Soalan
Seorang ibu yang telah meninggal dunia, meninggalkan barang kemas berupa emas-permata. Bagaimanakah caranya membahagikan harta (barang-barang emas) tersebut kapada ahli waris mengikut hukum FARAID dengan tidak menjualkan barang-barang emas tersebut?
Jawaban
Sebelum harta si mati dibahagi mengikut Faraid, pastikan perkara-perkara berikut
1. Gunakan harta berkenaan untuk membayar kewajiban yang tertunggak seperti fidyah puasa, haji dan zakat.
2. Gunakan harta berkenaan untuk membayar hutang dan hak manusia lain.
Untuk membahagikan harta berkenaan cara Faraid, ialah dengan pergi ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan sijil pembahagian harta secara Faraid untuk mengetahui bahagian bagi setiap ahli waris yang ada.
Setelah semua ahli waris mengetahui bahagian masing-masing – siapa yang dapat dan siapa yang tidak dapat harta warisan serta berapa kadar yang diperolehi – maka barang-barang kemas berkenaan bertukar menjadi milik bersama ahli waris mengikut kadar warisan yang diterima.
Ahli waris hendaklah bermesyuarat sesama mereka untuk mendapat persetujuan agar barang kemas berkenaan kekal dalam keadaan asalnya. Jika semua pihak bersetuju, maka bolehlah harta berkenaan dikekalkan sedemikian. Jika ada seorang ahli waris, tidak bersetuju. Sebaliknya menuntut haknya, maka salah satu dari dua pilihan berikut boleh dilakukan;
1. Nilaikan jumlah barang kemas keseluruhannya. Setelah itu, tentukan berapakah nilai hak waris yang menuntut haknya dalam bentuk dolar. Kemudian jualkan barang kemas sekadar jumlah hak waris yang menuntut dan berikan hasil jualan kepada waris berkenaan. Jika setelah menolak hak waris tadi masih ada kelebihan dari hasil jualan, kembalikan wang berkenaan kerana ia adalah hak waris-waris yang lain, atau
2. Tentukan nilai hak waris yang menuntut. Ahli-ahli waris yang lain, bolehlah mendahulukan wang tunai kepada waris berkenaan mengikut nilai haknya.
Perlu diingatkan adalah menjadi hak waris untuk menuntut haknya dari harta warisan dan tidak berkewajiban baginya untuk bersetuju mengekalkan barang kemas itu dalam bentuk asal. Waris berkenaan juga tidak boleh dipaksa untuk mengkalkan barang kemas itu seperti sedia ada.
Jika sekarang ini semua ahli waris bersetuju untuk mengekalkan barang kemas seperti asal tetapi menuntut haknya di masa akan datang, maka langkah di atas bolehlah diikuti.
Wallahu A`alam.
Assalamualaikum en hanif..saya ingin tanya pendapat tuan berkenaan barang kemas milik aruah ibu saya yg merupakan cincin berlian. Setelah di nilai harga bagi cincin adalah rm435 manakala berliannya adalah rm180…
Jadi adik saya ingin membayarnya.adakah trrmasuk dgn berlian nya atau perlu membayar harga emas sahaja ? Kalau dijual dikedai..berlian pd cincin tersebut todak akan di kira..harp tuan dpt neri pandangan
salam
pada dasarnya, sesuatu barang boleh dijual pada harga apa sahaja yg dimahukan oleh pemilik sah barang itu, walau pun di bawah harga pasaran.
namun logik umum ialah untuk menjual cincin itu berdasarkan nilai emas dan berliannya sekali, bukan hanya pada nilai emas sahaja kerana, semua org tahu, berliaan adalah sesuatu yg mempunyai nilai tersendiri. oleh itu, kenapa mesti nilai itu tidak dicampurkan pada harga penuh cincin?
hal ini menjadi lebih penting, jika harga jualan dari cincin itu akan dibahagai-bahagikan sebagai warisan kepada waris2 yg berhak. menjual cincin ikut nilai emas dan berlian sekaligus lebih menjaga kepentingan para waris.
soal cara kedau emas meletakkan harga cincin, ia tidak semestinya dijadikan ikutan. ia amalan biasa bagi peniaga emas utk memaksimakan keuntungannya.
moga bermanfaat.
assalamualaikum en haniff.. arwah ibu saya mempunyai seutas gelang emas..dan kami sekeluarga blm memutuskan pembahagian peninggalan tersebut..sy masih mempunyai ayah dan 2 org abg 1 adk perempuan dan 1 adik lelaki.. bagaimanakah pembahagian boleh dilakukan.
1) berapakah nilai pembahagian termasuk ayah
2) bagaimana menetukan nilai gelang tersebut..mengikut harga semasa @ sebagainya
3) sekiranya anggaran harga semasa emas tersebut bernilai rm3000, andaikan nilai yg perlu dibayar kepada adik lelaki ialah rm200, adakah nilai masih sama jika sy membayar kepadanya dalam tempoh yang lama
salam
maaf soal pembahagian harta warisan tidak sesuai ditangani secara online kerana ia memerlukan banyak maklumat dan ia juga perkara yg sensitiif kerana melibatkan harta.
jika berlaku kesilapan, boleh mengakibatkan kekecohan.
utk mengetahui siapa waris yg berhak dan berapa bahagiannya, sebaiknya rujuk ke mahkamah syariah atau pejabat agama.
penentuan pihak berkuasa mempunyai wibawa dari segi undang2 bagi mengelakkan pertelingkahan.