Pesanan Dari Al-Quran #94 – Waspada Akan Sifat Subjektif Akal Manusia (14 Mac 2024)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 14 Mac 2024, di sini.

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

“Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” (Al-Nahl: 43, Al-Anbiya’: 7)

“…dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.” (Al Imran: 159)

Pelajaran

  1. Ayat Al-Baqarah: 216 diturunkan mengenai sekumpulan Muslim di zaman Nabi s.a.w yang merasa keberatan untuk keluar berperang demi mempertahankan Islam dan umatnya dari ancaman musuh yang ingin memeranginya kerana tanggapan bahawa perang akan mengakibatkan keburukan ke atas mereka.

    Allah taala menegur mereka dengan peringatan bahawa apa yang mereka tanggapi buruk atau baik tidak semestinya betul disebabkan keterbatasan keupayaan akal mereka sebagai manusia. Sedangkan apa yang Allah taala perintahkan itu pasti baik kerana mustahil bagi Allah taala untuk memerintahkan mereka ke arah kemudaratan setelah mereka menyahut seruan untuk beriman kepadaNya dan Dia berjanji untuk membantu sesiapa yang berjuang untuk agamaNya.

  2. Walaupun ayat ini membicarakan mengenai sikap Muslim tentang kewajipan berperang, ia mempunyai pelajaran tentang membuat keputusan dalam hidup.

    Pelajaran ini ialah akal setiap individu mempunyai keterbatasan dalam membuat apa jua penilaian (baik/buruk, bagus/tidak bagus, bermanfaat/mudarat dll.) tentang sesuatu perkara ketika ingin membuat keputusan dalam urusan hidup. Keterbatasan ini menatijahkan dua poin penting yang perlu diberi perhatian apabila seseorang itu ingin membuat penilaian baik/buruk dari maklumat yang dia ketahui;

    a) benar tapi subjektif kerana pasti ada kemungkinan tanggapan berbeza yang sama benar atau lebih benar.
    b) silap kerana kemungkinan maklumat yang ada salah atau tidak lengkap.

  3. Menyedari ini, Muslim perlu mempunyai sikap hemah (prudence) apabila membuat penilaian tentang sesuatu perkara sebelum membuat keputusan, khususnya apabila membabitkan perkara penting dalam hidup, atau membuat hukuman terhadap seseorang dan insiden. Tujuannya ialah untuk memelihari diri dari tersilap dalam;

    a) membuat keputusan untuk diri sendiri
    b) menghukum seseorang atau sesuatu perkara
    c) menasihati orang lain dalam masalah hidup mereka
    e) menjalankan perintah atau arahan
    d) memahami dan mengamalkan agama.

  4. Risiko kesilapan ini haruslah dipandang serius kerana ia boleh mengakibatkan;

    a) mudarat ke atas diri sendiri dan orang yang tersayang
    b) mudarat ke atas orang lain i.e mencemar nama maruah seseorang, memfitnah dan memberi nasihat yang salah
    c) melanggar undang-undang
    d) melanggar hukum Allah taala.

  5. Disebabkan sifat akan manusia yang secara tabi`ii terbatas hingga boleh menjejas penilaian rasional, perlu bagi Muslim mengambil langkah untuk mengurangkan risiko kesilapan ini.

  6. Ayat di atas mengandungi pelajaran tentang satu langkah penting bagi membantu Muslim membuat penilaian/hukum yang saksama dan hemah, iaitu tidak hanya berpada dengan kemampuan akal sendiri sahaja. Dengan erti kata lain, ayat ini mengajar akan kepentingan sumber luar dari diri apabila ingin membuat sesuatu penilaian.

  7. Dalam perkara agama, di sinilah pentingnya wahyu Tuhan bagi manusia sebagai sumber luar dalam menentukan apa yang baik dan buruk.

    Namun diakui, wahyu juga tidak memberi jawapan/hukum yang pasti tentang sesuatu banyak perkara. Ia memerlukan pentafsiran oleh akal manusia bagi mengaitkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis dengan masalah yang dihadapi. Dalam hal ini, Muslim perlu bersikap hemah seperti berikut;

    a) tidak memadai dengan tafsiran atau fahaman berdasarkan akal sendiri
    b) perlu rujuk pada mereka yang pakar dalam bidang agama
    c) perlu membanding pelbagai pendapat pakar-pakar, bukan satu pendapat sahaja.

  8. Dalam perkara keduniaan pula seperti pelaburan dan kesihatan, sumber luar yang perlu diambil kira dalam membuat penilaian ialah meminta nasihat golongan berilmu atau pakar dalam sesuatu bidang yang berkaitan dengan keputusan yang hendak dibuat.

    Hal ini dapat difahami dari Al-Nahl: 43 dan Al-Anbiya’: 7 yang disebut di atas.

  9. Golongan bijak pandai dan pakar pun tidak sepatutnya terkecuali dari merujuk sumber luar dan tidak berpada dengan kemampuan akal sendiri sahaja kerana Nabi s.a.w pun diajar oleh Al-Quran untuk meminta nasihat dan bermesyuarat dengan sahabat-sahabatnya (sumber luar diri) dalam perkara-perkara agama dan dunia sebagaimana dalam ayat Al Imran: 159.

    Jika Nabi s.a.w yang mendapat bimbingan langsung dari Tuhan dan bersifat maksum juga perlu berhemah dalam membuat penilaian dan keputusan, manusia, walau sehebat mana sekalipun intelek dan pencapaian ilmunya, tidak harus merasa bahawa dirinya sahaja cukup bagi menentukan apa yang baik dan buruk, samada untuk dirinya sendiri atau orang lain.