Pesanan Dari Al-Quran #59 – Beberapa “Tips” Keibubapaan Dalam Al-Quran (21 Oktober 2022)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 21 Oktober 2022, di sini.

“(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya [Ya`qub] : Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku. Bapanya berkata: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.” (Yusuf: 4-5)

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Luqman: 13)

“Maka ketika anaknya [Ismail] itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” (Al-Saffat: 102)

“Wahai Tuhanku [Ibrahim]! Jadikanlah aku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” (Ibrahim: 40)

Pelajaran

  1. Kesemua ayat-ayat di atas menceritakan tentang bapa. Hal ini memberi pelajaran penting tentang peranan bapa dalam pendidikan anak-anak. Namun, ia juga boleh dijadikan pelajaran keibubapaan untuk ibu bapa Muslim tentang pendidikan anak dalam keluarga.

  2. Pertama ialah jadilah ibu bapa yang terlibat aktif.

    Dialog-dialog antara Luqman (Luqman: 13), Nabi Ya`qub a.s. (Yusuf: 4-5) dan Nabi Ibrahim a.s (Al-Saffat: 102) dengan anak masing-masing adalah simbol sikap aktif mereka dalam mendidik anak. Oleh kerana semua perbualan di atas adalah antara bapa, bukan ibu, dengan anak, ia mempunyai pesanan khusus kepada para bapa, iaitu tidak menjadi bapa “arm-chair” dengan menyerahkan urusan pendidikan anak sepenuhnya kepada ibu, pengasuh atau guru-guru sekolah.

    Perhatikan, walaupun Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ya`qub a.s. sibuk kerana perlu melaksnakana tugas sebagai utusan Tuhan, tetapi masih mempunyai masa untuk berbual dengan anak masing-masing.

  3. Kedua ialah tunjukkan kasih sayang (affection) kepada anak-anak.

    Hal ini dapat dilihat dari panggilan “Ya Bunayya (Wahai anak kesayanganku)” (Yusuf: 4-5, Luqman: 13 dan Al-Saffat: 102) yang berbeza dengan “Ya Waladi” atau “Ya Ibni” yang hanya bermaksud “Wahai anakku”.

    Walaupun panggilan itu merupakan bahasa kasih (love language) dalam bentuk lisan, ia boleh dikembangkan ke bentuk tingkah laku seperti belaian dan kucupan.

    Ini juga memberi pelajaran bahawa ibubapa agar tidak hanya menunjukkan otoriti (kuasa) kepada anak-anak dan melayan mereka secara otoritatif sahaja.

  4. Ketiga ialah mudah didampingi (approachable).

    Hal ini dapat dilihat dari perbuatan Nabi Yusuf a.s yang mendatangi bapanya Nabi Ya`qub a.s untuk menceritakan mimpinya (Yusuf: 4-5).

    Nabi Yusuf a.s bukan mahu mengadu tentang masalah serius yang dihadapinya. Beliau hanya ingin berkongsi tentang mimpi aneh dan memenuhi rasa ingin tahunya sahaja. Jika Nabi Ya`qub a.s bukan bapa yang mudah didampingi, Nabi Yusuf a.s. pasti tidak berani untuk berbicara tentang perkara remeh seperti mimpi.

    Nabi Ya`qub a.s pula menunjukkan sikap contoh dengan melayan keinginan anaknya walaupun beliau sibuk sebagai seorang Nabi yang memikul tanggungjawab dakwah kepada kaumnya.

  5. Keempat ialah amalkan konsultatif.

    Hal ini dapat dilihat dari pertanyaan Nabi Ibrahim a.s. akan pendapat anaknya Nabi Ismail a.s. setelah memberitahu akan perintah Tuhan untuk mengorbankan dirinya (Al-Saffat: 102).

    Walaupun berhadapan dengan perintah Tuhan, Nabi Ibrahim a.s. memberi peluang kepada anaknya untuk memberi pandangan.

    Usia Nabi Ismail a.s yang budak pun tidak menghalang Nabi Ibrahim a.s dari bersifat konsultatif.

  6. Kelima ialah didik anak dengan pemikiran kritikal.

    Hal ini dapat dilihat sekali lagi dari sikap Nabi Ibrahim a.s yang tidak terus tuntut anaknya untuk “dengar dan patuh” sahaja atas dasar perintah Tuhan, tapi dengan memberi peluang kepada anaknya berfikir dan memberi pendapat (Al-Saffat: 102) kerana mahu pastikan anaknya faham dan akur atas dasar kerelaan dan keyakinan, bukan takut atau taat buta.

  7. Keenam ialah ambil berat soal pendidikan rohani anak, bukan hanya akademik.

    Hal ini dapat dilihat dari doa Nabi Ibrahim a.s agar keturunannya adalah mereka yang memelihara solat (Ibrahim: 40). Solat dalam doa ini adalah simbol aspek kerohanian anak, iaitu soal iman dan hubungan dengan Tuhan.

    Pencapaian akademik anak-anak adalah penting kerana Islam adalah agama yang menggalakkan pencarian ilmu dan cemerlang dalamnya, tetapi jangan sampai mengabai pendidikan agama dan rohani anak-anak.