Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 18 Mac 2022, di sini.
“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu [kaum Thamud] khalifah-khalifah sesudah kaum Ad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi.” (Al-A`raf: 74)
“Apakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermain-main, dan kamu membuat benteng-benteng dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)? Dan apabila kamu menyiksa, maka kamu menyiksa sebagai orang-orang kejam dan bengis.” (Al-Shu`ara’: 118-30)
“Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba´, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: Dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun.” (Saba’: 15)
“(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka). Iaitu penduduk ‘Iram’ yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya). Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)?” (Al-Fajr: 6-8)
“Banyak sungguh kebun-kebun dan mata air, mereka [Firaun dan kaumnya] tinggalkan. Dan juga berbagai jenis tanaman serta tempat-tempat kediaman yang indah mulia. Dan juga kemewahan hidup, yang mereka sekian lama menikmatinya.” (Al-Dukhan: 25-7)
Pelajaran
- Semua ayat-ayat di atas menceritakan keadaan kaum-kaum sebelum Nabi Muhammad s.a.w (Ad, Thamud, Firaun dan Saba’) pada ketika mereka dimusnahkan oleh Allah taala kerana tidak mahu menerima kebenaran dan berlaku zalim disebabkan degil dan sombong.
- Ketika dimusnahkan, kaum-kaum ini sedang berada dalam keadaan pencapaian tamadun dan kekuatan yang tinggi dari segi ilmu, teknologi dan tentera, bukan dalam keadaan lemah dan sengkek.
- Namun keadaan ini bukan hanya berlaku pada kaum kafir yang tidak beriman kepada Allah taala.
Keadaan yang sama juga berlaku pada umat Islam seperti yang berlaku pada kerajaan Abbasiyah di Baghdad dan Bani Umayyah di Andalus yang jatuh dan musnah ketika berada di tahap kemajuan yang tinggi dan kaya raya, walaupun korup dari segi nilai dan kerohanian. - Yang menjatuhkan kaum-kaum ini bukan kemiskinan atau kekurangan pada kebendaan, tapi kerana kemiskinan pada nilai dan kerohanian;
– menjadi sombong terhadap sesama manusia hingga melakukan kezaliman
– menjadi sombong kepada Tuhan hingga hilang rasa syukur atas nikmat yang ada dan abaikan perintahNya
– hilang budi dan kesantunan kerana lebih utamakan berpoya-poya hingga tiada peduli dan ihsan pada golongan yang susah
– leka dengan pencapaian dan kemajuan yang ada, memandang rendah kaum lain. - Islam menggalakkan umatnya maju dan hebat sebagaimana pencapaian Nabi Daud a.s., Nabi Sulaiman a.s. dan Zulqarnain.
- Namun kisah kaum-kaum yang dimusnahkan dan sejarah kejatuhan kejaraan-kerajaan Islam yang lalu juga mengajar agar umat Islam tidak dilekakan oleh kemajuan yang dicapai hingga kemajuan itu menyebabkan pengulangan kesilapan umat-umat yang telah berlalu yang diperingatkan oleh Al-Quran.
- Apabila telah capai kemajuan yang tinggi, hendaklah sentiasa melakukan muhasabah atau penilaian diri.
Yang perlu dinilai bukan hanya soal turun naik nilai aset kebendaan, tapi juga turun naik nilai dalam diri dan akhlak dalam hubungan sosial. - Jangan terlalu “seronok” apabila di puncak kejayaan, kerana “kejatuhan” boleh tiba tanpa diduga.
- Berdasarkan ayat-ayat di atas, kemajuan dan kemewahan bukan semestinya petanda baik, tapi juga petanda buruk.
Oleh itu, apabila membuat penilaian, tanyakanlah soalan-soalan yang jujur akan kemungkinan kededuanya sekali.
Islam memang mengajar umatnya untuk mempunyai minda yang optimis dan positif, tapi Islam juga memberi amaran agar tidak leka dan lupa diri disebabkan kesenangan yang ada.