Sebagai seorang Islam yang meyakini bahawa Islam adalah satu cara hidup, kita tidak dapat menolak keperluan untuk merealisasikan sistem ekonomi dan kewangan yang berteraskan Islam. Realiti juga turut menunjukkan bahawa usaha memajukan Islam dan umatnya tidak dapat lari dari usaha memajukan ekonomi mereka.
Oleh itu, sebahagian dari agenda memajukan masyarakat Islam ialah memajukan ekonomi mereka sejajar dengan prinsip-prinsip Islam dalam lingkungan keterbatasan yang ada.
Bercakap mengenai kemajuan ekonomi bagi masyarakat Islam Singapura kadang kala terpalit bersamanya stigma negatif – orang Melayu tidak pandai berniaga, perniagaan orang Melayu tidak akan mampu untuk maju dan orang Melayu hanya mampu untuk mengurus gerai makanan sahaja.
Kita harus berani menghadapi realiti bahawa masyarakat Islam Singapura masih belum mempunyai jumlah jutawan yang ramai dibanding dengan masyarakat lain. Syarikat-syarikat Melayu/Islam pula boleh dikata belum ada yang mencapai taraf MNC. Banyak pula berita-berita kegagalan dan penutupan syarikat yang dimiliki oleh masyarakat Melayu/Islam. Dari segi pasaran pula, syarikat orang-orang Melayu maish amat bergantung pada pasaran orang Islam dari pasaran yang lebih besar seperti syarikat agensi pelancongan, makanan dan ubah elok rumah.
Namun ia tidak seharusnya menjadikan kita golongan yang berputus harap kerana Allah taala berfirman yang bermaksud
“Janganlah kamu berputus harap dari rahmat Allah. Sesungguhnya tidak berputus harap dari rahmat Allah kecuali orang-orang yang fasiq.” (Yusuf : 87)
Kita juga menolak teori yang berpendapat bahawa masyarakat Melayu sememangnya tidak mempunyai bakat semula jadi untuk berniaga. Sejarah bangsa Melayu membuktikan sebaliknya bahawa mereka pernah mengurus pelabuhan penting dan besar bahkan empayar yang besar dan maju ekonominya. Kota dan pelabuhan Melaka serta kerajaan Melayu seperti Majapahit, Acheh dan Sulu adalah contoh-contoh menunjukkan bahawa masyarakat Melayu dahulu turut berniaga, memerintah negara dan menguasai ekonomi di rantau ini. Walau pun tidak dinafikan bahawa sebahagian dari sejarah itu berlaku semasa orang Melayu beragama Hindu/Buddha dan sebahagian lagi ketika beragama Islam.
Begitu sibuk dan maju pelabuhan perniagaan di bawah pengurusan orang Melayu sehingga sebuah buku Undang-undang Laut Melaka ditulis bagi memastikan keteraturan pelabuhan.
Masyarakat Melayu hari ini mempunyai wang yang cukup besar untuk menjadi modal bagi memajukan ekonomi mereka. Indikasi berikut adalah petunjuk yang baik
1. Dianggarkan hanya sekitar 10% sahaja dari golongan yang diandaikan berkemampuan untuk membayar zakat menunaikan kewajipan ini. Ini sahaja menghasilkan kutipan sebanyak sekitar 16 juta dolar bagi tahun 2000.
2. Jumlah wang yang dilaburkan di dalam dana Takaful dan amanah saham yang berjumlah puluhan juta dolar yang mana 90% adalah dari masyarakat Islam.
3. Jumlah perbelanjaan yang dibelanjakan bagi majlis perkahwinan, umrah, haji dan hari raya yang mencapai ratusan juta dolar.
Antara usaha yang penting bagi memajukan lagi ekonomi umat Islam hari ini ialah
1. Mendidik masyarakat agar memahami keutamaan perbelanjaan dalam kehidupan agar dana yang ada diperuntukkan untuk sesuatu yang lebih penting dari setakat untuk mencantikkan rumah dan melancong.
2. Mempertingkatkan dan meluaskan kefahaman mengenai pengurusan kewangan peribadi dan keluarga dalam masyarakat Melayu.
3. Model perniagaan (business model) yang tepat dan berkesan.
Nilai utama yang mendasari usaha ini ialah bahawa ia adalah fardu kifayah yang perlu direalisasikan dan usaha keras dalam bidang ini adalah ibadah yang akan diberikan ganjaran yang besar oleh Allah taala. Ia adalah jihad dalam bidang ekonomi dan ia tidak kurang mulia di sisi Allah dari usaha kebajikan masyarakat yang biasa dilakukan.
Menjadi motivasi kita sentiasa ialah firman Allah taala yang bermaksud
“Lelaki-lelaki yang tidak melalaikan mereka perniagaan dan jual beli dari mengingati Allah taala, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Mereka takut akan hari yang berbolak balik hati-hati dan pandangan-pandangan (kerana takut akan hari Kiamat). Agar Allah memberi mereka sebaik-baik atas apa yang mereka lakukan dan menambah untuk mereka kurniaanNya dan Allah memberi rezeki kepada siapa yang ia mahu tanpa hisab.” (An-Nur : 37-38)
Melalui penglibatan yang aktif, pemilikan syarikat perniagaan yang maju dan kemunculan peniaga-peniaga yang soleh, usaha keras yang berterusan tanpa mempedulikan cemuhan orang dan kerjasama atas satu kesedaran yang sama maka sistem kewangan dan ekonomi Islam akan berkembang dan menjadi alternatif.