Provokasi dan Reaksi Muslim

slanderKejadian provokasi seumpama karikatur yang berasal dari Denmark tidak akan berakhir dan pasti akan berulang. Hal ini adalah kerana globalisasi bukan hanya mewujudkan peluang untuk manusia mengenali antara satu sama lain tetapi juga menambah  risiko berlakunya konflik disebabkan perbezaan semulajadi antara manusia. Selain itu, bebiri hitam dalam mana-mana masyarakat yang akan menyakiti pihak lain akan sentiasa wujud. Adalah sesuatu yang lumrah pula untuk ketidakstabilan dan konflik mendahului  sebelum keharmonian hidup bersama dapat dikecaapi dalam sebuah persekitaran yang pluralistik.

Insiden karikatur menyaksikan umat Islam di merata dunia bereaksi dalam bentuk yang pelbagai dari yang bersifat ganas seperti merusuh, membakar harta benda awam dan ancaman bunuh dan yang tidak ganas seperti mengemukakan petisyen dan boikot ekonomi.

Di peringkat setempat, reaksi masyarakat Muslim Singapura sangat terpuji. Lima badan Muslim telah mengeluarkan pernyataan bersama yang mencela lukisan berkenaan sebagai tindakan yang tidak bertamadun dan juga mengkritik reaksi ganas sebahagian umat Islam. Sebuah badan lain pula telah berjaya menggembeling badan bukan Muslim untuk turut sama menyatakan perkara yang sama. Satu dialog telah dianjurkan di antara badan-badan Muslim dengan duta kerajaan Denmark di Singapura bagi membolehkan kedua belah pihak mendengar perspektif masing-masing. Satu forum pula diadakan bagi membolehkan masyakarat Muslim meluahkan perasaaan mereka secara aman disamping membolehkan para ulama membimbing masyarakat agar tidak jatuh dalam pelampauan ketika memberi reaksi pada apa yang berlaku.

Melihat pada keadaan sekarang dan kemungkinan masa depan, beberapa persoalan muncul; di antara pelbagai alternatif reaksi yang ada, yang mana satukah yang dibenarkan oleh Islam untuk seorang Muslim menyertainyaa? Apakah pula prinsip yang boleh diambil dari ajaran Islam untuk membantu badan-badan Muslim bereaksi di masa akan datang? Bagaimanakan dapat dipastikan bahawa reaksi terpuji masyarakat Muslim Singapura hari ini dapat terus dijaga di masa akan datang atau diasaskan atas prinsip yang kukuh, bukan kerana disebabkan faktor-faktor luaran seperti takut akan kemungkinan reaksi keras pemerintah.?

Artikel ini ingin mencadangkan empat prinsip sebagai dasar dan empat pilihan ntuk pertimbangan.

Empat prinsip dasar & empat pilihan

Prinsip pertama ialah prinsip aman dan reaksi yang tidak ganas. Dasar di sebalik prinsip ini ialah keyakinan Muslim sendiri bahawa Islam ialah agama yang bermaksud aman dan kedamaian. Oleh itu, Muslim hendaklah membuktikan keyakinan ini melalui tindak tanduk mereka. Tindakan ganas bukan hanya tidak konsisten dengan keyakinan yang mereka dakwa tetapi juga merupakan satu templakan kepada agama Islam itu sendiri.

Prinsip kedua ialah bertindak mengikut lunas undang-undang. Hal ini adalah kerana Islam sentiasa mementingkan ketertiban dalam semua perkara. Banyak dari ibadah yang dianjurkan tidak akan sah jika dilakukan tanpa mengikut tertibnya. Islam juga melarang perbuatan yang mencabul aturan syariah (Al-Quran, 2:229).

Walau pun ayat Al-Quran menyentuh mengenai pencabulan syariah tetapi aplikasinya tetap relevan dalam konteks sistem undang-undang yang ada selama ia tidak bercanggah dengan ajaran dan prinsip Islam seperti aturan lalu lintas. Sememangnya terdapat perbezaan antara falsafah undang-undang Islam dengan falsafah undang-undang yang sedia ada, namun ini tidak bermakna seorang Muslim boleh menolak sama sekali undang-undang yang ada atau hidup tanpa mengendahkan sama sekali undang-undang kerana perbuatan yang seperti itu hanya akan mengakibatkan kucar-kacir dalam masyarakat dan tanggapan negatif terhadap umat Islam. Kesemua itu merupakan mudarat yang besar yang tidak dapat dibenarkan.

Prinsip ketiga ialah bertindak secara diskriminatif. Ini bermakna apa jua tindakan hendaklah disasarkan kepada pihak yang bersalah, bukan kepada yang lain dari mereka kerana dalam Islam, “tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain” (Al-Quran, 6:164). Menjadikan mereka yang tidak bersalah sebagai sasaran adalah satu ketidakadilan dan bercanggah dengan tunggak utama ajaran Islam. Hatta dalam situasi jihad, prinsip bertindak secara diskriminatif perlu dijunjung iaitu serangan hanya boleh ditujukan ke atas kombatan sahaja. Oleh itu, menjunjung prinsip ini dalam aksi sivil menjadi lebih penting lagi.

