Asas Hubungan Umat Islam Dan Bukan Islam (3/3)

Nota: Artikel ini adalah petikan dari kertas kerja Konvensyen Ulama PERGAS 2003 yang ditulis oleh penulis sendiri. Bagi perincian. sila rujuk buku Kesederhanaan Dalam Islam terbitan PERGAS, 2004.

 

…. sambung dari bahagian 2

 

Memupuk Perasaan Positif Terhadap Bukan Muslim

 

Dasar hubungan antara Muslim dan bukan Muslim ialah perdamaian. Maka satu persoalan yang perlu dijawab ialah bolehkah wujud perasaan positif seperti berlapang dada dan bermesra dengan mereka yang bukan Islam?

 

Dalam hal ini, Sheikh Faisal Mawlawi dalam kitabnya Al-Mafahim Al-Asasiah Li Ad-Da`wah Al-Islamiah Fi Bilad Al-Gharb telah menghuraikan pelbagai bentuk hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Muslim seperti berikut;

 

a.   Hubungan Ta`aruf (Perkenalan)

 

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, Allah taala mencipta manusia dengan segala kepelbagaiannya adalah untuk mereka saling kenal mengenali antara satu sama lain agar dengan perkenalan ini setiap pihak dapat mengambil faedah dari yang lain.

 

Perbezaan antara manusia adalah hukum alam yang bertujuan positif bukan negatif.

 

b.   Hubungan Hidup Bersama

 

Ini dinyatakan dalam Al-Mumtahanah : 8. Apabila Allah taala membenarkan kita berlaku baik dengan orang bukan Muslimyang tidak memusuhi kita, itu pastinya tidak dianjurkan dalam satu keadaan yang vakum. Kebenaran itu pastinya mengandungi erti yang membenarkan untuk hidup bersama kerana tidak mungkin timbul isu berbuat baik dengan bukan Muslim jika tidak boleh hidup bersama dengan mereka.

 

Hijrah ke Habsyah juga merupakan satu dalil bagi keharusan ini.

 

Kalau kita melihat sejarah kita akan dapati bahawa para sahabat dan pendakwah dahulu mengembara ke penjuru alam yang asing dari mereka dan jauh dari majoriti masyarakat Islam untuk hidup bersama dengan mereka sehingga Islam tersebar meluas seperti yang berlaku di Nusantara.

 

Demikianlah juga keadaan orang-orang Islam yang berhijrah ke Amerika dan Eropah kerana melarikan diri dari tekanan dan gangguan pemerintah negara mereka.

 

Oleh itu, harus bagi orang Islam untuk hidup bersama orang bukan Islam.

 

c.   Hubungan Kerjasama

 

Islam juga mengharuskan bagi Muslim dan bukan Muslim untuk bekerjasama dalam perkara-perkara kebaikan. Ini dapat dilihat dari penglibatan Rasulullah s.a.w dalam Hilf Al-Fudhul.

 

Hilf Al-Fudhul adalah pakatan yang dibuat oleh beberapa kabilah Quraisy bagi membela seorang Arab yang dizalimi oleh anggota satu kabilah Quraisy yang lain. Rasulullah s.a.w ikut serta dalam pakatan ini. Apabila beliau s.a.w mengingati pakatan itu setelah menjadi nabi, beliau berkata yang bermaksud “Jika aku dipanggil untuknya sekali lagi, nescaya aku akan menyahut.”

 

Pernyataan beliau itu jelas mengharuskan kerjasama atas dasar kebaikan, samada pada waktu masyarakat Islam berkuasa atau tidak.

 

Setelah menerangkan pelbagai bentuk hubungan antara manusia, Sheikh Faisal Mawlawi  kemudian menerangkan pula pelbagai bentuk ikatan yang mengikat antara manusia;

 

a. Ikatan Kemanusiaan

 

Ia adalah hubungan yang mengikat seluruh manusia bahawa mereka adalah dari jenis makhluk yang sama dan dari keturunan Adam. Islam mengiktiraf ikatan kemanusiaan ini. Maka sebab itulah terdapat banyak dalam Al-Quran firman Allah taala yang menyeru dengan seruan ‘Wahai manusia…’.

 

b. Ikatan Perkauman / Kebangsaan / Etnik

 

Islam juga mengiktiraf kewujudan ikatan seperti ini dan memeliharanya. Para sahabat dahulu sering menisbahkan diri mereka kepada kabilah masing-masing berserta dengan nama mereka seperti Abu Zar Al-Ghifari dari kabilah Ghifar.

 

Islam juga tidak memerintahkan sesiapa dari orang Islam untuk memutuskan hubungan dengan ibu bapa mereka semata-mata kerana perbezaan agama. Bahkan Islam menganjurkan agar seorang Muslim terus berbuat baik kepada ibu bapa mereka selama mana tidak menjurus kepada maksiat.

 

c. Ikatan Maslahat

 

Sifat manusia sebagai makhluk sosial, menatijahkan bahawa mereka sering kali saling memerlukan antara satu sama lain disebabkan kepentingan yang sama (common interest).

