Dalam kenikmatan hidup yang kita lalui ini, hatta bagi mereka yang ‘malang’ sekali pun di Singapura, kita perlu banyak bersyukur kerana nasib kita masih lebih baik dari jutaan manusia di pelbagai tempat di dunia.
Di sekitaran kita sahaja, jutaan anak-anak yatim yang terlantar, tidak cukup keperluan hidup dan tiada pendidikan. Jutaan keluarga pula yang melarat, tidur mereka di kaki lima dan di bawah jambatan, beralas bumi dan beratap langit sahaja. Jutaan pula yang terdampar di tanah asing sebagai pelarian kerana negaranya dijajah atau ditimpa masalah. Pokoknya kita dikelilingi oleh pelbagai tragedi kemanusiaan yang menyayat hati.
Yang terlibat adalah ibarat saudara, anak-anak dan keluarga kita sendiri kerana mereka adalah seagama. Kalau pun mereka berbeza agama sekali pun, simpati kita tetap dengan mereka kerana mereka adalah manusia juga seperti kita.
Bayangkanlah kalau nasib sedemikian menimpa kita atau keluarga kita sendiri. Adakah kita berdiam diri.
Cuba perhatikan apa yang Islam ajar kepada kita. Berkaitan membantu jiran, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Jika kau memasak kuah perbanyakkanlah airnya kemudian perhatikanlah jiran-jiran kamu, maka berikanlah kepada mereka selayaknya.” (Riwayat Muslim)
Berkaitan membantu kesulitan orang lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Siapa yang melapangkan seorang mukmin dari kesulitan di dunia, Allah akan melapangkan darinya kesulitan dari kesulitan-kesulitan Hari Qiyamat. Sesiapa yang meringankan kemiskinan seorang yang miskin, Allah akan meringankan baginya di dunia dan di Akhirat.” (Riwayat Muslim)
Berkaitan membantu para janda dan orang miskin, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Orang yang berusaha membantu janda dan orang miskin, bagaikan orang yang berjihad di jalan Allah. Bahkan bagaikan orang yang tidak pernah berhenti puasa dan bangun bersolat malam. (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Berkaitan membantu manusia sejagat sehingga menyelamatkan nyawa mereka, Allah taala berfirman yang bermaksud:
“Dan siapa yang menjaga kehidupan seseorang, sesungghnya ia bagaikan menghidupkan semua manusia.” (Al-Maidah : 35)
Islam mengajar kita untuk melihat golongan yang kurang bernasib dengan pandangan berikut:
“Carilah untukku orang-orang yang lemah, kerana kamu mendapat bantuan dan rezeki, hanya semata-mata disebabkan oleh golongan lemah di antara kamu.” (Maksud sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Daud)
Umat dan bangsa lain telah kehadapan dari kita dalam memberi bantuan kemanusiaan di merata tempat di dunia.
Sudah tiba masanya untuk kita memulakan langkah. Setiap seorang mempunyai peranan dan boleh memberi sumbangan. Jika anda tidak mampu untuk bersama turun ke lapangan, hulurkanlah bantuan wang atau benda.
Ingatlah seseorang dan satu masyarakat itu, tidak akan menjadi papa disebabkan banyak infaq yang diberikan kepada yang lain. Allah taala berfirman yang bermaksud:
“Allah mencela riba dan menguntungkan sedekah” (Al-Baqarah : 276)
Kalaulah kita boleh berbelanja jutaan dolar untuk majlis perkahwinan, persiapan Hari Raya, berumrah dan berhaji kali ketiga, ertinya kita mempunyai lebihan harta yang lebih utama disalurkan bagi insan-insan yang malang di merata dunia.