Pesanan Dari Al-Quran #45 – Su’ Al-Khatimah (Mati Yang Buruk) Tidak Mesti Menimpa Penentang Kebenaran Yang Tegar (1 April 2022)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 1 April 2022, di sini.

“Dan bukan sedikit (penduduk) negeri-negeri yang lebih kuat dari (penduduk) negerimu (wahai Muhammad) yang telah memaksamu keluar (berhijrah) Kami binasakan mereka, maka tiadalah sesiapa pun yang dapat membela mereka.” (Muhammad: 13)

Pelajaran

  1. Ayat ini merujuk kepada golongan Musyrik Mekah yang menolak dan menentang kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan keras hingga menyebabkan beliau perlu berhijrah ke Madinah bagi menyelamatkan diri dan para sahabat.

    Di malam Nabi s.a.w keluar dari Mekah dalam perjalanan ke Madinah untuk berhijrah, beliau menoleh ke arah Mekah dan berkata dengan perasaan amat sedih, “Wahai Mekah! Jika tidak kerana penghunimu menghalau aku, aku tidak akan sama sekali meninggalkan kamu.”

    Allah taala turunkan ayat ini bagi menunjukkan sokonganNya kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya dengan itu hatinya menjadi tenang dan kurang kesedihannya.

  2. Ayat ini juga diturunkan bagi menunjukkan sikap keras Allah taala terhadap penentangan penduduk Mekah selama 13 tahun terhadap Nabi yang diutuskan olehNya.

    Sikap keras ini dapat dilihat dari ancaman kemusnahan ke atas mereka seperti yang pernah menimpa umat dahulu terhadap Nabi yang diutuskan kepada mereka.

    Ia juga membuktikan betapa tegar kedegilan dan penentangan yang ditunjukkan oleh penduduk Mekah ke atas Nabi Muhammad s.a.w sehingga melayakkan mereka menerima ancaman yang begitu keras.

  3. Namun sejarah akhirnya menunjukkan bahawa ancaman keras ini tidak dilaksanakan oleh Allah taala ke atas penduduk Mekah.

    Allah taala mentakdirkan Mekah dikuasai semula oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para pengikutnya pada tahun kelapan setelah hijrah. Kebanyakan penduduknya kemudian memeluk agama Islam yang ditentang dengar keras termasuklah para pembesar Mekah yang memimpin beberapa peperangan ke atas umat Islam di Madinah dan membunuh ramai kaum Muslimin seperti Abu Sufian. Sebahagian pula memeluk Islam lebih awal seperti Khalid bin Al-Walid.

  4. Kisah ini memberi pelajaran tentang dakwah, iaitu mereka yang kuat menentang Islam selama bertahun-tahun hingga layak menerima ancaman bala yang keras pun belum tentu akan mengakhiri hidup mereka dengan su’ al-khatimah.

    Oleh itu, tidak boleh ada tanggapan bahawa golongan ini sudah tidak boleh harap untuk menerima kebenaran atau pintu hidayah untuk mereka sudah tertutup rapat.

  5. Ayat ini memberitahu bahawa Muslim hendaklah sentiasa mengekalkan sikap optimis, iaitu peluang untuk menjadi baik sentiasa terbuka selama seseorang itu masih hidup. Maka yang perlu dilakukan ialah untuk terus berusaha tanpa putus asa.

    Rasa jenuh dan letih berdakwah kepada seorang yang tegar adalah sesuatu yang manusiawi. Namun, ia tidak seharusnya memupuk tanggapan dalam diri bahawa orang itu “sudah tiada harapan” untuk berubah atau sudah termaktub sebagai manusia jahat.

  6. Jika insan yang kuat menentang Islam seperti Abu Sufian pun belum pasti mati seperti temannya Abu Jahal atau Abu Lahab, individu-individu yang hanya banyak melakukan maksiat seperti pelacur, penzina, pemabuk dan tahi judi tapi tidak menentang Islam pasti juga mempunyai peluang yang sama.

    Allah taala mungkin memberi mereka hidayah kemudian hari, walau setelah bertahun-tahun bergelumang dalam maksiat.

  7. Abu Sufian, Abu Jahal, Abu Lahab dan ramai “Abu” yang lain adalah penentang Islam yang tegar, tapi mereka tidak sama. Ada yang mati dalam kesesatan tapi juga yang mendapat hidayah kemudian.

    Maka, jangan cepat menyimpulkan bahawa seseorang itu “sudah tiada harapan” kerana dia pelaku maksiat yang tegar, kerana mungkin sahaja dia adalah seperti Abu Sufian – calon Muslim yang baik hanya belum tiba masanya sahaja.