Pesanan Dari Al-Quran #20 – Risiko Jika Tidak Faham Konteks Ayat-ayat Al-Quran

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 19 Mac 2021, di sini. 

“….Dan bukanlah kebajikan memasuki rumah-rumah dari belakangnya, akan tetapi kebajikan itu ialah kebajikan orang yang bertakwa. Dan masuklah ke rumah-rumah itu dari pintunya; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung.” (Al-Baqarah: 189)

“Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertakwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Al-Maidah: 93)

Pelajaran

  1. Ayat Al-Baqarah: 189 bukan dalil bagi larangan memasuki rumah dari pintu belakang dan wajib memasuki rumah dari pintu depan, walau pun itu jelas tersurat dalam maksud ayat.

    Fahaman seperti ini adalah salah sama sekali dan petanda kejahilan seseorang dalam memahami Al-Quran.

  2. Bagi memahami ayat Al-Baqarah: 189 dengan tepat, perlu kepada pengetahuan tentang kisah disebalik turun ayat ini, iaitu ia merujuk kepada tradisi khurafat kaum Arab sebelum Islam yang bertanggapan mereka yang sedang berihram hendaklah memasuki rumah dari pintu belakang kerana memasukinya dari pintu depan ketika itu akan membawa sial.

    Ayat ini diturunkan bagi membatalkan amalan khurafat ini. Ertinya tidak salah untuk masuk rumah ketika berihram dari mana-mana pintu, baik pintu belakang atau depan.

  3. Ayat Al-Maidah: 93 pula boleh menyebabkan salah faham, iaitu seorang yang beriman dan melakukan amal soleh secara konsisten boleh memakan apa sahaja, walau pun apa yang telah diharamkan oleh syariat Islam seperti minum arak, kerana Allah taala telah menafikan dosa bagi perbuatan itu dalam ayat ini. Fahaman ini pernah dilaporkan dalam kitab-kitab tafsir.

  4. Yang betul ialah ayat ini diturunkan bagi menafikan dosa bagi mereka yang mati sebelum turun ayat yang mengharamkan arak.

    Allah taala mewahyukan ayat ini kerana sebahagian para sahabat bertanya kepada Nabi s.a.w bagaimana keadaan mereka yang sebelum ini telah minum arak tapi mati sebelum ia diharamkannya.

    Allah taala menjawab melalui ayat ini bahawa golongan yang seperti tidak berdosa seperti mereka yang minum arak setelah turun ayat yang mengharamkannya.

  5. Maka ayat-ayat ini mengajar Muslim akan pentingnya untuk mengetahui konteks penurunan sesuatu ayat bagi mendapat kefahaman yang tepat tentangnya dan tidak berpada pada makna dan maksud yang dapat dirumus dari teks semata-mata.

  6. Sememangnya bukan semua ayat-ayat Al-Quran mempunyai sebab turun yang diketahui dan dirakamkan oleh kitab-kitab para ulama.

    Namun terdapat banyak ayat-ayat lain yang seperti di atas yang perlu pada ilmu tentang sebab turun ayat.

    Oleh itu, sesiapa yang ingin memahami Al-Quran dengan baik perlu mengandaikan dan mencari sebab turunnya dahulu sebelum membuat rumusan hanya berdasarkan teks semata-mata.

  7. Kepentingan memahami sebab turun ayat juga dapat dilihat pada sikap para ulama apabila menulis kitab-kitab tafsir.

    Mereka akan sentiasa mencari sebab turun sesuatu ayat sebelum menghuraikan mana-mana ayat Al-Quran.

    Sebahagian dari mereka pula mendedikasi karya khusus bagi mengumpul sebab-sebab turun ayat Al-Quran.