Di bawah ini adalah artikel asal bagi artikel yang diterbitkan oleh Berita Harian untuk bacaan umum. Bagi artikel terbitan Berita Harian, lihat pautan komentar di bawah posting ini. http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,198632,00.html?
Moga bermanfaat.
————————
Sedekad Setelah 9/11: Mengangkat Wacana Islam Ke Tingkat Yang Lebih Tinggi dan Menjangkau Masalah Pelampauan
Ustaz Muhammad Haniff Hassan dan Ustaz Zulkifli Mohamed Sultan
Tragedi 11 September (9/11) meninggalkan kesan yang besar bukan hanya di bidang keselamatan tetapi juga pada wacana (discourse) Islam di seluruh dunia.
Wacana Islam di Singapura tidak terkecuali. Awal tahun pasca 9/11 menyaksikan dua wacana umum dari elita agama tempatan sebagai reaksi pada tragedi berkenaan dan penangkapan anggota-anggota Jemaah Islamiyah (JI), sebuah organisasi sekutu bagi Al-Qaeda, yang merancang beberapa serangan pengganasan di negara ini. Elita agama di sini merujuk pada gologan asatizah dan agamawan yang diwakili oleh Persatuan Guru-guru Agama dan Ulama Singapura (Pergas), satu-satunya badan bukan pemerintah yang memayungi golongan agamawan Singapura, dan Muis, selaku penguasa berkanun hal ehwal Islam di sini.
Reaksi mereka muncul dalam dua bentuk wacana. Satu wacana bersifat kritikan dan sanggahan teologi terhadap ideologi JI dan Al-Qaeda, yang dihukum sebagai menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar serta tidak mewakili fahaman Muslim Singapura, dan mengancam keselamatan negara dan keharmonian sosial.
Wacana kedua pula menjurus pada usaha mendakwahkan dan membangun fahaman Islam yang sederhana, iaitu fahaman yang bersifat kontekstual dengan realiti tempatan dan global tanpa mengabaikan prinsip, ruh dan tradisi intelektual agama Islam yang kaya.
Kededua wacana ini juga dikemukakan sebagai menjawab fahaman-fahaman anti-Islam yang subur dalam pasca 9/11 dan mentohmah Islam sebagai punca pelampauan dan pengganasan yang mengancam keselamatan dunia sebagaimana yang dicontohkan oleh serangan 9/11.
Wacana-wacana yang dihasilkan oleh elita agama tempatan boleh ditemui dalam dua buku. Buku pertama ialah Kesederhanaan Islam Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura (2004), terbitan Pergas sebagai natijah dari Konvensyen Ulama 2003 yang disertai oleh lebih dari 100 asatizah tempatan.
Buku kedua ialah Risalah Membangun Masyarakat Islam Yang Cemerlang (edisi pertama, 2005), oleh Muis yang mengemukakan 10 sifat masyarakat Islam cemerlang dan mendasari projek Identiti Muslim Singapura.
Walau pun kededua buku ini berbeza dalam perinciannya, tapi keduanya berkongsi objektif yang sama dalam melindungi Muslim Singapura dari ideologi radikal Al-Qaeda dan JI serta membimbing mereka untuk bagaimana menjalani hidup sebagai Muslim dalam konteks Singapura.
Sebenarnya, kededua wacana yang dinyatakan bukanlah fenomena baru di era pasca 9/11. Karya agama membanteras pelampauan di kalangan Muslim telah wujud sejak tahun 1980an lagi. Satu contoh yang masyhur ialah buku Sheikh Yusuf Al-Qaradawi Kebangkitan Islam: Antara Penolakan dan Pelampauan. Sheikh Al-Qaradawi dan ramai ulama Islam yang lain juga telah menghasilkan banyak karya agama yang mendakwahkan kesederhanaan dan membangun tafsiran baru bagi agama sesuai dengan perubahan dunia kontemporari. Tapi, tragedi 9/11 menyumbang pada penonjolannya.
Pelbagai inisiatif lanjut diusahakan oleh elita agama tempatan bagi mengukuhkan kededua wacana ini dalam masyarakat Islam Singapura.
Di peringkat badan bukan pemerintah, Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang dianggotai oleh asatizah tempatan ditubuhkan dengan misi untuk memulihkan tahanan JI dan membanteras pelampauan dalam masyarakat. Sehingga kini, usaha ini telah berjaya memulihkan tiga perempat dari tahanan kes pengganasan yang meliputi anggota JI dan bukan JI dengan kadar bentan (kembali pada kesalahan yang sama) kosong peratus. Kes-kes individu menjadi radikal sendiri dan kemunculan rancangan serangan baru juga amat rendah jika dibanding dengan apa yang berlaku di negara seperti Indonesia dan Amerika Syarikat.
Dalam hal ini, tidak syak bahawa RRG telah menyumbang pada wacana mengkritik dan menyanggah ideologi pelampauan.
