Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 15 April 2022, di sini.
“Firaun menjawab: Bukankah kami telah memeliharamu [Musa] dalam kalangan kami semasa engkau kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu?” (Al-Shu`ara’: 18)
“Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (jenayah) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dari orang-orang yang tidak mengenang budi?” (Al-Shu`ara’: 19)
“Nabi Musa berkata: Aku melakukan perbuatan yang demikian sedang aku ketika itu dari orang-orang yang belum mendapat petunjuk.” (Al-Shu`ara’: 20)
“Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan agama dan menjadikan daku seorang RasulNya.” (Al-Shu`ara: 21)
“Dan budimu [Firaun] memeliharaku [Musa] yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.” (Al-Shu`ara’: 22)
Pelajaran
- Ayat-ayat Al-Quran di atas merakam perbualan antara Firaun dan Nabi Musa a.s ketika Nabi Musa menghadap Firaun untuk berdakwah kepadanya.
Dalam perbualan ini, Firaun mengingatkan Nabi Musa a.s akan budi dan jasanya, iaitu membesarkan beliau di istana setelah dikutip dari sebuah peti yang dihanyutkan oleh sungai ketika masih bayi oleh permaisuri Firaun (Al-Shu`ara’:18-9, Taha: 39).
Permaisuri Firaun merayu agar dia dibenarkan untuk mengambil bayi itu sebagai anak angkat dan Firaun pun membenarkannya sedangkan pada ketika itu dia telah mengarahkan askar-askarnya untuk membunuh semua bayi lelaki dari kalangan Bani Israil (Al-A`raf: 127, Al-Qasas: 7-9).
Nabi Musa a.s. membesar dalam istana Firaun hingga dewasa. Beliau hanya meninggalkan istana kerana takut akan hukuman ke atas dirinya kerana menyebabkan kematian salah seorang pengikut Firaun yang menzalimi rakyat biasa di jalanan (Al-Qasas: 16-21). Peristiwa ini berlaku sebelum Nabi Musa a.s menerima wahyu dari Allah taala untuk berdakwah kepada Firaun dan menyelamatkan Bani Israil di Mesir. - Al-Quran merakam jawapan Nabi Musa a.s terhadap ungkitan Firaun akan jasa dan budinya dengan membahasakan perbuatan Firaun itu sebagai satu “nikmat” (Al-Shu`ara’: 22).
Dalam bahasa Arab, lafaz “nikmat” sentiasa diguna bagi satu perkara yang baik dan positif dan penggunaan lafaz ini dalam perbualan di atas mempunyai konotasi dan pelajaran penting, iaitu Nabi Musa a.s akui jasa dan budi Firaun sebagai satu kebaikan.
Nabi Musa a.s. menjelaskan bahawa dia mencabar Firaun bukan kerana dia seorang yang tidak kenal budi, tapi kerana untuk menghentikan kezaliman Firaun terhadap Bani Israil dan mengajaknya mengikut agama yang benar (Al-Shu`ara’: 22). - Hal ini mengajar akan adab mulia yang perlu ada pada seorang Muslim sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Musa a.s., iaitu untuk mengakui kebaikan dan jasa orang lain dan tidak menjadi “kacang yang melupakan kulit” walaupun jika dia seorang yang jahat.
- Dalam kata-kata Nabi Musa a.s terdapat kritikan terhadap Firaun, iaitu jangan menggunakan jasa dan budinya sebagai pelindung bagi kezaliman yang dia lakukan terhadap satu kaum (Al-Shu`ara’: 22). Ertinya, sikap yang betul ialah untuk Firaun menerima kebenaran yang disampaikan kepadanya, bukan mengungkit budi dan jasanya sebagai alasan agar Nabi Musa a.s. menghentikan misinya.
- Hal ini juga mengajar Muslim bahawa kezaliman seseorang tidak wajar dibiarkan hanya kerana dia pernah berjasa. Namun yang sebaliknya juga benar, iaitu budi dan jasa yang baik seseorang tidak wajar dilupakan hanya kerana kejahatan yang ada padanya.
- Sikap yang sama juga dapat ditemukan contoh dari Nabi Muhammad s.a.w sebagai dalil sokongan. Nabi Muhammad s.a.w tidak melupakan individu-individu yang pernah berbuat baik kepadanya, walaupun mereka bukan Muslim, seperti;
a) pakciknya Abu Talib yang membelanya dari gangguan para penentang dakwahnya
b) Najasyi, raja Habshah, yang melindungi para sahabatnya yang berhijrah ke negaranya. Beliau s.a.w pernah mewasiatkan kepada sahabat-sahabatnya agar tidak mengggangu Habshah kecuali jika ia melakukan permusuhan.
b) Mut`im bin `Adiy, seorang pemuka Quraisy, yang pernah beberapa kali melindungi dan membela Nabi s.a.w semasa di Mekah. - Jika Nabi Musa a.s tetap mahu mengakui jasa Firaun yang jahat dan Nabi Muhammad s.a.w pula mengakui budi baik individu, walaupun mereka berbeza akidah, maka tidak harus bagi Muslim untuk menafikan jasa dan kebaikan Muslim yang lain atau ahli keluarganya hanya kerana perbezaan dalam beberapa perkara agama atau urusan kehidupan.