Nota: Artikel ini adalah petikan dari kertas kerja Konvensyen Ulama PERGAS 2003 yang ditulis oleh penulis sendiri. Bagi perincian. sila rujuk buku Kesederhanaan Dalam Islam terbitan PERGAS, 2004.
Artikel ini akan
Persoalan ini penting kerana ia akan menentukan:
· bagaimana seorang Muslim melihat masyarakat bukan Muslim atau membina persepsi mengenai mereka
· bagaimana dia berurusan dengan mereka
· keupayaan untuk hidup bersama
· bahasa komunikasi dengan mereka
Kesemua ini pastinya memberi kesan mengenai bagaimana dakwah dilaksanakan dan imej masyarakat Islam di mata bukan Muslim serta tanggapan mereka mengenai Islam itu sendiri – adakah benar Islam adalah agama yang cinta keamanan, perdamaian, bersifat rahmat dan kasih sayang?
Sebagai contoh, jika seorang Muslim memahami bahawa asas hubungan kita dengan masyarakat bukan Muslim ialah perang, maka akan terbina dalam dirinya rasa kebencian dan permusuhan yang kuat dengan masyarakat bukan Muslim kerana mereka itu dilihat sebagai seorang kafir harbi, kecuali mereka yang bernaung di bawah pemerintahan Islam atau ada ikatan perdamaian dengan negara Islam. Pelampauan pula boleh berlaku dengan berkembangnya kefahaman berkenaan kepada satu kefahaman bahawa apa jua permasalahan dengan mereka hanya ingin ditangani dengan jihad. Dengan itu, memudahkan pula untuk menumpahkan darah mereka.
Asal Hubungan Ialah Perang
Sebahagian ulama dahulu sememangnya berpendapat bahawa asas hubungan masyarakat Islam dan bukan Muslim ialah perang. Pendirian mereka ini berdasarkan ayat yang diturunkan dalam surah At-Taubah : 1 – 40.
Ayat-ayat ini dikatakan sebagai peringkat akhir dari peringkat-peringkat syariat yang berkaitan dengan hubungan orang-orang bukan Muslim sehubungan dengan perang dan damai. Ayat-ayat ini merujuk kepada dua kelompok bukan Islam; golongan musyrikin dan golongan Ahli Kitab.
Bagi golongan musyrikin, Allah mengisytiharkan sikap berlepas diri dari segala perjanjian dengan mereka dan mereka mempunyai empat bulan setelah turun ayat berkenaan bagi mereka yang telah mengingkari janji sebelum itu. Setelah tempoh berkenaan, jika mereka tidak mahu masuk Islam atau tunduk di bawah kuasa Islam (lihat At-Taubah : 1-2), Allah taala memerintahkan mereka diperangi di mana sahaja mereka berada sehingga mereka bertaubat, mendirikan solat dan membayar zakat. Adapun mereka yang tidak mengingkari janji, maka perjanjian itu terus berlaku sehingga tempohnya. Setelah tamat tempoh, tiada lagi perjanjian damai dengan mereka.
Bagi golongan Ahli Kitab pula, Allah taala memerintahkan secara mutlak orang-orang beriman memerangi mereka sehingga mereka beriman atau kekal dengan agama mereka tetapi tunduk di bawah kuasa Islam dengan membayar jizyah.
Maka ayat peringkat akhir inilah dipegang sebagai penentuan akhir mengenai hubungan masyarakat Islam dengan bukan Islam.
Sesiapa yang memerhatikan ayat-ayat jihad dalam kelompok ayat
Selain itu, ialah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud“Aku diperintah untuk memerangi manusia sehingga mereka menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku adalah Rasulullah, dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Jika mereka melakukan yang sedemikian, terpeliharalah dari aku darah-darah dan harta-harta mereka kecuali atas hak Islam, dan hisab mereka kepada Allah.”(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Asal Hubungan Adalah Keamanan
Sebahagian pula berpendapat bahawa asal hubungan adalah antara masyarakat Islam dan bukan Muslim ialah atas dasar keamanan dan berdamai.
Ini berdasarkan kepada hujah-hujah berikut;
a. Islam adalah agama yang mencintai keamanan.
Mengasaskan hubungan dengan masyarakat bukan Muslim atas asas perang tidak sejajar dengan hakikat ini.
b. Islam adalah agama yang diturunkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
Ini telah dinyatakan dalam Al-Anbiya : 107. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang tidak mengasihi manusia, Allah tidak akan mengasihi dia.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Tidak logik untuk difikirkan bagaimana Islam yang memerintahkan umatnya untuk mengasihi dan menjadi rahmat bagi sekalian makhluk tetapi menganjurkan perang dan penumpahan darah manusia lain hanya kerana berbeza agama.
c. Islam memuliakan manusia keseluruhannya.
