Kemusykilan Agama: “Sharifah” berkahwin dengan bukan “syed”

(Nota: Dipetik dari ruang Ask_Ustaz di rantauan.com)

Soalan

Assalamualaikum,

Ustaz, betul ke seorang sharifah tidak boleh berkahwin kecuali dengan syed? Ini kerana ingin menjaga nasab Rasulullah? Saya ada terdengar hadis tersebut..

Tetapi masalah di sini saya mendapati susah nak cari syed yang baik…

——————————-

Jawaban

salam

Dalam Islam, kemuliaan seseorang itu diukur pada ketakwaannya, bukan keturunannya. Hakikat ini disebut jelas dalam surah Al-Hujurat: 13.

Di dalam sebuah hadits sahih, nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, “Tiada kelebihan di antara orang Arab dengan bukan orang Arab kecuali dengan takwa”. (Riwayat Ahmad)

Kalau berketurunan nabi itu jaminan bagi kesolehan dalam agama, tidaklah anak nabi Nuh sesat dari hidayah Allah.

Apabila mencari pasangan hidup, garis panduan utama yang diajarkan oleh nabi s.a.w ialah, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, tidak salah sama sekali bagi seorang sharifah untuk berkahwin dengan lelaki soleh yang bukan syed. Tak wajib juga tunggu untuk berjumpa seorang syed yang soleh baru nak kahwin. Bahkan, pada pandangan saya, jika seorang berketurunan syed/sharifah, hanya mahu berkahwin dengan syed/sharifah sahaja tanpa lihat kesolehannya atau menangguh perkahwinan yang dianjurkan oleh agama semata-mata kerana menanti syed/sharifah yang soleh muncul dalam hidupnya, adalah satu sikap yang tidak disukai oleh agama kerana ia menampakkan nilai-nilai ‘asabiyah’ pada darah keturunan, melebihi pertimbangan terhadap takwa.

Hakikatnya, perkahwinan seorang sharifah dengan keturunan bukan syed telah pun berlaku. Sepengetahuan saya, orang melayu yang namanya bermula dengan wan adalah berasal dari ibu berketurunan sharifah dan bapa yang bukan syed.

Saya tidak tahu akan wujudnya hadits yang menyuruh seorang sharifah berkahwin dengan syed sahaja demi menjaga nasab keturunan Rasulullah s.a.w.

Jika diteliti ajaran Islam secara mendalam, saya tidak fikir ajaran sedemikian selari dengan prinsip dalam agama ini.

Wallahu A`alam