Kenapa Kita Memerlukan Fiqh Bagi Minoriti Muslim?

Fiqh Minoriti Muslim sebenarnya bukanlah semestinya satu bentuk fiqh yang 100% baru terpisah dari Fiqh tradisional yang sedia ada, sehingga ia perlu ditakuti atau dicurigai.

 

Walaupun hakikatnya Islam menganjurkan pembaharuan dan pemikiran yang inovatif sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh tamadun Islam dahulu, yang penuh dengan idea-idea baru, ironisnya sebahagian umat Islam sentiasa mencemburui usaha pembaharuan atas alasan bid`ah atau memelihara agama dari pemikiran-pemikiran yang asing.

 

Dengan ini apa yang dipegang oleh kebanyakan ulama bahawa apa yang didiamkan oleh syara’ menunjukkan kepada hukum harus, diterbalikkan sehingga apa yang tidak ada disebut oleh syara dilihat sebagai haram dan melakukannya boleh membawa pada bid`ah.

 

Situasi yang sama mungkin berlaku terhadap gagasan bagi merangka dasar-dasar Fiqh Minoriti Muslim di merata dunia. Maka sebab itulah penerangan yang betul adalah penting.

 

Fiqh Minoriti Muslim sebenarnya hanyalah satu cabang dari disiplin ilmu Fiqh yang luas dalam Islam. Ia merujuk kepada sumber yang sama iaitu Al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qiyas. Ia juga menggunakan metodologi Usul Fiqh yang hampir sama dengan Fiqh yang lain.

 

Namun ia mempunyai perbezaan dan sifat khusus disebabkan oleh realiti khusus yang harus dihadapi oleh minoriti Muslim di negara mana mereka berada. Perbezaan yang timbul dalam kehidupan beragama minorit Muslim dibanding dengan umat Islam yang lain bukanlah sesuatu yang bercanggah dengan dasar Fiqh Islam kerana para ulama telah mengakui bahawa fatwa harus berubah disebabkan perubahan realiti, masa dan tempat. Hakikat ini nampak jelas melalui pemikiran Imam Syafi`ii yang mempunyai pandangan Al-Qadim (lama, semasa berada di Iraq) dan Al-Jadid (baru, semasa berada di Mesir).

 

Contoh dibawah ini memberi gambaran akan keperluan kepada satu penyelesaian yang tersendiri bagi minoriti Muslim dalam menghadapi situasai kehidupan mereka yang khas;

a.      Umumnya para ulama menghukumkan bahawa seorang wanita yang memeluk Islam sedangkan suaminya tidak melakukan sedemikian, hendaklah diputuskan perkahwinan mereka kerana wanita Islam tidak boleh berkahwin dengan lelaki bukan Islam. Hukum seperti ini pastinya akan menimbulkan kesulitan bagi wanita kulit putih yang memeluk Islam sedangkan dia masih mengasihi suaminya dan suaminya tidak menghalang dia untuk menganut Islam dan tidak pula menzaliminya. Ia juga pastinya akan menjadi hambatan bagi menarik ramai wanita Barat untuk memeluk Islam? Jika Islam itu adalah agama yang sesuai bagi setiap zaman dan tempat, maka apakah penyelesaian bagi masalah seperti ini? (Nota : Ibn Qayyim mengemukakan 9 pandangan yang berbeza oleh para ulama di antara yang membolehkan kekal dan tidak membolehkannya).

b.      Solat Jumaat adalah wajib ke atas semua lelaki muslim pada waktu zohor. Namun terdapat minoriti muslim di negara Barat yang jumlahnya hanya beberapa ratus sahaja di sebuah bandar. Mereka tidak mempunyai kekuatan untuk mendapatkan hak kelonggaran dan disebabkan jumlah mereka yang kecil, syarikat dan penguasa setempat tidak mempunyai alasan yang kuat bagi membenarkan pelepasan. Apakah huraian bagi mereka? Adakah mereka harus meninggalkan pekerjaan? Atau melakukan konfrontasi dengan pihak berkenaan?