 

Hal ini menatijahkan hubungan yang membentuk ikatan antara manusia. Contoh ikatan ini ialah Hilf Al-Fudhul yang telah diterangkan dan perjanjian Rasulullah s.a.w dengan pelbagai kabilah Arab dan Yahudi yang terkandung dalam Piagam Madinah.

 

d. Ikatan Tempat Tinggal.

 

Menjadi lumrah manusia juga mempunyai ikatan dengan sesama mereka yang berada di negara yang sama.

 

e. Ikatan Ukhuwwah Islamiah

 

Ini adalah ikatan yang mengikat setiap orang Islam antara satu sama lain sebagai saudara seagama. Ia adalah ikatan yang paling tinggi dan mulia dari ikatan yang lain. Ikatan ini perlu diutamakan dari ikatan yang lain, jika bertembung kepentingan antaranya dan yang lain.

 

Berdasarkan dari segala huraian mengenai bentuk-bentuk hubungan dan ikatan yang secara semula jadi wujud antara manusia dapat disimpulkan bahawa Islam membenarkan kewujudan ikatan dan hubungan dengan masyarakat bukan Islam.

 

Jika telah tsabit yang sedemikian, maka wajarlah disimpulkan bahawa ikatan ini mestilah diasaskan atas asas yang positif; rasa suka, mesra, damai, tenang dan kasih sejajar dengan ruh dan inti pati dari ajaran Islam yang bersifat cinta pada keamanan, rahmat dan pengasih.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud “Beginilah kamu, kamu menyukai mereka padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya.” (Ali-Imran : 119)

 

Dalam ayat ini, Allah taala menggambarkan rasa kasih orang Islam terhadap orang bukan Muslim dan kaum munafiq. Al-Imam At-Tabari dalam menghurai ayat ini berkata bahawa ayat ini menggambarkan sifat rahmat orang beriman dan pengasih terhadap golongan yang berkhilaf dengan mereka dan kekasaran hati orang kafir dan kekerasan mereka terhadap orang beriman. Ayat ini juga menerangkan bahawa orang beriman itu tetap mengasihani orang-orang munafiq walaupun mereka berusaha untuk melakukan kejahatan ke atas orang-orang beriman.

 

Sesiapa yang meneliti ayat surah At-Taubah : 24 di atas akan mendapati bahawa ia diturunkan kerana menceritakan mengenai keadaan beberapa orang sahabat yang sanggup memerangi keluarga mereka yang tidak beriman bagi mengutamakan Allah taala dan RasulNya.

 

Dalam ayat berkenaan Allah taala menggunakan perkataan ‘ahabba’ yang bermaksud lebih cinta. Hal ini memberi maksud bahawa pada asalnya, tidak salah untuk mengasihi orang yang tidak beriman selama mana ia tidak melebihi cinta kepada Allah dan Rasul. Islam hanya melarang rasa cinta itu jika dalam keadaan konflik antara kepentingan, seseorang itu mengutamakan cinta kepada keluarganya yang tidak beriman.

 

Sebagaimana yang dinyatakan dahulu, bahawa disebalik syariat yang mengharuskan nikah dengan wanita Ahli Kitab adalah keharusan untuk memupuk rasa kasih dengan mereka yang bukan beriman.

 

Kesemua yang di atas mentsabitkan bahawa wujud rasa kasih, suka dan mesra terhadap orang bukan Muslim dibenarkan oleh Islam. Ini termasuk dalam rasa kasih fitrah kemanusiaan, sama seperti fitrah yang telah Allah taala nyatakan dalam Ali-Imran : 14.

 

Ia tidak merujuk kepada rasa kasih atas aqidah sebagaimana dalam hadits-hadits;

 

“Dua lelaki yang saling mengasihi antara satu sama lain. Mereka bertemu keranaNya dan berpisah keranaNya.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

“Hendaklah dia mengasihi seseorang. Dia tidak mengasihinya kecuali kerana Allah semata-mata.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

“Tidak masuk syurga sehingga kamu beriman, dan tidak beriman sehingga kamu saling mengasihi.” (Riwayat Muslim)

 

Apa yang dilarang oleh Islam ialah untuk mengasihi mereka yang memerangi agama Allah taala dan memusuhi umat Islam secara nyata.

 

Jika mempunyai rasa suka dan kasih kepada bukan Muslim sahaja adalah satu perkara yang dilarang, ini pastinya bertentangan dengan fitrah semula-jadi manusia dan membebankan psikologi masyarakat Islam yang hidup di tengah-tengah masyarakat bukan Islam. Segala ini tidak sejajar dengan hakikat Islam sebagai agama yang sesuai dengan fitrah dan memudahkan.

 

Apabila dikatakan bahawa boleh merasa kasih terhadap mereka yang bukan Muslim bukan bermakna dibenarkan rasa redha terhadap kekufurannya. Rasa kasih yang dimaksudkan ialah atas pengakuan sifat-sifat tertentu yang ada padanya seperti jika dia itu seorang yang jujur dan baik, maka kita merasa suka dengannya kerana kejujuran dan kebaikannya.

 

Tidak boleh pula mengatakan bahawa wujud rasa kasih kepada orang bukan Muslim semata-mata, bermakna redha terhadap kekufurannya.