Muis pula lebih giat dalam aspek mendakwahkan kesederhanaan melalui program-program berikut; siri ceramah Muis yang diisi oleh tokoh dan ilmuwan dalam Islam, biasiswa sarjana Muis bagi melahirkan sarjana tempatan dalam bidang kritikal Islam, memasukan pembangunan pemikiran Islam dalam rancangan kerja tiga tahunnya, rombakan kurikulum pendidikan Islam dan pelbagai inisiatif di peringkat masjid.
Pujian sememangnya patut diberi pada usaha-usaha ini. Usaha ini pasti telah menyumbang penyebaran fahaman Islam yang sederhana di kalangan masyarakat Muslim Singapura dan juga mencegah salah faham tentang Islam di kalangan bukan Muslim yang boleh mengakibatkan pula prasangka dan ketegangan sosial. Tapi, berpuas hati dengannya hendaklah dijauhi. Sedekad tragedi 9/11 yang mencetus usaha-usaha ini merupakan titik yang sesuai untuk kita melakukan muhasabah bagi pembaikan dan membangkitkan kewaspadaan agar ia benar-benar menangani masalah masyakarat Islam tempatan yang menjangkau soal pelampauan dan pengganasan.
Noktah pertama yang perlu direnungkan ialah elita agama hendaklah tidak terperangkap dengan masalah pengganasan dan pelampauan yang banyak melatarbelakangi segala usaha-usaha ini. Hal ini adalah kerana tuntutan untuk membangun wacana Islam di sini bukan hanya berkait dengan soal pelampauan dan pengganasan.
Usaha membangun wacana Islam bagi menghadapi cabaran semasa dan sama penting juga ialah meningkatkannya ke tingkat yang lebih tinggi adalah keperluan yang beterusan, tidak kira samada masalah pelampauan dan pengganasan wujud atau tidak.
Membenarkan masalah pelampauan dan pengganasan mencorak wacana Islam tempatan akan pasti membataskan peningkatan dan pembangunan ke tingkat yang lebih tinggi kerana ideologi pengganasan umumnya bersifat statik. Usaha menyanggah dan mengkritiknya lama kelamaan akan sampai ke peringkat tepu sehingga tiada lagi yang dapat disanggah kecuali mengulang-ulang perkara yang sama sahaja.
Noktah kedua ialah mendakwahkan kesederhanaan dan mengangkat wacana Islam ke peringkat yang tinggi memerlukan produk intelektual yang kukuh dan dalam. Hingga kini kewujudan bahan sedemikian di peringkat tempatan oleh elita agamawan tempatan masih terlalu langka. Sebagai contoh hingga kini tiada kupasan lanjut bagi buku Kesederhanaan Dalam Islam oleh Pergas sedangkan terdapat pelbagai isu mengenai amalan Islam di Singapura yang perlu dikembangkan. Idea yang mendasari projek Identiti Muslim Singapura juga tidak berkembang dari bluerprint yang ada sedangkan ia memerlukan perincian dari segi sandaran falsafah dan teori bagi mengangkatnya ke peringkat yang lebih tinggi dari “pernyataan ibunda (motherhood statement)”, sebagaimana kritikan yang dilontarkan ke atasnya oleh sesetengah pihak.
Dalam konteks isu yang dibicarakan, persoalan kritikal yang perlu ditanyakan pada segala inisiatif ceramah umum dan program-program di masjid pula dengan bertujuan mendakwahkan kesederhanaan, ialah adakah isinya benar-benar suatu peningkatan pada wacana dan fahaman agama dalam konteks kontemporari iaitu sesuatu yang baru, otentik dan segar pada sifat tempatannya? Pada pengamatan kami ia hanya mengulangi apa yang sedia ada dalam tradisi atau ortodoksi dan masih diwarnai selera bukan tempatan.
Mungkin ada yang berhujah bahawa usaha yang ada memerlukan masa untuk mendatangkan hasil yang dikehendaki. Namun, perlulah diingat sekiranya kededua noktah di atas tidak diberi perhatian, usaha-usaha berkenaan bakal tidak akan menyumbang pada perubahan dan pembangunan signifikan pada wacana dan fahaman Islam yanag sedia ada.
Masyarakat Islam cemerlang tidak tercapai hanya dengan meruntuhkan pengaruh ideologi Al-Qaeda. Satu indikator penting ialah darjah intelektualismenya dalam memahami dan mengamalkan agama. Hal ini pula memerlukan peningkatan dan pembaharuan yang berterusan sesuai dengan semangat tajdid dan islah agama ini dan juga perubahan sekitaran yang berterusan. Dalam konteks ini, terdapat vakum intelektual yang perlu diisi dalam soal pemikiran Islam kontemporari.
Adalah diharapkan di tahun-tahun akan datang, elita agama tempatan yang meliputi Muis dan Pergas dapat mengorak langkah lanjut untuk menyegarkan kembali insiatif awal dahulu dalam bentuk karya-karya intelektual yang baru dan lebih otentik sifat tempatannya – Kesederhanaan Dalam Islam dan Risalah versi baru dan peningkatan.
Ustaz Muhammad Haniff Hassan adalah Zamil Bersekutu dan Ustaz Zulkifli Mohamed Sultan adalah Penganalisa Kajian di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.