Bangau Oh Bangau

(Nota : Artikel ini pada asalnya ditulis pada tahun 1997.)

 

Satu pagi aku membawa keluargaku bersiar-siar di Jurong Bird Park. Walaupun sistem monorail ada disediakan namun kami lebih suka berjalan kaki untuk menikmati suasana yang ada. Kami berjalan sehinggalah tiba di sebuah mini tasik yang dipenuhi oleh burung-burung seperti angsa hitam, flamingo dan pelican. Anak-anakku sungguh gembira dapat melihat berjenis-jenis burung dengan dekat dan aku pula mengambil kesempatan dari keghairahan mereka itu untuk berehat sebentar.

 

Aku memandang sekeliling tasik itu…kiri….kanan….atas…dan bawah lalu aku merasa sungguh pelik. Aku berkata kepada isteriku “Tasik ini tidak berpagar, baik di sekeliling atau di atasnya. Burung-burung ini pula semuanya bersayap dan sihat untuk terbang (sambil aku menunjuk kepada seekor pelican yang terbang dari dahan pokok yang tinggi ke air untuk berenang-renang). Tidak ada apa yang boleh menghalang mereka untuk terbang bebas dan lari dari tempat ini. Tetapi…kenapa mereka masih mahu berada di sini?”

 

Isteriku turut terpaku lalu beliau berkata “Mungkin kerana hidup di sini lebih selesa dari di luar sana. Di sini semuanya disediakan. Tempat tinggal, makanan dan lain-lain. Makanan di sini pastinya lebih baik dari di luar sana……kalau sakit ada pula doktor yang akan merawat.”

 

Aku termenung sebentar lalu aku berkata “Sekiranya benar apa yang you andaikan …..maka begitulah juga akan terjadi ke atas manusia yang tidak mempunyai kejelasan tujuan hidupnya, yang hanya melihat kebahagian hidup dengan pencapaian kebendaan. Bagi mereka asal diberi rumah besar, kereta cantik, ada pendapatan yang lumayan …. Cukuplah, apa lagi nak!! Sebagaimana burung-burung itu, tak penting bagi mereka persoalan kemerdekaan, kebebasan, perjuangan, harga diri dan maruah peribadi. Yang lebih teruk lagi, ada diantara mereka yang seperti Pak Kaduk, bersorak kegembiraan kerana ayam sabungnya menang bertarung sedangkan kampung dan tanahnya tergadai dan dirampas oleh raja.”

 

Aku meneruskan perjalanan ku untuk melihat lebih banyak bangau-bangau dan burung-burung yang lain dan aku berdoa sebagaimana doa Rasulullah s.a.w “Ya! Allah berikanlah hidayah kepada kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui”