Nota – Versi asal BH boleh didapati dilampiran.
cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura. |
Komentar
Awas pengganasan masa ekonomi suram
Oleh MELIBATKAN orang awam dalam membasmi pengganasan telah diusahakan oleh badan masyarakat dan pihak pemerintah. Namun sejak krisis ekonomi, dikhuatiri strategi yang ada masih belum ampuh. Dalam satu sidang akhbar, Maulana Wahiduddin Khan, alim terkenal dan penerima anugerah awam ketiga tertinggi dari negara India dan pengasas Pusat Keamanan dan Kerohanian di New Delhi, menegaskan: ‘Pengganasan bermula dari minda dan setiap pengganasan itu berasaskan sesuatu fahaman. Cara mengatasinya ialah dengan menampilkan bidasan terhadap fahaman tersebut’. Dua hari kemudian, seorang penulis blog bernama Ashok mencatatkan: ‘Bagi kami di India, pengganasan harus dibasmi dan disingkirkan dengan mempergiatkan lagi segala usaha di peringkat pentadbiran – iaitu dengan memperbaiki keupayaan badan risik – dan juga di peringkat politik, iaitu dengan cara menghuraikan masalah ketidakadilan yang dilakukan ke atas beberapa kelompok dalam masyarakat.’ Sekitar empat bulan kemudian, kota ekonomi utama India, Mumbai, diserang pengganas. Untuk mencegah pengganasan, kuasa politik, pasukan keselamatan dan undang-undang sahaja tidak memadai. Sebaliknya, masyarakat awam turut berperanan penting dalam membanterasnya. Ini berdasarkan tiga kenyataan berikut: Pertama, orang awam merupakan sasaran utama bagi mendukung fahaman pengganasan. Jika orang awam dapat lebih faham dan peka akan bahaya fahaman radikal, mereka akan dapat terhindar daripada ideologi sesat. Dalam rencananya, Terrorists Are Made, Not Born: Creating Terrorists Using Social Psychological Conditioning (Pengganas Dibentuk Bukan Dilahirkan: Pembentukan Pengganas Melalui Psikologi Sosial), Dr Anthony Stahelski, seorang profesor psikologi di Universiti Central Washington, mendedahkan dapatan kajian para pakar sosiologi dan psikologi – bahawa kumpulan pengganas menggunakan kaedah pelaziman untuk membentuk orang biasa menjadi pengganas. Kedua, keselamatan negara ini banyak bergantung kepada deria orang awam dalam mengesan ancaman pengganasan. Sikap waspada untuk mengenal pasti gejala ancaman dan melaporkannya kepada pihak berkuasa merupakan amalan genting dalam mengelak atau mencegah serangan pengganas. Dalam rencana mereka, Public Awareness and The War on Terrorism (Kesedaran Awam dan Perang ke atas Pengganasan), pakar runding keselamatan, Encik Craig Gundry dan Encik K.C. Poulin, menyatakan bahawa semua operasi pengganas dimulakan dengan proses pengumpulan maklumat. Orang awam, hujah mereka, berada di kedudukan yang paling baik dalam mengesan gejala ancaman pengganas. Ketiga, penglibatan orang awam amat penting dalam menentukan kejayaan usaha membidas fahaman pengganas menerusi jalinan kemasyarakatan atau kekeluargaan. Ini kerana maklumat yang berasal daripada hubungan peribadi ini lebih mudah diterima berbanding maklumat yang berasal daripada pihak berkuasa. Akibat kegawatan, masyarakat akan lebih tertumpu pada soal periuk nasi. Oleh kerana kekurangan dana pula, pihak berkuasa pula dalam keadaan dilema untuk membelanjakan sumber yang kian terhad, sama ada bagi memenuhi keperluan asas masyarakat ataupun untuk menentang pengganasan. Jika ekonomi kian muram, kemungkinan besar pengganas lebih gigih berusaha untuk mencapai matlamat mereka. Masyarakat yang serba kekurangan atau daif akan cuba mencari jalan keluar tanpa menyedari jerat para pelampau. Sikap putus asa, keinginan memberontak dan perasaan iri hati yang boleh membawa kepada reaksi ganas memang memprihatinkan. Pada September tahun lalu, kerajaan British telah memberi amaran bahawa kemelesetan boleh membawa bertambahnya sokongan kepada kumpulan Muslim radikal yang merekrut pengganas. Sebuah dokumen sulit kerajaan Britain, Responding to Economic Challenges (Memberi Respons kepada Cabaran Ekonomi) yang terbocor kepada media menyatakan: ‘…kegawatan ekonomi boleh menyebabkan sikap ganas dan perkauman semakin berleluasa sehingga ia membawa kepada ancaman pengganasan. Terdapat bukti bahawa rungutan terhadap ketidaksenangan yang dialami seseorang akibat kesan sikap perkauman merupakan antara faktor yang menyebabkan seseorang itu berubah menjadi seorang pengganas’. Cara amat ampuh untuk mengesan, menangguh dan mencegah masyarakat daripada jerat pengganas ialah mengadakan kempen kesedaran oleh badan akar umbi. Mesej utamanya haruslah mendorong penglibatan orang awam sehingga mereka peka dan bersemangat untuk menjadi benteng negara yang paling berkesan. Soalnya: bagaimanakah pertahanan ini dapat dibina dalam dunia yang sumbernya semakin berkurang? Hakikatnya, benteng itu sudah pun lama terbina sejak pemimpin masyarakat di seluruh dunia gigih memerangi pengganasan. Namun, terdapat dilema iaitu kebanyakan usaha masyarakat masih bersifat sukarela. Sanggupkah tenaga sukarela ini terus tampil pada saat kegawatan ekonomi? Dilema inilah yang dihadapi oleh pertubuhan seperti Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang harus peka, kreatif dan bijaksana. Mereka tidak mampu membiarkan usaha membasmi fahaman radikal untuk sekian lama itu terbazir begitu sahaja dek cengkaman ekonomi kini. Oleh itu, pemerintah harus kekal dalam komitmennya untuk mendidik masyarakat awam tentang bahaya pengganasan dan pelampauan. Ertinya, pemerintah perlu memastikan dana mencukupi agar segala usaha masih berterusan sekalipun dalam waktu ekonomi yang suram. Ini disebabkan keselamatan negara amat utama sebagai pelantar bagi pemulihan ekonomi. Sejak terdedahnya rancangan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang merancang serangan di Singapura, pemerintah sering mengadakan sesi taklimat khusus mengenai perkembangan situasi keselamatan bagi para pemimpin masyarakat. Diharap usaha sedemikian berterusan, bahkan boleh ditambah dengan memberi lebih penekanan terhadap pengertiannya dalam waktu kemelesetan. Sesi-sesi taklimat harus meyakinkan para pemimpin masyarakat tentang ancaman pengganasan yang boleh merosakkan seluruh sistem keselamatan negara dan menggugat pemulihan ekonomi. Dengan pendekatan ini, para pemimpin masyarakat akan lebih gigih meneruskan kempen untuk orang ramai. Mengadakan kegiatan akar umbi yang menarik memanglah suatu usaha mencabar. Namun dengan kerjasama yang lebih teguh, para pemimpin masyarakat boleh melakarkan langkah yang lebih kreatif untuk merangsang orang ramai – sesuai dengan keadaan dan masa. Kempen kesedaran masyarakat boleh dijayakan menerusi drama khas atau cuplikan iklan yang berkesan di televisyen atau radio. RRG, misalnya, boleh mempergiat usahanya mendampingi masyarakat dengan mengadakan ceramah dan forum bersifat interaktif dan menghasilkan buku kecil, risalah atau rencana menarik untuk kegunaan media. Dalam ucapan takziahnya kepada mangsa pertama Singapura dalam serangan di Mumbai baru-baru ini, Menteri Kanan, Encik Goh Chok Tong, berkata: ‘Memastikan tiada serangan pengganasan yang besar ke atas Singapura merupakan tugas unit keselamatan negara. Tetapi setiap rakyat Singapura juga mempunyai tugas berwaspada.’ Pesanan SM Goh harus menjuruskan lagi perhatian warga Singapura bahawa kita tidak mampu menghadapi tragedi serupa Mumbai. Kita perlu sentiasa bersiap sedia dan berwaspada dengan saling mengingatkan satu sama lain bahawa ancaman pengganasan boleh menyelinap pada bila-bila masa sahaja. Nota: Ustaz Muhammad Haniff Hassan ialah Zamil Bersekutu dan Sharifah Thuraiya Su’ad Ahmad Alhabshi pula penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. |
|
Copyright © 2005 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne |