Wahai Saudara! Berubahlah……

Wahai Saudara! Berubahlah……

 Muhammad Haniff Hassan

Kenapa Berubah?

 

Muslim yang baik bukanlah seorang Muslim yang statik, beku dan kekal pada takuk lama – seorang yang apabila dinilai kehidupannya hari ini tidak menunjukkan perubahan yang signifikan pada ilmu, kemahiran, sikap, aset dan kehidupan agamanya jika dibanding dengan tahun-tahun sebelumnya.

 

Hal ini adalah kerana Islam adalah pro-perubahan dan menganggap beku, statik dan keberadaan pada takuk lama tidak sesuai dengan ajarannya. Hakikat ini dapat dilihat dari pelbagai ajaran Islam.

 

Pertama, Islam menjadikan islah (reformasi) sebagai tugas utama para anbiya untuk dicontohi oleh umat Islam yang lain, sebagaimana yang diucapkan oleh nabi Shuaib dalam Al-Quran, “…..Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki [islah] sedaya upayaku..” (Hud, 88). Kedatangan Rasulullah s.a.w membaiki masyarakat Arab dari kehidupan jahiliyah kepada kehidupan yang berteraskan Islam yang lebih baik memberi petunjuk yang sama.

 

Kedua, ajaran Islam mengandungi anjuran untuk berhijrah. Makna hijrah bukan terhad hanya pada perpindahan dari satu tempat kepada tempat lain. Makna yang lebih penting dari hijrah ialah berpindah dari satu keadaan yang buruk kepada yang baik atau dari kedaan yang baik kepada lebih baik lagi.

 

Ketiga, tradisi Islam menganggap golongan yang statik sebagai rugi dan yang beruntung dan mendapat kepujian ialah mereka “yang hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik pula dari hari ini” – satu ungkapan yang diriwayatkan dari para ulama.

 

Apa Hendak Diubah?

 

Dalam Islam, teras bagi segala kemajuan masyarakat dan tamadun terletak kepada individu manusia. Sebab itulah Allah jadikan manusia sebagai khalifahnya, bukan makhluk lain. Selain itu, Allah mengutus para anbiya dari kalangan manusia untuk menyampaikan ajaran Allah yang mana sasaran utamanya ialah manusia juga.

 

Oleh itu, perubahan masyarakat Islam, baik diperingkat tempatan atau global, hendaklah berteraskan perubahan manusia. Artefak-artefak zahir seperti teknologi dan seni yang pada hari ini dinilai sebagai simbol kejayaan dan kemajuan, hanyalah natijah dari perubahan manusia, bukan fokus perubahan itu sendiri.

 

Perubahan Seimbang & Total

 

Apabila bercakap tentang manusia pula, ia haruslah menjurus pada fahaman manusia secara total, bukan yang menumpu pada sudut tertentu sahaja. Hal ini melibatkan, antara lain, sudut intelek atau akal, rohani, emosi dan fizikal manusia. Ia juga meliputi domain kemahiran (skills), nilai (values) dan akhlaq mulia atau adab (behaviours).

 

Hal ini adalah kerana Islam bukan hanya agama ilmu, tapi juga akhlaq yang mulia; bukan hanya agama iman dan kerohanian, tapi juga menganjurkan intelektualisme yang tinggi; dan bukan hanya memberi nilai tinggi pada ibadat khusus, tapi sumbangan konkrit untuk alam sejagat seperti kemajuan sains, teknologi dan seni.

 

Ertinya perubahan yang hendak dicetus juga mestilah seimbang bagi melahirkan manusia yang seimbang juga. Perubahan pada manusia tidak boleh ditumpukan hanya pada aspek ilmu sahaja. Lebih dangkal lagi, jika ia tertumpu pada ilmu-ilmu duniawi semata-mata. Mereka yang condong pada perubahan kerohanian atau aspek keagamaan seseorang juga perlulah faham bahawa penanaman iman dan akidah yang betul dan kemantapan ilmu agama bukan jaminan seorang Muslim dapat memainkan peranan yang berkesan sebagai khalifah Tuhan untuk memakmurkan bumi dan bermanfaat pada manusia.

 

Peranan khalifah sedemikian memerlukan pelbagai kemahiran dan ilmu-ilmu yang menjangkau bidang keagamaan. Jika iman dan kedalaman ilmu agama sahaja memadai, sudah pastilah universiti-universiti Islam lebih unggul dari universiti-universiti lain pada hari ini.

 

Pentingnya Pengurusan

 

Selain dari kesedaran akan kepentingan perubahan dan kefahaman akan fokus dan konsep perubahan total, satu unsur penting yang lain bagi menjayakan perubahan dalam diri ialah perancangan dan pengurusan diri yang berkesan.