Ini dinyatakan dalam Al-Isra’ : 70. Termasuk dalam erti memuliakan anak Adam ialah mengharamkan pertumpahan darah mereka pada dasarnya. Allah telah mengharamkan pembunuhan manusia secara umum dalam firmanNya di Al-Maidah : 32.
d. Tiada paksaan dalam beragama.
Ini telah dinyatakan dalam Al-Baqarah : 256. Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam kitabnya At-Tafsir Al-Munir, jld 3, ms 21, 23-25 menulis
“Ayat ini adalah dalil yang jelas terhadap ketidakbenaran dakwaan bahawa Islam berdiri atas pedang. Sebelum hijrah, kaum muslimin tidak mampu menghadapi orang-orang kafir atau memaksa mereka. Setelah mereka kuat di Madinah dan sepanjang kurun-kurun yang lalu, mereka tidak memaksa sesiapa untuk memeluk Islam sebagaimana yang dilakukan oleh pengikut agama lain seperti orang-orang Nasrani. Ayat ini telah diturunkan pada tahun ke empat dari hijrah pada ketika kaum muslimin mulia dan kuat.
Orang-orang Islam tidak menceburkan diri ke kancah perang atau jihad kecuali untuk menolak permusuhan, atau menegakkan kebebebasan beragama dan menghalang kekerasan pemerintah yang zalim dari membolehkan orang-orang Islam menggunakan hak mereka untuk berdakwah kepada Allah dan menyebarkan Islam ke seluruh alam…..
Adapun dakwaan bahawa ayat ini telah mansukh oleh ayat “Wahai nabi! Perangilah orang-orang kafir dan munafiq….” (At-Taubah : 73), sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Mas`ud, maka ia bercanggah dengan hakikat bahawa ayat ini turun pada tahun tiga atau empat dari hijrah setelah disyariatkan jihad dan izin untuk berperang dan bercanggah dengan sebab turun ayat sebagaimana yang telah kami terangkan. Tambahan lagi, wujud khilaf mengenai persoalan nasakh ini sehingga terdapat enam pandangan mengikut Al-Qurtubi.”
Meletakkan asas hubungan dengan bukan Muslimatas dasar perang tidak sejajar dengan konsep ini kerana ia memberi erti jika seorang manusia tidak menganut Islam, wajarlah diperangi. Oleh itu, bagi menyelamatkan dirinya dia mesti masuk Islam atau tunduk di bawah kuasa Islam.
e. Islam mengharuskan perkahwinan dengan Ahli Kitab
Ini dinyatakan dalam Al-Maidah : 5. Samada seseorang itu berpendapat bahawa hukum ini masih lagi boleh dipakai dalam konteks hari ini atau tidak, yang jelas keharusan ini adalah sebahagian dari syariat yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w dan generasi awal Islam.
Bagaimana mungkin Islam membenarkan seorang Muslim mengahwini ahli kitab tapi pada waktu yang sama menetapkan bahawa kekufuran ahli kitab itu mewajarkan dia diperangi dan dibenci?
Sedangkan tujuan perkahwinan samada dengan wanita Islam atau ahli kitab ialah untuk mencapai ketenangan, kasih dan saying sebagaimana yang dinyatakan dalam Ar-Rum : 21.
f. Islam menganjurkan dakwah kepada masyarakat bukan Islam.
Ini dinyatakan dalam An-Nahl : 125. Bagaimanakah seseorang itu dapat berdakwah dengan baik kepada masyarakat bukan Muslim dengan baik sedangkan dia membenci mereka bahkan ingin memerangi mereka?
Dalam melakukan dakwah, Allah taala menuntut kita untuk menyampaikan Islam sahaja dan bukan memastikan mereka untuk masuk Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam Yasin : 17.
Islam juga menetapkan bahawa dakwah adalah asal dalam interaksi kita dengan bukan Muslim dan bukan jihad. Maka sebab itu Rasulullah s.a.w apabila mengutus tentera berpesan agar masyarakat bukan Muslim itu diajak kepada Islam dahulu dan disampaikan dakwah kepada mereka. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Ali r.a yang bermaksud “Serulah mereka kepada Islam dan beritahu mereka apa yang wajib atas mereka. Demi Allah, jika Allah memberi hidayah dengan kau kepada seseorang, itu lebih baik bagi kau dari unta merah.”(Riwayat Al-Bukhari)
Ini menjadi bukti bahawa berhubungan secara aman itu lebih utama dari berperang.
g. Allah taala menjadikan manusia dengan kepelbagaiannya termasuk kepelbagaian dalam agama agar mereka saling kenal mengenali.
Ini dinyatakan dalam Al-Hujurat : 13. Bagaimana mungkin perkenalan dapat dijalin bagi menjalin hubungan kemanusiaan jika di dalam hati wujud rasa benci dan menyimpan dendam untuk memerangi masyarakat bukan Islam?
………………… bersambung di bahagian 2.