Artikel – Membelakangi Ibubapa Kerana Isu-isu Agama

ibu berdoa

 

 

(c) Muhammad Haniff Hassan

Berita Harian melaporkan wawancara eksklusif bersama Tuan Mufti Singapura pada 12 April 2014 yang menyentuh soal perbezaan pendapat dalam isu-isu agama “yang masih lagi dianggap dalam sempadan Islam” tetapi telah menyebabkan kesan negatif. (Untuk membaca wawancara bersama Tuan Mufti, klik di sini.)

Antara contoh yang disebut oleh beliau ialah “adik beradik berpecah belah” disebabkan perbezaan pendapat itu.

Namun yang lebih buruk dan membimbangkan lagi ialah kewujudan sesetengah anak-anak muda yang sanggup membelakangi ibubapa mereka hingga melukai hati mereka kerana melihat mereka “tidak betul” dalam fahaman atau amalan tertentu di sisi agama.

Sedangkan pada hakikatnya apa yang dianggap tidak betul hanyalah satu perbezaan yang memerlukan sikap hormat menghormati.

Tidak seharusnya perbezaan ini menyebabkan keretakan silaturahmi antara anak dan ibubapa.

Apatah lagi hilang rasa hormat hingga menatijah tingkah laku seperti tidak mahu berkomunikasi, makan bersama, solat bersama, bersalam dan lebih buruk lagi hingga mengeluarkan kata-kata yang menyakiti.

Mana-mana asatizah yang terlibat dalam masyarakat pasti akui wujudnya kes-kes sebegini, walaupun tiada data yang dapat diberikan di sini untuk menentukan keseriusannya.

Adalah diakui bukan semua masalah ini berlaku kerana kesalahan si anak.

Adakalanya ia berlaku berpunca dan lebih disebabkan oleh ibubapa iaitu ibubapa yang memaksa anaknya untuk mengikut pendapat atau mazhabnya, sedangkan anaknya sudah dewasa untuk membuat pilihan sendiri, atau ibubapa yang menunjukkan tingkahlaku negatif terhadap si anak, sedangkan si anak cuba untuk berlaku baik.

Seringkali juga masalah ini memerlukan penyelesaian-penyelesaian dari sudut psikologi dan pendidikan kerana ia bukan berpunca, pada asasnya, dari salah faham agama semata-mata.

Namun artikel ini hanya ingin memberi fokus pada masalah yang timbul kerana sikap si anak dan juga ingin membicarakannya dari sudut agama akan ketidakwajaran sikap seperti ini.

Adapun masalah yang berpunca oleh ibubapa sendiri dan juga penyelesaiannya dari sudut lain, diharap ada pihak-pihak lain yang dapat memberi sumbangan pula.

Di sisi agama, sikap seorang anak yang sanggup membelakangi ibubapa dan melukai hati mereka kerana perbezaan pendapat dalam isu-isu khilafiyah dalam agama adalah satu yang tercela.

Di bawah ini dibawa beberapa hujah dari Al-Quran dan hadis sebagai sandaran yang disertakan pula pelajaran yang relavan darinya.

Hujah pertama ialah firman Allah taala dalam ayat-ayat;

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku-beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. ” (Luqman: 14-5)

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Al-Isra’: 23)

Pelajarannya, ialah

  • Ayat ini meletakkan hukum dasar dalam soal melayani ibubapa cara baik dan tidak melakukan sesuatu yang melukai perasaan mereka.
  • Tidak boleh berkata “ah”, apatah lagi menunjukkan tingkahlaku yang keras, kasar dan membelakangi mereka.
  • Jika ibubapa berada di pihak yang memang benar-benar salah di sisi agama, bukan berbeza dalam isu-isu khilafiyah, Allah mewajibkan mereka dilayan dengan baik sebagaimana dalam Luqman:15 dan dicontohkan oleh layanan Ibrahim terhadap bapanya dalam Maryam: 42-8.

Hujah kedua ialah hadis-hadis mengenai jihad, iaitu:

Daripada Abu al Abbas berkata aku mendengar Abdullah Bin Umar berkata, seorang lelaki telah datang kepada Nabi s.a.w meminta izin untuk pergi berjihad. Nabi s.a.w berkata, “Adakah kedua ibu bapa engkau masih hidup ?” Dia menjawab. “Ya!” Nabi s.a.w berkata, “Berkhidmatlah pada mereka berdua kerana itu juga adalah jihad.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Seorang lelaki mendatangi Rasulullah s.a.w dan berkata, “Aku ingin berbai`ah kepadamu untuk berhijrah dan berjihad dengan tujuan mendapat ganjaran dari Allah taala.” Nabi bertanya, “Adakah salah seorang ibubapa kau yang masih hidup?” Dia berkata, “Ya, kedua-duanya masih hidup.” Nabi s.a.w berkata, “Kau mahu mendapat ganjaran dari Allah taala?” Dia berkata, “Ya.” Nabi s.a.w berkata, “Pulanglah kepada kedua ibu bapa engkau dan perelokkanlah pergaulan dengan mereka berdua.” (Riwayat Muslim)

Nabi s.a.w pernah bersabda, “Pulanglah engkau kepada mereka berdua dan bagilah mereka ketawa sebagaimana engkau bagi mereka berdua menangis.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Hibban)

Pelajarannya, ialah

  • Wajib mengutamakan ibubapa, walaupun berhadapan dengan kewajiban jihad.
  • Kalau kewajiban berjihad tidak boleh dijadikan alasan untuk membelakangi ibubapa, meninggalkan tanggungjawab terhadap mereka dan melukai perasaan mereka, pastilah perbezaan pendapat dalam isu-isu khilafiyah lebih tidak wajar lagi.
  • Kalau Nabi s.a.w memerintah sahabatnya untuk mengutamakan ibubapa mereka dari mentaati beliau selaku ketua tentera, pastilah juga perasaan dan ketaatan terhadap ibubapa lebih perlu diutamakan dari tok guru, ustaz-ustaz atau sheikh yang menjadi ikutan si anak dalam isu-isu agama yang diperselisihkan.
  • Nabi s.a.w menegur sahabatnya yang menyebabkan ibubapanya menangis kerana ingin meninggalkan mereka untuk berjihad dan memerintahkan sahabat itu untuk kembali dan mengubati perasaan mereka.

Hujah ketiga, ialah;

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Tidak ada bayi yang dapat berbicara dalam buaian kecuali Isa bin Maryam dan (bayi di masa) Juraij” Lalu ada yang bertanya,”Wahai Rasulullah siapakah Juraij?” Beliau lalu bersabda, ”Juraij adalah seorang rahib yang berdiam diri di sebuah rumah ibadah (yang terletak di dataran tinggi/gunung). Terdapat seorang penggembala yang menggembalakan sapinya di lereng gunung tempat peribadatannya dan seorang wanita dari suatu desa menemui penggembala itu (untuk berbuat mesum dengannya).

Pada satu ketika, datanglah ibu Juraij dan memanggil anaknya (Juraij) ketika ia sedang melaksanakan solat, “Wahai Juraij.” Juraij lalu bertanya dalam hatinya, “Apakah aku harus memenuhi panggilan ibuku atau meneruskan shalatku?” Dia lalu mengutamakan solatnya. Ibunya lalu memanggil untuk yang kedua kalinya.  Juraij kembali bertanya di dalam hati, ”Ibuku atau solatku?” Sekali lagi, dia mengutamakan solatnya. Ibunya memanggil untuk kali ketiga. Juraij bertanya lagi dalam hatinya, ”lbuku atau solatku?” Dia tetap mengutamakan solatnya. Kerana tidak menjawab panggilan, ibunya berkata, “Semoga Allah tidak mewafatkanmu, wahai Juraij, sampai wajahmu dipertontonkan di depan para pelacur.” Lalu ibunya pun pergi meninggalkannya.

Wanita yang menemui penggembala tadi dibawa menghadap raja dalam keadaan telah melahirkan seorang anak. Raja itu bertanya kepada wanita tersebut, “Hasil dari (hubungan dengan) siapa (anak ini)?” “Dari Juraij”, jawab wanita itu. Raja lalu bertanya lagi, “Apakah dia yang tinggal di tempat peribadatan itu?” “Benar”, jawab wanita itu. Raja berkata, ”Robohkan rumah ibadahnya dan bawa dia kemari.” Orang-orang lalu merobohkan tempat ibadahnya dengan kapak hingga rata dan mengikatkan tangannya di lehernya dengan tali lalu membawanya menghadap raja. Di tengah perjalanan Juraij dilewatkan di hadapan para pelacur. Ketika melihatnya Juraij tersenyum dan para pelacur tersebut melihat Juraij yang berada di antara manusia.