Prinsip keempat ialah bertindak secara proposional. Dalam hal ini, Allah taala berfirman yang bermaksud, “dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka Barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah” (Al-Quran, 42:40). Islam membenarkan seorang Muslim untuk bertindak balas ke atas kejahatan tetapi ia tidak membenarkan tindakan itu dilakukan sehingga mengakibatkan kejahatan yang lain atau mudarat yang lebih besar. Reaksi yang tidak proposional adalah satu pelampauan yang dilarang oleh Islam.

Berdasarkan prinsip-prinsip ini dan kaitannya dengan pelbagai reaksi yang ada terhadaap insiden karikatur, seorang Muslim dapat bertanya akan kewajaran menghukum sebuah syarikat pembekal susu atau biskut disebabkan oleh kesalahan yang dilakukan oleh sebuah syarikat akhbar milik persendirian.

Boikot ekonomi adalah satu alat yang sah bagi aksi sivil dan telah digunakan oleh pelbagai badan-badan sivil di merata dunia. Namun dalam konteks insiden karikatur, seorang Muslim boleh bertanya dengan berpandu pada prinsip-prinsip yang dinyatakan, bagaimana Islam dapat dilihat sebagai satu agama yang menjadi rahmat kepada sekalian alam (Al-Quran, 21:107) melalui tindakan boikot ke atas syariat sehingga menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi pelbagai individu-individu yang mempunyai keluarga dan anak-anak untuk dinafkahi dan mereka tidak ada kena mengena dengan kesalahan yang berlaku.

Jelas juga bahawa hanya mempunyai kerakyatan Denmark sahaja bukan satu alasan yang sah untuk dijadikan sasaran. Muslim juga perlu memahami bentuk hubungan sebeuah negara dengan media dalam konteks negara-negara Eropah bagi menentukan kadar penglibatan kerajaan Denmark dalam mencetus insiden ini supaya satu tindakan yang proposional dapat dibuat.

Prinsip-prinsip yang dinyatakan juga memberitahu bahawa tindakan yang tidak ganas bukan semestinya sah di sisi Islam sekiranya ia tidak sejajar dengan undang-undang, tidak diskriminatif dan tidak pula proposional.

Semestinyakah “mata di balas dengan mata”?

Islam membenarkan pelbagai bentuk reaksi apabila behadapan dengan provokasi dan penghinaan bergantung kepada keseriusannya. Reaksi bersifat “mata dibalas dengan mata” bukanlah satu-satunya pilihan yang dianjurkan oleh Islam.

Islam menganjurkan agar, “tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik” (Al-Quran, 41:34, 23:96). Ia juga menyeru umat Islam agar, “maafkanlah mereka dan biarkanlah” (Al-Quran, 5:13). Kadangkala pula reaksi boleh pula dalam bentuk, “berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh” (Al-Quran, 7:199), ertinya tindak mengembil peduli akan perbuatan mereka. Akhirnya ialah dengan cara, “maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu” (Al-Quran, 16:126).

Keempat-empat pilihan yang dinyatakan di atas bukan semestinya dipilih mengikut urutan. Setiap satu dipilih berdasarkan konteks dan pertimbangan-pertimbangan lain. Yang perlu diperjelaskan di sini ialah masyarakat Muslim tidak seharusnya melihat reaksi mereka hanya dalam satu bentuk sahaja. Sepatutnya, masyarakat Muslim mempunyai pandangan yang strategik dengan memberi pertimbangan kepada semua pilihan yang ada bagi mendatangkan manfaat yang maksimum untuk mereka.

Memandang kehadapan

Insiden karikatur sememangnya menunjukkan ada jurang kefahaman antara dunia Islam dan dunia Eropah. Namun mendekatkan jurang ini tidak akan dapat tercapai dengan meminta masyarakat Eropah untuk memahamai Islam dan umatnya sahaja. Tindakan-tindakan yang berlaku di jalanan menunjukkan bahawa umat Islam juga perlu membuat langkah yang sama – memahami dunia Eropah yang berbeza dengan mereka dan perubahan persekitaran antarabangsa secara objektif.

Untuk memastikan tindakan masyarakat Muslim Singapura terus kekal dalam lingkungan yang sederhana, usaha perlulah dibuat oleh para pemimpin Muslim untuk memasyarakat dan menginstitusikan prinsip-prinsip yang dinyatakan agar ia terpacak kukuh dan menjadi sebahagian dari budaya badan-badan Muslim dan pemimpin masa hadapannya.

Walaupun, empat prinsip-prinsip dan pilihan yang dinyatakan diambil dari ajaran Islam tetapi ia juga berguna untuk pertimbangan non-Muslim dalam aksi sivil mereka.