PANDANGAN
Pupuk masyarakat melawan pelampau
Oleh
Muhammad Haniff Hassan Dan Zulkifli Mohamed Sultan
TANPA penglibatan masyarakat, amat sukar menentang gerakan pelampau atau radikal.
Demikianlah antara kesimpulan utama Persidangan Antarabangsa Penglibatan Masyarakat anjuran Pusat Kajian Antarabangsa bagi Keganasan dan Keganasan Politik, pada 21 hingga 22 September lalu, di Hotel Grand Copthorne Waterfront.
Pusat ini di bawah Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Persidangan antara para pakar setempat dan antarabangsa serta tokoh masyarakat itu bertujuan utama mengenal pasti ikhtiar penglibatan masyarakat dari serata dunia agar mewujudkan satu model contoh dalam menghadapi ancaman dan gerak tindak pelampau.
Antara lain, sidang itu mendedahkan dua tahap penglibatan dalam usaha menangkis gerakan pelampau:
Kesemua ini memerlukan jalinan penglibatan pemerintah, golongan akademik dan masyarakat.
Peranan pemerintah sebagai pihak utama yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara meliputi menyebarkan kefahaman dan kesedaran tentang masalah pelampauan dan pengganasan melalui taklimat dan pendidikan awam.
Peranan golongan akademik pula ialah membuat kajian dan menasihati pemerintah tentang dasar yang sesuai berdasarkan hasil kajian mereka.
Selain perlu disedarkan, masyarakat perlu diserapkan sebagai ‘mitra’ (rakan kongsi) melalui proses dialog dan perbincangan.
Kelompok (cluster) penglibatan masyarakat di Singapura yang terdiri daripada kelompok akar umbi, institusi pendidikan, perniagaan, pertubuhan agama dan kaum dan seni dan media satu contoh yang baik dalam aspek ini.
Penglibatan masyarakat diperlukan dalam bentuk sosial dan ideologi.
Aspek sosial memerlukan pembinaan kepercayaan antara kaum dan agama demi menyumbang ke arah daya tahan nasional.
Masyarakat perlu mengorak langkah agar mengurangkan tarikan ideologi radikal yang cuba mengeksploitasikan perbezaan antara Muslim dengan bukan Muslim.
Hal ini penting diinsafi kerana ideologi radikal terbukti cepat berkembang apabila berlaku kecurigaan dan permusuhan antara Muslim dengan penganut agama lain.
Di bidang ideologi, usaha membanteras fahaman pelampau mesti diteruskan dan dijadikan komponen utama strategi melawan pengganasan.
Hal ini menuntutkan pendekatan serampang dua mata:
menyanggah dan mengkritik ideologi pelampau yang menyeleweng; dan
mendakwahkan fahaman sederhana mengenai Islam.
Seyogia, ideologi pelampauan tidak boleh diselesaikan dengan hanya menyanggah dan mendedahkan penyelewengannya.
Sebabnya, terdapat beberapa isu sebenar yang dihadapi umat Islam yang memerlukan jawapan jitu.
Misalnya:
Antara pakar yang hadir di persidangan itu ialah Sheikh Ghaleb, seorang hakim mahkamah syariah di Jordan.
Menurutnya, masih ada Muslim yang ‘terperangkap’ dengan pengalaman getir zaman penjajah sehingga kini.
Jadi, bagaimanakah kita dapat menolong mereka?
Umumnya, masyarakat boleh terlibat dalam dunia nyata dan juga dunia maya yang kian penting.
Oleh itu, usaha mewujudkan pelbagai wadah maya untuk menyanggah ideologi pelampauan dan mendakwahkan kesederhanaan harus diberi perhatian serius.
Dalam hal ini, program Al-Sakinah di Internet – hasil usaha para agamawan di Arab Saudi – dapat dijadikan contoh.
Persidangan itu bersetuju akan pentingnya memberi fokus pada umat Islam yang perlu diberikan maklumat, didikan dan ilmu agar dapat menangkis pengaruh ideologi pelampau.
Selanjutnya ialah menyasarkan golongan pelampau (termasuk pengganas) yang masih samar bilangan sebenarnya tetapi perlu dipujuk, diyakin dan diinsafkan agar kembali ke pangkal jalan.
Namun, persidangan turut mendapati bukan Muslim juga perlu diberikan maklumat dan pendedahan agar tidak mempunyai salah faham terhadap Islam dan umatnya.
Dalam hal ini, pentingnya golongan bukan Muslim yang berada dalam arus utama prihatin dan bersuara mengenai usaha menentang pelampauan dan golongan radikal di kalangan mereka sendiri.
Kehadiran kumpulan ras kulit putih seperti neo-Nazi terpapar dalam kejadian mengejutkan di Norway pada Julai lalu:
Seorang pelampau sayap kanan telah mengebom kawasan bangunan kerajaan dan menembak mati 69 orang, kebanyakannya remaja.
Tindakannya dikaitkan dengan kebencian terhadap pendatang Muslim di Norway.
Banyak mutiara daripada persidangan ini.
Namun, yang utama ialah usaha lanjutan supaya menjayakan ketetapannya ke arah penglibatan dan pemerkasaan masyarakat demi membentengi gerakan pelampau dan memelihara keharmonian berbilang kaum dan agama.
Nota: Ustaz Muhammad Haniff Hassan ialah Zamil Bersekutu dan Ustaz Zulkifli Mohamed Sultan ialah penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.