Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 21 April 2023, di sini.
“Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru’ (suci/haid)….” (Al-Baqarah: 228)
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang iddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah “mut´ah” (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.” (Al-Ahzab: 49)
“Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka), idahnya ialah tiga bulan dan (demikian) juga iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya dan (ingatlah), sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.” (Al-Talaq: 4)
Pelajaran
1. Tiga ayat di atas membicarakan tentang hukum iddah bagi isteri yang diceraikan oleh suaminya.
Iddah ialah tempoh masa yang dilarang ke atas seorang isteri yang diceraikan suaminya menikahi lelaki lain. Antara tujuan utamanya ialah untuk memberi ruang untuk suami dan isteri bertenang bagi membolehkan rekonsiliasi atau rujuk dan bagi memastikan si isteri tidak mengandung benih suami yang menceraikannya supaya dapat ditetapkan dengan jelas nasab dan tanggungjawab ke atas bayi dalam kandungan.
2. Allah taala menetapkan hukum berbeza bagi isteri yang diceraikan bergantung pada perbezaan keadaan masing-masing di dalam tiga ayat di atas, iaitu:
a) tiga quru’ (tiga kali haid atau suci dari haid) bagi isteri yang berhaid (Al-Baqarah: 228)
b) tiga bulan bagi isteri yang tiada atau telah putus haid (Al-Talaq: 4)
c) setelah melahirkan anak bagi isteri yang mengandung (Al-Talaq: 4)
d) tiada iddah bagi isteri yang belum disetubuhi setelah bernikah (Al-Ahzab: 49)
3. Yang akan difokuskan di sini ialah soal kenapa Allah taala meletakkan hukum iddah yang berbeza-beza dan tidak meletakkan satu hukum yang seragam untuk semua.
4. Hal ini menjadi dalil bahawa Islam mengambil kira konteks yang berbeza dalam menetapkan hukum. Perbezaan konteks dalam hal ini ialah perbezaan pada isteri-isteri yang diceraikan.
Ini juga memberitahu bahawa memberi hukum berbeza sesuai dengan konteks atau keadaan manusia yang berbeza adalah satu prinsip hukum yang ada asas dalam Al-Quran, bukan semestinya perbuatan bermain-main akan hukum Tuhan untuk disesuaikan dengan nafsu atau menggadai prinsip agama.
5. Ini juga memberi tahu bahawa pendekatan membeza-bezakan sesuatu perkara bagi menetapkan hukum yang tetap bagi setiap satu ada sandarannya dalam Al-Quran juga.
6. Kemahiran berfikir yang membeza-bezakan sesuatu perkara adalah sesuatu yang baik dan perlu ada dalam diri Muslim kerana ia juga cara Allah taala dalam menetapkan hukum.
Menseragamkan hukum iddah dengan satu hukum sahaja memang lebih mudah, tapi ia tidak bermakna lebih adil atau yang terbaik. Yang penting pola pemikiran yang cenderung untuk menetapkan satu hukum umum untuk semua hanya menggalakkan pola berfikir yang dangkal (simplistic) yang menyalahi anjuran Islam agar Muslim menjadi insan yang cemerlang.
Insan yang cemerlang terletak pada mindanya dan minda yang cemerlang ialah yang mampu untuk berfikir secara kompleks seperti mampu menganalisa sesuatu perkara dan mengkategorikannya pula sesuai berdasarkan persamaan dan perbezaan yang ada. Ini adalah antara asas utama pemikiran saintifik.
7. Meletakkan satu hukum bagi semua juga tidak sesuai bagi hakikat alam ciptaan Allah taala. Al-Quran jelas memberitahu bahawa Allah taala mencipta alam dalam keadaan yang rencam, pelbagai dan kompleks, bukan seragam.
Muslim yang tidak mempunyai keupayaan berfikir untuk membeza-bezakan sesuatu perkara tidak akan dapat memainkan peranannya untuk menjadi khalifah Allah taala di bumi ini dengan baik dan jauh dari contoh yang ditunjukkan oleh Allah taala dalam hukum-hukumNya.
8. Pendekatan yang membeza-bezakan dalam melaksanakan tugas dakwah memang lebih rumit, tapi ia adalah satu tuntutan.