c.      Cinta pada negara dan tanahair adalah sifat semulajadi manusia. Umumnya semua orang menerima bahawa keinginan untuk mempertahankan tanahair adalah satu sifat mulia. Namun bagaimanakah minoriti muslim melakukan rekonsiliasi antara naluri ini dengan hakikat bahawa negaranya itu tidak mengamalkan sistem Islam dan pemimpin mereka bukan orang-orang Islam? Adakah seorang Cina warga Singapura yang memeluk Islam pada umur 30 tahun mesti merungkai segala semangat patriotismenya kepada negara yang telah wujud dalam dirinya sebelum ini, semata-mata kerana dia memeluk Islam? Merumitkan lagi apabila dia dihadapkan dengan persoalan wala’ dalam agama.

d.      Apakah pendirian minoriti muslim terhadap persoalan pemerintahan? Bersama umat Islam yang lain untuk memperjuangkan penegakan negara Islam serta mencabar sistem yang ada? Atau membantu untuk menegakkan keadilan umum yang jauh dari unsur tirani, korupsi dan ketidakcekapan?

e.      Apakah pendirian minoriti muslim mengenai undang-undang? Memperjuangkan hudud atau rule of law ?

f.        Dalam persoalan ekonomi, adakah minoriti muslim berusaha untuk mengIslamkan institusi kewangan atau menawarkan produk-produk alternatif?

 

Satu hakikat yang perlu difahami juga ialah Fiqh yang popular hari ini sebenarnya adalah warisan para ulama dahulu yang kebanyakannya dihasilkan di zaman kegemilangan Islam. Zaman dominasi kuasa politik Islam dan dalam lingkungan masyarakat Islam sebagai kaum majoriti. Walau pun ia adalah satu khazanah yang amat berharga dan walau pun kita menghormati para ulama berkenaan, namun pastinya di sana mempunyai jurang antara realiti mereka dan realiti hari ini apatah lagi realiti minoriti Muslim yang mana kewujudan mereka amat jarang di zaman itu.

 

Maka sebab itu, tidak semua pandangan yang popular yang dihasilkan di zaman berkenaan bermakna sesuai untuk diterapkan hari ini atau diterimapakai oleh minoriti Muslim, sehingga kehidupan mereka menjadi sulit, tidak praktikal dan realistik. Ini juga menjadi faktor bagi melahirkan Fiqh Minoriti Muslim.

 

Jika kita meninjau sejarah, kita akan dapati sebenarnya bahawa sejarah umat Islam bukan kosong sama sekali dari kelompok minoriti Muslim. Hakikatnya Islam bermula sebagai kelompok minoriti di Mekah. Di sebabkan perbezaan realiti di Mekah maka kita dapati perbezaan syariat di zaman Mekah dan Madinah. Selain itu, sejarah Islam mencatit kehidupan sekelompok umat Islam sebagai kelompok minoriti Muslim di Habsyah.

 

Namun perspektif ini tenggelam dalam timbunan khazanah Fiqh yang luas di zaman kegemilangan Islam yang dinyatakan di atas. Dengan itu, umat Islam terputus dari perspektif kehidupan beragama umat Islam di Mekah dan di Habsyah.

 

Sejarah umat Islam di Mekah dan Habsyah menunjukkan bahawa mengkonspesikan Fiqh Minoriti Muslim tidak semestinya mengasingkan minoriti Muslim dari keaslian agama mereka. Sebaliknya sejarah umat Islam di Mekah dan Habsyah memberi peluang bagi menta’silkan (memastikan keaslian) Fiqh Minoriti Muslim atas sumber-sumber Islam yang asal, bukan hanya berdasarkan pada realiti kontemporari sahaja.

 

Cabaran besar hari ini ialah untuk menggali semula tradisi yang telah tertimbus itu dan merangkanya semula untuk kegunaan hari ini.

 

Dalam konteks Singapura, bertuahlah sesiapa yang memulakan usaha murni ini kerana baginya ganjaran yang dinyatakan dalam sebuah hadits yang bermaksud:

 

“Sesiapa yang memulakan dalam Islam satu amalan yang baik, maka baginya pahala amalan itu dan pahala mereka yang melakukannya sesudahnya tanpa sedikit pun mengurangkan pahala mereka itu.” (Riwayat Muslim)