalah contoh.

Di antara tiga bidang di atas, setakat ini masyarakat Islam telah pun menunjukkan keupayaan yang baik dalam bidang ketiga melalui beberapa institusi seperti masjid, pembangunan wakaf dan pengurusan sijil halal.

Institusi sedia ada ini perlu terus dikembang dan dimajukan agar kekal cemerlang. Namun, perlu juga usaha untuk mencemerlangkan lebih banyak lagi institusi yang ada seperti madrasah, program aLIVE, Mahkamah Syariah, pembangunan belia dan kesenian.

Bidang pertama ialah bidang yang paling perlu dibaiki kerana hakikatnya penghasilan karya ilmiah dan penulisan agamawan tempatan amat langka.

Bidang kedua juga mempunyai ruang besar untuk dibaiki. Namun, perubahan profil pendidikan asatizah tempatan, iaitu jumlah semakin ramai yang mempunyai ijazah pos sarjana (Master atau PhD) menunjukkan bibit yang baik.

Inisiatif MUIS memberi biasiswa bagi meningkatkan pendidikan asatizah ke peringkat pos sarjana dan dalam bidang pengkhususan yang kritikal di peringkat PhD juga satu langkah awal yang perlu diperkasakan lagi.

Masyarakat Islam Singapura juga boleh membuat tukikan (niche) untuk menjadi contoh cemerlang bagi masyarakat Islam minoriti serantau dan sejagat. Di negara-negara ASEAN, masyarakat Islam Singapura boleh dikatakan terkehadapan dibanding masyarakat Islam minoriti yang lain dan mempunyai posisi yang baik sebagai kaum minoriti untuk membimbing minorit Muslim yang lain. Pasaran bagi model Muslim minoriti Singapura di rantau ini adalah besar kerana hanya Malaysia, Indonesia dan Brunei sahaja yang mempunyai masyarakat Islam majoriti.

Penutup

Impian ini bukan bertujuan untuk kebanggaan kebangsaan tapi kerana keyakinan bahawa Islam menyuruh kita berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan (Al-Baqarah:148) dan menjadi golongan penyumbang bukan hanya penerima manfaat sahaja. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.” (Riwayat Al-Bukhari)

Mungkin ada yang bertanggapan bahawa impian ini ibarat angan-angan Mat Jenin. Namun, semua sejarah gemilang bermula dari satu cita-cita. Jika kita mengorak langkah yang serius hari ini, satu hari pasti akan sampai ke destinasi cita-cita itu kerana demikianlah hukum Tuhan di alam ini.