Apabila Asatizah Ber ‘M.A’ dan ‘PhD’

10 tahun dahulu, jumlah asatizah yang memiliki ijazah sarjana (M.A) amatlah berkurangan. Senario ini telah pun berubah hari ini. Bukan hanya jumlah asatizah yang berijazah sarjana telah bertambah bahkan terdapat jumlah yang besar sedang menduduki pengajian di peringkat sarjana. Dalam tempoh lima tahun dari sekarang, semakin ramai asatizah yang berkelulusan pos-siswazah bahkan mungkin sahaja yang berkelulusan sarjana hari ini akan memegang atau bakal memegang pula ijazah doktor falsafah.

 

Pastinya status seorang asatizah dan status seorang hamba di mata Tuhannya tidak dinilai semata-mata dengan ijazah yang ada. Namun perkembangan yang dinyatakan di atas adalah sesuatu yang harus ditanggapi secara positif.

 

Hal ini adalah kerana asatizah adalah kelompok utama untuk merealisasikan semangat dan budaya ilmu yang dianjurkan oleh Islam. Peningkatan taraf pendidikan asatizah adalah contoh yang baik kepada masyarakat umum terhadap penghayatan nilai berkenaan.

 

Selain itu, peningkatan dan penguasaan ilmu merupakan salah satu aspek penting bagi peningkatan seseorang dari status ustaz sahaja ke status ulama dan tokoh agama. Peningkatan sebegini dalam diri asatizah adalah penting bagi menggambarkan nilai ihsan dan itqan yang diajarkan oleh Islam.

 

Perkembangan dunia hari ini yang mencipta pelbagai cabaran baru, peningkatan taraf pendidikan masyarakat serta seribu satu sebab yang lain, memerlukan penguasaan ilmu dan pendidikan dan peningkatan status sosial asatizah.

 

Walau bagaimana pun, peningkatan pendidikan asatizah juga dengan sendirinya meningkatkan tahap harapan masyarakat terhadap mereka. Adalah wajar bagi masyarakat mengharapkan perubahan berkenaan akan memberi impak yang signifikan dalam banyak hal antaranya tahap intelektualisme yang ditonjolkan dalam pelbagai wadah-wadah keilmuan, peningkatan impak dari segi kepimpinan dan keorganisasian, pengaruh dalam bidang sosio-politik dan pembangunan yang lebih menyerlah terhadap institusi-instititusi agama. Ini adalah harga yang perlu dibayar dan diiktiraf oleh asatizah.

 

Disebabkan komuniti asatizah adalah kecil, dengan semakin ramai asatizah berpendidikan sarjana, ia juga meningkatkan taraf benchmark bagi pendidikan asatizah di kalanagan komuniti mereka sendiri. 40 tahun dahulu, kelulusan tsanawi empat dari madrasah tempatan dianggap satu piawai (standard) bagi asatizah, 20 tahun dahulu pula berkelulusan ijazah pertama dari mana-mana universiti merupakan norma dan satu tuntutan. Namun 10 tahun akan datang mungkin sahaja berkelulusan sarjana pula menjadi norma dan keperluan. Hal ini akan memberi kesan kepada asatizah hari ini dalam melihat masa depan mereka dan peranan mereka dalam masyarakat.

 

Namun kemungkinan impak negatif dari perkembangan ini juga bukan satu perkara yang mustahil. Oleh itu, penting juga untuk memikirkan kemungkinan sedemikian dan langkah yang perlu diambil.

 

Antara perlu diperhatikan ialah membesarnya jurang antara asatizah yang berpendidikan sarjana dengan masyarakat setempat. Semakin meningkat taraf pendidikan seseorang maka semakin tinggi taraf pemikirannya. Ini kadangkala memberi kesan pada gaya penyampaian, pengunaan bahasa dan isi pemikiran yang disampaikan. Seringkali mereka yang berpendidikan tinggi menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan masyarakat umum. Dalam hal ini, asatizah sarjana dan bakal sarjana hendaklah kembali kepada anjuran Rasulullah s.a.w agar berupaya untuk bercakap dengan manusia sesuai dengan kadar kemampuan akal mereka. Asatizah berkenaan juga perlu menyedari akan kepentingan untuk dia tetap kekal berakar (rooted) dengan masyarakat umum kerana hanya dengan sedemikian membolehkan mereka untuk mempengaruhi pendapat umum dan mencorakkannya, tambahan lagi dalam keadaan asatizah tidak mempunyai media massa untuk mendekati masyarakat.

 

Jurang juga boleh berlaku antara asatizah sarjana dan asatizah bukan sarjana. Di sebabkan asatizah juga adalah manusia, perkara seperti ini tidak seharusnya ditolak tepi begitu sahaja. Adalah lumrah bagi manusia untuk merasa tersisih, mengalami inferior complex dan yang seumpamanya. Fenomena ini memberi kesan dari sudut kesatuan asatizah sebagai satu institusi agama dalam menangani pelbagai masalah masyarakat dan juga dari segi keorganisasian khususnya dalam menggerakkan PERGAS sebagai wadah utama asatizah dan ulama.

 

Bagi asatizah sarjana, pencapaian pendidikan yang lebih tinggi tidak seharusnya melahirkan budaya ekslusif yang bersifat elitis, samada disengajakan atau tidak. Memahami dinamisme manusia, asatizah sarjana sewajarnya peka mengenai perkara ini dan sensitif dalam tingkah laku dan tutur kata samada di tengah masyarakat atau di dalam organisasi PERGAS, sehingga kemungkinan berlaku sedemikian dapat diminimakan.

 

Bagi asatizah bukan sarjana pula perasaan cemburu terhadap pencapaian ilmu teman-teman sebaya adalah wajar. Bahkan Rasulullah s.a.w menyuruh umatnya untuk merasa iri hati terhadap orang lain dalam mencari ilmu. Namun perlulah berhati-hati agar ia tidak sampai ke peringkat yang negatif dengan melihat secara sinis teman-teman asatizah yang lain semata-mata kerana dikurniakan kelebihan pendidikan sarjana. Jika ada unsur-unsur ‘kesombongan’ yang dilihat di kalangan asatizah sarjana, ia sememangnya wajar ditegur atas dasar mereka adalah manusia yang kadangkala tersilap dan lupa.

 

Apa yang ditulis di atas bukanlah satu gambaran mengenai apa yang sedang berlaku. Sebaliknya hanya merupakan ekstrapolasi masa depan. Hakikat bahawa penulis sedang mengikuti pengajian sarjana mendorong untuk merenung sedikit ke hadapan dan menilai kemungkinan-kemungkinan.

 

Adalah diyakini bahawa tiada siapa dikalangan asatizah yang mahu meminggirkan yang lain dan seharusnya tiada sesiapa yang sepatutnya merasakan terpinggir atas fadl (kelebihan) yang Allah kurniakan pada yang lain. Adalah diharapkan asatizah menyedari bahawa komuniti asatizah terlalu kecil untuk dijarakkan antara golongan sarjana dan bukan sarjana.

 

Allah taala menjadikan manusia semuanya berbeza. Terlalu banyak perkara yang membezakan kita semua; umur, jantina, budaya, etnik, latarbelakang pendidikan dan keluarga dan kadar pendapatan. Namun kesatuan yang sememangnya dianjurkan oleh Islam itu tidak dibina atas perbezaan tetapi atas persamaan sesama kita.

 

Masyarakat dan dakwah akan menjadi mangsa jika asatizah baik yang bersarjana atau tidak hilang akarnya dalam masyarakat atau kaki mereka tidak lagi menjejak bumi.