Pesanan Dari Al-Quran #47 – Sikap Positif Al-Quran Terhadap Wanita (29 April 2022)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 29 April 2022, di sini.

“Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: Ya bapakku [Shu`aib] ambillah ia [Musa] sebagai orang yang bekerja (dengan kita), karena sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya.” (Al-Qasas: 26)

“Maka dia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh [Nabi] Zakaria. Tiap-tiap kali [Nabi] Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. [Nabi] Zakaria bertanya: Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Maryam menjawab; Ia dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira. Ketika itu [Nabi] Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” (Al Imran: 37-8)

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (Al-Ahzab: 35)

Pelajaran

  1. Al-Qasas: 26 merakam cadangan anak perempuan Nabi Shu`aib agar mengambil lelaki asing yang membantunya memberi minum kambing-kambing mereka di perigi sebagai pekerja kerana mendapatinya seorang yang baik dan berkebolehan.

    Lelaki ini ialah Nabi Musa a.s yang melarikan diri dari Mesir kerana dikehendaki atas tuduhan membunuh sebelum menjadi Nabi.

    Dalam pelariannya, Nabi Musa a.s tiba ke sebuah kampung lalu membantu dua anak perempuan Nabi Shu`aib yang kesulitan untuk mengambil air dari perigi bagi minuman kambing-kambing mereka.

    Nabi Shu`aib kemudian menerima cadangan anak perempuannya dengan menikahkan anak perempuannya dengan Nabi Musa a.s dengan maskahwin bekerja untuk beliau pada tempoh yang dipersetujui bersama (Al-Qasas: 27-8).

  2. Al Imran: 37-9 pula menceritakan kisah Nabi Zakaria yang kagum dengan kemampuan Maryam, ibu Nabi Isa a.s, untuk mencapai tahap kesolehan yang tinggi. Hal ini telah mencetus inspirasi dalam diri Nabi Zakaria untuk mempunyai seorang anak  soleh seperti Maryam bagi meneruskan perjuangannya.

  3. Kesemua ayat-ayat ini merupakan sebahagian dari dalil akan sikap positif Al-Quran terhadap kaum wanita, iaitu mereka bukan golongan yang lemah atau rendah dari segi intelek dan kesolehan hanya kerana jantinanya. Sebaliknya, mereka mampu berfikir dan menjana idea-idea yang bernas dan rakan konsultasi sebagaimana yang ditunjukkan oleh anak perempuan Nabi Shu`aib a.s dan mampu mencapai kesolehan yang tinggi hingga memberi inspirasi kepada insan soleh yang lain, iaitu Nabi Zakaria a.s.

  4. Nabi Shu`iab dan Zakaria a.s pula menjadi contoh sikap yang betul seorang lelaki Muslim terhadap kaum wanita. Jika kededuanya tidak menghargai wanita dan menghormati mereka, pasti Nabi Shu`aib tidak mempeduli pandangan anaknya dan Nabi Zakaria a.s akan bersikap skeptikal terhadap jawapan Maryam kepadanya.

  5. Al-Quran juga menggambarkan kebijaksanaan wanita melalui kebijaksanaan permaisuri Balqis memerintah negerinya. Dalam kisah ini, Al-Quran hanya mencela akidah Balqis dan kaumnya yang menyembah matahari. Al-Quran tidak mencela cara Balqis memerintah yang bersifat konsultatif dan mengelak konfrontasi (Al-Naml: 23-36).

  6. Hal ini dapat disokong oleh perbuatan Nabi Muhammad s.a.w yang sering meminta pendapat isteri-isterinya, bukan hanya dalam persoalan kekeluargaan atau hal ehwal wanita, tapi juga dalam persoalan masyarakat.

  7. Soal Islam tidak membezakan potensi seseorang berdasarkan jantina baik dalam urusan keduniaan atau keagamaan juga dapat dilihat pada makna dalam Al-Ahzab: 35 dan kisah disebalik turunnya yang boleh dibaca di dalam buku-buku tafsir.