Ramai pihak memandang keji amalan judi.
Pemerintah Singapura pun pada pernyataan mereka menganggap judi sebagai satu perbuatan yang tidak baik dan menyeru masyarakat agar menjauhinya.
Pelbagai penyakit dan masalah sosial cuba ditangani dalam masyarakat melalui pelbagai kempen, program pendidikan dan dana.
Kita ada kempen anti dadah, kita berkempen anti rokok, kita mendidik masyarakat agar tidak memandu dengan mabuk, kita juga berkempen bagi menangani masalah sampah maut bahkan kita menghukum pesalah sampah maut berkenaan.
Begitu bersungguh-sungguh masyarakat kita untuk mewujudkan satu masyarakat yang berdisiplin, kita berani untuk melancarkan kempen-kempen seperti flush tandas, jangan berludah, larangan dari menjual chewing gum, walau pun ada yang mentertawakan kita dan memandang perbuatan sedemikian secara sinis dan remeh.
Kita mendidik masyarakat agar berbudi bahasa, sanggup berkorban untuk yang lain melalui derma ginjal dan organ yang lain. Bahkan kita mendidik masyarakat bagaimana mengguna telefon bimbit dengan bertimbang rasa.
Kita ada pelbagai agensi dan institusi bagi pelbagai tujuan kemasyarakatan seperti National Kidney Foundation, National Volunteer Agency, National Council for Social Service dan lain-lain.
Namun persoalan judi sebagai satu penyakit sosial yang diterima oleh ramai pihak, seolah-olah seperti terabai.
Sekali sekala kita terbaca mengenai tangkapan yang dibuat terhadap pesalah judi haram.
Namun kita tidak pernah mendengar satu usaha dan kempen yang bersungguh-sungguh untuk mendidik masyarakat keburukan judi dana keperluan untuk menjauhinya.
Mungkin ada sangkaan bahawa masalah judi di Singapura tidak serius.
Tapi apa dasar bagi sangkaan ini? Adakah pernah satu kajian menyeluruh mengenainya dibuat dan dilaporkan kepada umum?
Kalau kita telah bersetuju bahawa judi adalah buruk, apakah perlu untuk menunggu sehingga masalah judi menjadi serius baru satu usaha pendidikan awam dibuat?
Oleh itu, mugkin penting untuk dipertimbangkan secara serius langkah-langkah yang lebih bersifat pro aktif dalam menangani judi dalam masyarakat.
Pembayar cukai yang membenci amalan judi pastinya berhak untuk meminta sebahagian dari wang cukai mereka digunakan bagi membiayai program anti judi.