Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 18 Disember 2020, di sini.
“Sesungguhnya Qarun adalah dia dari kaum Nabi Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Dia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).” (Al-Qasas: 76)
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas: 77)
“Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).” (Al-Qasas: 78)
“Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah dia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.” (Al-Qasas: 81)
Pelajaran
- Ayat-ayat di atas menceritakan kisah Qarun dan pelajaran penting darinya kepada Muslim tentang menjadi kaya di dunia ini.
- Pada asalnya, Qarun adalah salah seorang dari pengikut Nabi Musa a.s. Namun, beliau berubah menjadi pengikut Firaun yang menentang kuat usaha dakwah Nabi Musa a.s setelah menjadi kaya (Al-Qasas: 76, Al-Ankabut: 39 dan Ghafir: 24)
Kerana kedegilannya dalam menentang Nabi Musa a.s, Qarun dan kekayaannya dimusnahkan oleh Allah taala dengan menenggelamkannya dan segala kekayaannya ke dalam bumi (Al-Qasas: 81). - Walau pun ayat-ayat di atas menceritakan tentang kemusnahan Qarun yang kaya raya, tapi ia bukan dalil bahawa Islam melarang atau tidak menggalakkan Muslim menjadi kaya raya atau jutawan bagi mengelak dari menjadi seperti Qarun.
- Firman Allah taala, “dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia” (Al-Qasas: 77) memberitahu bahawa menjadi kaya hingga ke peringkat jutawan bukan isunya di sini selama mana;
a) tidak menggadai kejayaan di Akhirat (Al-Qasas: 77) seperti lupa tanggungjawab kepada Allah taala
b) tidak mencetus kerosakan di muka bumi seperti berusaha untuk kaya dengan cara yang memudaratkan alam dan menzalimi hak orang lain (Al-Qasas: 77)
c) lupa atau abaikan laksanakan kebaikan kepada orang lain untuk kaya atau setelah kaya (Al-Qasas: 77) seperti tidak menunaikan kewajipan zakat atau tidak membantu golongan yang memerlukan. - Untuk menambah kejelasan, Allah taala memberitahu sebab-sebab kemusnahan Qarun bukan kekayaannya, tapi;
a) sombong (Al-Qasas: 76)
b) zalim (Al-Qasas: 76)
c) tidak bersyukur kepada Allah taala atas nikmat yang dikurniakan dan anggap kekayaannya adalah hasil usaha dan kepintaran diri sahaja (Al-Qasas: 78) - Dalil lain bahawa Islam tidak menghalang Muslim untuk menjadi jutawan di dunia ialah firman Allah taala, “Tuhan kami! Berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di Akhirat dan lindungilah kami dari azab neraka.” (Al-Baqarah: 201)
Kebaikan di dunia dalam ayat ini boleh ditafsirkan meliputi juga harta benda yang banyak.
Perhatikan! Doa mendapat kebaikan di dunia di dahulukan sebelum mendapat kebaikan di Akhirat.
Tidak syak bahawa Islam memang anjurkan Muslim untuk mengutamakan kehidupan di Akhirat dari di dunia (Al-A`la: 17 dan Ghafir: 39). Namun, mendahulukan penyebutan kebaikan di dunia dalam ayat ini pasti mempunyai pelajaran juga.
Antara pelajaran yang boleh disimpulkan berdasarkan pengamatan kehidupan dan ayat-ayat Al-Quran yang yang lain, kebaikan di dunia seperti kekayaan yang banyak adalah wasilah yang Allah taala sendiri cipta bagi mencapai kebaikan yang berganda di Akhirat kelak dan bagi menunaikan sebahagian dari perintahNya. Sebagai contoh, semakin banyak harta seseorang semakin banyak jumlah zakat yang dapat dikeluarkan dan semakin besar pula pahala yang diperolehi. Harta yang banyak juga membolehkan seorang Muslim untuk melakukan amal jariah yang selain zakat seperti melakukan wakaf dan membina institusi-institusi kebajikan masyarakat. - Turut menyokong bahawa kekayaan yang banyak bukan mesti tercela ialah hakikat bahawa Allah taala menjadikan sebahagian dari para anbiya’ golongan yang memiliki harta yang banyak dan mewah seperti Nabi Daud a.s. dan anaknya Nabi Sulaiman a.s..
Allah taala juga menawarkan Nabi Muhammad s.a.w untuk mempunyai kekayaan yang banyak dengan menjadikan bukit-bukit di sekitar Mekah emas untuk sara hidupnya. Namun, Nabi s.a.w lebih suka hidup yang sederhana. Jika memiliki harta yang banyak satu celaan, pasti Allah taala tidak menawarkan kepada Nabi s.a.w kerana mustahil bagi Allah taala menawarkan sesuatu yang tercela kepada NabiNya. - Dalam sejarah Nabi s.a.w juga terdapat bukti sokongan, iaitu kewujudan para sahabat yang kaya yang membantu perjuangannya seperti isterinya Khadijah r.a, Uthman bin Affan r.a. dan Abdul Rahman bin Auf r.a..
Nabi s.a.w tidak melarang mereka menjadi kaya dan tidak mencela kekayaan mereka, walaupun beliau sendiri memilih untuk hidup sederhana. - Kesimpulannya, menjadi jutawan adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam ke atas Muslim kerana Allah taala menjadikan harta pembuka jalan bagi mengumpul banyak kebaikan di Akhirat (Al-Qasas: 77 dan Al-Baqarah: 201).
Namun, contohilah Nabi Daud a.s dan Nabi Sulaiman seperti yang disebut dalam Al-Naml: 15-44, Saba’: 10-4 dan Sad: 17-40 untuk yang ingin atau yang telah menjadi jutawan dan jauhi dari jalan yang ditempoh oleh Qarun yang disebut dalam ayat di atas.