 

Dari sudut agama, perkara ini dapat dilihat dengan jelas dari sejarah Rasulullah s.a.w. Sesiapa yang mengkaji sejarah Rasulullah s.a.w dengan teliti akan tahu bahawa ia mengandungi banyak pengajaran tentang perancangan dan pengurusan yang baik. Bahkan, tidak salah kalau disimpulkan bahawa kejayaan perjuangan beliau s.a.w bukan hanya kerana imannya yang tinggi dan bantuan Tuhan, tetapi juga kerana kebijaksanaannya merancang dan mengurus. Ketelitian beliau dalam merancang dan mengurus terserlah, sebagai contoh, dalam hijrah beliau dari Mekah ke Madinah apabila beliau membahagi tugas-tugas antara para pembantunya, merancang tempat dan tempoh persembunyian tempat dan memilih laluan berlainan.

 

Oleh itu, jangan sekali seorang Muslim yang warak bertanggapan isu perancangan dan pengurusan tidak relavan dalam isu perubahan. Tanpa perancangan dan pengurusan seseorang itu tidak akan kompeten untuk menjayakan projek perubahan manusia, baik untuk diri sendiri atau orang lain.

 

Namun, ramai Muslim yang tahu akan kepentingan pengurusan dan perancangan, tapi hanya tahu mengamalkannya di tempat kerja, untuk mempelajari ilmu-ilmu akademik dan urusan-urusan keduniaan sahaja. Mereka gagal pula untuk menggunapakai ilmu dan kemahiran ini untuk perubahan sudut kerohanian atau keagamaan diri. Hal ini menatijahkan individu Muslim yang tidak seimbang pembangunan diri kerana sudut rohani dan agama seringkali terbengkalai disebabkan tiada penerapan amalan pengurusan yang baik.

 

Mereka ini perlu menyedari, sebagaimana tugas-tugas dipejabat dan sekolah, ibadah, kewajiban agama dan keperluan rohani tidak akan dipenuhi secara maksimum jika tidak ada usaha serius untuk merancang dan mengurusnya. Seringkali, semua itu akan terpinggir disebabkan pengaruh dunia yang melalaikan.

 

Sebab tiada perancangan dan pengurusan, ramai Muslim yang tahap pembelajaran agamanya statik dan tidak meningkat, berbanding pencapaian akademiknya. Ibadah semudah solat witir yang hanya boleh dilakukan satu rakaat setiap malam dalam keadaan duduk pun tidak tersempurnakan, kecuali apabila di bulan Ramadan. Kenapa? Kerana tidak pernah merancang untuk melakukannya dan tidak pula mengurus masa untuknya.

 

Yang Bermasalah

 

Visi masyarakat Islam yang cemerlang tidak akan tercapai jika anggota masyarakat Islam dijangkiti dengan pelbagai masalah yang menghambat perubahan dirinya. Mengenalpasti pelbagai jenis golongan bermasalah dan penyelesaiannya adalah penting juga.

 

Sebagai contoh, ada dari kalangan masyarakat Islam mereka masih tidak tahu akan kepentingan dan konsep perubahan yang perlu dilakukan. Mereka ini perlu diberi kesedaran dan kefahaman.

 

Ada pula, yang tahu dan faham konsep yang betul, tapi tiada kemahiran untuk mencapainya. Mereka berusaha keras tapi tidak menghasilkan natijah yang optimum kerana, sebagai contoh, tidak tahu merancang dan mengurus usahanya dengan baik. Mereka ini perlu diperkasakan dengan kemahiran yang diperlukan.

 

Ada juga yang tahu, faham dan berkemahiran tapi malas. Mereka ini mungkin memerlukan penawar pada nilai dan sikap.

 

Apa pun, setiap anggota masyarakat Islam perlulah melakukan muhasabah diri apabila berhadapan dengan isu perubahan diri ke arah lebih baik. Bermuhasabah, samada mereka telah faham, bertindak dengan betul, mempunyai kompetensi yang diperlukan dan menilai apakah mereka semalam dan hari ini dan apakah pula sasaran untuk masa depan yang lebih baik. Jika budaya seperti ini meluas di kalangan masyarakat kita, ia petanda bahawa masyarakat Islam berada pada kedudukan yang positif.

 

Kesimpulan

 

Ada sesetengah pihak yang bimbang bahawa seruan perubahan akhirnya akan menjurus kepada kompromi pada prinsip agama. Kebimbangan ini perlulah diseimbangkan oleh dua perspektif. Pertama ialah penilaian secara kritikal samada yang dikatakan sebagai prinsip, memang sebenarnya prinsip kerana realitinya terdapat kecenderungan di kalangan sesetengah pihak yang memprinsipkan perkara yang jika dinilai pada tradisi Islam bukanlah prinsip yang sama sekali tidak boleh menerima perubahan atau perbezaan pendapat. Kedua ialah usaha nasihat menasihati secara beradab dan tawaduk sesama anggota masyarakat sejajar sebagaimana hadits yang mengatakan bahawa Islam adalah nasihat bagi semua dan intipati dari ayat terakhir dari surah Al-Asr dalam Al-Quran.