Raja lalu bertanya padanya, “Siapa ini menurutmu?” Juraij balik bertanya, “Siapa yang engkau maksud?” Raja berkata, “Dia (wanita tadi) berkata bahwa anaknya adalah hasil hubungan denganmu.” Juraij bertanya, “Apakah engkau telah berkata begitu?” “Benar”, jawab wanita itu. Juraij lalu bertanya, “Di mana bayi itu?” Orang-orang lalu menjawab, “(Itu) di pangkuan (ibu)nya.” Juraij lalu menemuinya dan bertanya pada bayi itu, “Siapa ayahmu?” Bayi itu menjawab, “Ayahku si penggembala sapi.”

Raja langsung berkata, “Apakah perlu kami bangun kembali rumah ibadahmu dengan bahan dari emas?” Juraij menjawab, “Tidak perlu”. “Ataukah dari perak?” Raja bertanya lagi. “Jangan”, jawab Juraij. “Lalu dari apa kami akan bangun rumah ibadahmu?”, tanya raja. Juraij menjawab, “Bangunlah seperti sedia kala.” Raja lalu bertanya, “Mengapa engkau tersenyum?” Juraij menjawab, “(Saya tertawa) karena suatu perkara yang telah aku ketahui, yaitu terkabulnya doa ibuku terhadap diriku.” Kemudian Juraij pun memberitahukan hal itu kepada mereka.” (Riwayat Al-Bukhari dalam kitab Al-Adab Al-Mufrad dan Muslim)

Pelajarannya, ialah;

  • Layanan baik kepada ibubapa lebih utama, walaupun seseorang itu sedang merasakan kemanisan berhubungan dengan Tuhannya.
  • Lebih utama menjaga perasaan ibubapa selama mana ia tidak melibatkan persoalan yang mutlak (qat’ii) bercanggah dengan agama, bukan dalam soal khilafiyah yang muktabar.
  • Berwaspadalah akan doa ibubapa yang terluka hatinya oleh perbuatan diri.

Pesan Buat Asatizah

Dalil-dalil yang dinyatakan di atas juga mengandungi beberapa pelajaran bagi asatizah yang bertanggungjawab mendidik anak-anak muda, iaitu mencontohi sikap Nabi s.a.w yang mengutamakan prinsip yang Allah ajarkan kepadanyai.e. kewajiban berbuat baik terhadap ibubapa.

Nabi s.a.w tidak gunakan kedudukan dia sebagai Nabi dan ketua untuk kepentingan diri sendiri, walaupun di saat beliau memerlukan tenaga untuk berjihad bersamanya.

Pada hal beliau boleh sahaja mengetepikan izin ibubapa atas alasan maslahat jihad atau kewajiban yang lebih besar.

Walaupun beliau seorang Nabi s.a.w, beliau akui bahawa dalam keadaan tertentu kewajiban pada ibubapa dan kepentingan mereka lebih perlu diutamakan dari dirinya sendiri.

Oleh itu, asatizah / sheikh / tok guru yang mengajar murid-muridnya yang muda mengenai isu-isu agama dan mentaati ajaran mereka hingga menyebabkan murid-murid sanggup membelakangi orang tua dalam isu-isu khilafiyah, tanpa sedikit rasa bersalah atau hanya berdiam diri sahaja apabila mengetahuinya atau, lebih buruk lagi, merasionalisasikan tingkah laku berkenaan sebagai mengutamakan haq atas batil, mengutamakan Allah atas ibubapa, sebenarnya telah tidak mencontohi sikap Rasulullah s.a.w dan bertangunggjawab sama atas perlakuan yang sumbang ini.

Janganlah keinginan diri untuk dihormati, ditaati dan diagungi, membuta mata kita akan hakikat ibubapa para murid itu lebih berhak atas mereka dari kita dan lebih utama dari mazhab kita.